Sahabat Sejati

Thursday 11 February 2021

Perihal Dajjal (2)

Di manakah Dajjal Akan Keluar? 

Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan[2] (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. (Lihat Fath al-Bari) Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya: 

Daripada Abu Bakar ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ 

Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”. Riwayat al-Tirmizi (2237). 

Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih. 

Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan. Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah bint Qais r.anha, bahawa Rasulullah saw bersabda:

 أَلاَ إِنَّهُ فِى بَحْرِ الشَّامِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ما هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ». وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ. 

Maksudnya: Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Apa itu dari arah timur.. Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.” Riwayat Muslim (7573) 

Dalam riwayat yang lain menunjukkan ia berada di sebuah pulau sebagaimana hadis Tamim al-Dari.

 أَنَّهُ رَكِبَ فِي سَفِينَةٍ بَحْرِيَّةٍ ، مَعَ ثَلاَثِينَ رَجُلاً مِنْ لَخْمٍ وَجُذَامَ ، فَلَعِبَ بِهِمِ الْمَوْجُ شَهْرًا فِي الْبَحْرِ، ثُمَّ أَرْفَؤُوا إِلَى جَزِيرَةٍ فِي الْبَحْرِ حَتَّى مَغْرِبِ الشَّمْسِ ، فَجَلَسُوا فِي أَقْرُبِ السَّفِينَةِ فَدَخَلُوا الْجَزِيرَةَ 

Maksudnya: “Bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Juzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal. Kemudian, mereka masuk ke pulau tersebut.” Riwayat Muslim (7496) 

Bilakah Muncul Atau Keluarnya Dajjal? 

Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:

 يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ 

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. (Surah al-A’raf: 186)

Tertib Kemunculan Dajjal Antara Alamat Kiamat 

Syeikh al-Mubarakfuri berkata:

 اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً 

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu”. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 346/6)

Nota hujung:

[2] Khorasan Raya (juga dieja Khorasaan, Khurasan dan Khurasaan) adalah istilah moden untuk wilayah timur Iran kuno atau Parsi sejak abad ke-3. Khorasan Raya meliputi wilayah yang kini merupakan sebahagian wilayah-wilayah dalam negara-negara seperti Iran, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan. Khorasan Raya meliputi Nishapur, Tus (kini di Iran), Herat, Balkh, Kabul dan Ghazni (kini di Afghanistan), Merv (kini di Turkmenistan), Samarqand, Bukhara dan Khiva (kini di Uzbekistan), Khujand dan Panjakent (kini di Tajikistan). (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Khorasan_Raya)

2 comments:

Warisan Petani said...

Tk kongsi ilmu

paridah said...

Assalam moga ustaz n famili sihat sejhtra..tksh perkongsian ilmu

Post a Comment