Sahabat Sejati

Thursday 18 February 2021

Perihal Dajjal (5)

Petunjuk Nabi SAW dalam Menghadapi Fitnah Dajjal 

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ 

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”. Riwayat Muslim (1342) 

Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). (Lihat Al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/403) 

Cara Menghadapi Fitnah Dajjal 

Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:

• Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith. 
• Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh. 
• Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku. 
• Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu. 
• Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT. 
• Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah. 
• Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas. 

Berdoa Dari Fitnah Dajjal 

Terdapat hadis Rasulullah SAW mengajar kita membaca selepas tahiyyat akhir: 

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 

Maksudnya: Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa:

 (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) 

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.” Riwayat Muslim (588)

Dikatakan Thawus bin Kaisan, apabila anaknya selesai solat akan bertanya: Adakah beliau sudah membaca doa ini. Jika dijawabnya tidak, nescaya diminta untuk mengulangi solat dan membaca doa ini. 

Dalam doa ini, terdapat empat yang diminta untuk berlindung dengan Allah: 

• Azab Neraka Jahannam 
• Azab kubur
• Fitnah kehidupan dan kematian 
• Kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal

Ini menunjukkan kejahatan fitnah Dajjal dapat dielakkan dengan cara berdoa kepada Allah dan memohon kepada-Nya. 

Penutup 

Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

 اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. Riwayat Muslim (588) 

Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

2 comments:

Warisan Petani said...

Aamiin doanya

paridah said...

assalam moga ustaz n fmli sihat sjhtra tksh perkongsian ilmu

Post a Comment