Sahabat Sejati

Sunday 14 February 2021

Perihal Dajjal (3)

Apakah Terdapat Golongan yang Mengingkari[3] akan Kewujudan Dajjal Ini? 

Terdapat sebahagian individu mendakwa bahawa Dajjal ini hanyalah simbol kejahatan sahaja dan ia akan hilang dengan terdiri syariat di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama, mereka ini menafikan bahawa Dajjal adalah seorang manusia sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. 

Antara dalil yang menguatkan hujah mereka adalah, hadith-hadith berkaitan Dajjal diriwayatkan dengan berbeza-beza seperti tempat keluarnya Dajjal, peribadi Dajjal itu sendiri dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa Dajjal adalah simbol kepada kejahatan semata-mata dan dia bukanlah seorang manusia seperti yang kita fahami. 

Bagi menjawab persoalan ini, hakikatnya tidak ada pertentangan dalam riwayat-riwayat berkaitan Dajjal ini dan ia telah dijelaskan oleh ulama’ sebelum ini apabila mereka cuba menghimpunkan riwayat-riwayat ini dan menjelaskan setiap riwayat tersebut. 

Hakikatnya, Dajjal adalah seorang manusia dan dia bukanlah simbol sebagai yang didakwa oleh golongan tersebut. Selain itu juga, kita dapat mengetahui akan sifat-sifat Dajjal sebagaimana yang diceritakan di dalam hadith-hadith yang sahih.

Apakah Ibn Shayyad (ابن صياد) Itu Dajjal? 

Dalam masalah ini, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan samada Ibn Shayyad itu Dajjal ataupun tidak. Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa dia adalah Dajjal. Namun begitu, terdapat juga hadith lain yang menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah beberapa pendapat dalam masalah ini: 

Pertama: Imam al-Qurthubi berkata: “Pendapat yang sahih bahawa Ibn Shayyad adalah Dajjal, berdasarkan dalil-dalil yang telah lalu (yang ada) dan tidak mustahil bahawa dia telah ada di pulau tersebut pada waktu itu dan dia juga berada di hadapan para Sahabat pada waktu yang lain”. 

Kedua: Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama telah berkata bahawa Kisahnya sukar difahami dan perkaranya juga tidak jelas. Apakah dia adalah al-Masih al-Dajjal yang dikenali atau selain daripadanya?. Akan tetapi tidak diragukan bahawa dia juga adalah Dajjal di antara para Dajjal.” 

Kami berpendapat bahawa Ibn Shayyad bukanlah Dajjal yang dimaksudkan iaitu yang akan keluar di akhir zaman. Selain itu juga, Ibn Shayyad hanyalah seorang Dajjal daripada para Dajjal iaitu dengan memiliki sifat-sifat seorang Dajjal tetapi dia bukanlah Dajjal yang akan keluar di akhir zaman nanti. 

Pendapat kami ini adalah selaras dengan hadith Tamim al-Dari atau dikenali dengan hadith al-Jassasah (الجساسة) yang diriwayatkan oleh Fatimah bin Qais. Ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila beliau cuba untuk menggabungkan antara dua riwayat yang zahirnya dilihat bercanggah. Beliau berkata:

 وَأَقْرَبُ مَا يُجْمَعُ بِهِ بَيْنَ مَا تَضَمَنَّهُ حَدِيثُ تَمِيم وَكَون بن صَيَّادٍ هُوَ الدَّجَّالُ أَنَّ الدَّجَّالَ بِعَيْنِهِ هُوَ الَّذِي شَاهده تَمِيم موثقًا وَأَن بن صَيَّادٍ شَيْطَانٌ تَبَدَّى فِي صُورَةِ الدَّجَّالِ فِي تِلْكَ الْمُدَّةِ إِلَى أَنْ تَوَجَّهَ إِلَى أَصْبَهَانَ فَاسْتَتَرَ مَعَ قَرِينِهِ إِلَى أَنْ تَجِيءَ الْمُدَّةُ الَّتِي قَدَّرَ اللَّهُ تَعَالَى خُرُوجَهُ فِيهَا وَلِشِدَّةِ الْتِبَاسِ الْأَمْرِ فِي ذَلِكَ سَلَكَ الْبُخَارِيُّ مَسْلَكَ التَّرْجِيحِ فَاقْتَصَرَ عَلَى حَدِيثِ جَابِرٍ عَنْ عُمَرَ فِي بن صَيَّادٍ وَلَمْ يُخْرِجْ حَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ فِي قِصَّةِ تَمِيمٍ وَقَدْ تَوَهَّمَ بَعْضُهُمْ أَنَّهُ غَرِيبٌ فَرُدَّ وَلَيْسَ كَذَلِكَ فَقَدْ رَوَاهُ مَعَ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ أَبُو هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةُ وَجَابِرٌ 

Maksudnya: “Cara yang paling dekat adalah dengan menggabungkan makna yang terkandung di dalam hadith Tamim dan keberadaan Ibn Shayyad sebagai Dajjal. Sesungguhnya Dajjal yang sebenarnya adalah yang disaksikan oleh Tamim dalam keadaan terikat. Sedangkan Ibn Shayyad adalah syaitan yang menampakkan dirinya dalam bentuk Dajjal pada ketika itu, sehingga dia pergi ke Ashbahan, lalu bersembunyi bersama qarinnya (temannya) sehingga sampai masa yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk keluar padanya. 

Disebabkan kesamaran dalam masalah ini, maka Imam al-Bukhari memilih jalan tarjih (iaitu menentukan riwayat yang paling kuat di antara dua riwayat), maka beliau hanya memilih hadith Jabir daripada Umar berkaitan Ibn Shayyad dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripada Fatimah binti Qais berkenaan kisah Tamim. 

Selain itu juga, sebahagian orang menyangka bahawa hadith tersebut adalah gharib (ganjil) maka sangkaan mereka ini ditolak dan ia bukanlah seperti yang disangka itu. Telah meriwayatkan hadith ini bersama Fatimah binti Qais RA adalah Abu Hurairah RA, Aisyah RA dan Jabir RA”. (Lihat Fath al-Bari, 328/13)

Nota kaki:

[3] Syeikh Muhammad Abduh pernah ditanya tentang Dajjal dan terbunuhnya ia oleh Nabi Isa AS, beliau menjawab "Sesungguhnya Dajjal merupakan simbol khurafat, penyimpangan dan kejahatan yang mengubah penetapan Syariah daripada bentuknya..." (Lihat Tafsir al-Manar 3/317) Pendapat sama juga dikemukakan oleh Muhammad Fuhaim Abu ‘Ubayyah. (Lihat Ta’liq al-Bidayah wa al-Nihayah,1/152)

bersambung..

5 comments:

Perdu Cinta said...

Moga kita semua dihindari dari fitnah dajjal.

Warisan Petani said...

Tk perkongsian ilmu

paridah said...

Assalam ustaz moga sihat sejhtra bersama keluarga..tksh perkongsian ilmu

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz..terimakasih perkongsian.Alhamdulilah dapat menambah sedikit ilmu .

NARDtheNERD said...

terima kasih, boleh tambah fahaman saya tentang dajal :)

Post a Comment