Sahabat Sejati

Saturday 5 December 2020

Doakan sahabat saya..

 Assalamualaikum warahmatullah dan salam Jumaat yang diberkati.

Hari ini menerima khabar 'hitam' nun jauh di bumi Gaza. 

Sahabat saya, Ustaz Nadir memaklumkan ahli keluarganya disahkan positif Covid-19. Sahabat saya ini, setahu saya satu-satunya rakyat Malaysia yang bermastautin di bumi barakah Al-Quds.

Ustaz Nadir, seusai bergraduat di al-Azhar, memutuskan untuk tinggal di sana, tidak berapa lama selepas itu mengambil keputusan untuk memasuki Gaza bagi melakukan kerja-kerja amal membantu rakyat Palestin. Kemudian menikahi seorang balu syuhada Hamas yang terkorban akibat bedilan regim zionis. Dengan cara ini menjadikannya lebih mudah untuk bergerak bebas di sana.

Balu tersebut telah pun mempunyai dua orang anak lelaki yang sedang meningkat remaja semasa dinikahi. Mulia sungguh hati sahabatku ini. Pernah sekali Ustaz Nadir membawa anak tirinya ke Malaysia beberapa tahun yang lalu. 

Selain bertindak menguruskan bantuan untuk rakyat Palestin, katanya sekarang ini beliau juga sedang mengikuti kursus bahasa Hebrew. Selamat maju jaya Ustaz Nadir. Mungkin satu-satunya anak Malaysia yang mengikuti kursus tersebut.

Tidak keterlaluan saya katakan, sahabat inilah yang banyak membantu urusan kami, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang dalam menyalurkan bantuan di bumi Gaza. Sumbangan dan infaq daripada rakyat Malaysia dialah yang menguruskannya.   

Sumbangan untuk pembinaan telaga tiub, sumbangan kit Ramadhan, program Dapur Rakyat untuk Gaza, iaitu program makanan untuk penghuni pusat kuarantin Covid-19, sumbangan bekalan peralatan hospital termasuk ubatan dan banyak lagi.

Justeru. di hari Jumaat yang berkah ini, saya mengajak sahabat-sahabat semua untuk turut sama mendoakan keluarga ustaz Nadir al-Nuri agar tabah dalam menghadapi ujian ini serta beroleh kesembuhan yang tiada kesakitan lagi selepasnya.  

Di antara wira yang tidak didendang, bagi saya selayaknya dialah.

Allahu al-Musta`an.

5 comments:

Syaz Rahim said...

Sahabat tuan orangnya hebat, semoga dipermudahkan urusan kesembuhan mereka sekeluarga ❣️

Warisan Petani said...

Semoga keluarga Us Nadir diberikan keafiatan dan kesembuhan daripada wabak pendemik ini.

Nor Azimah Ali said...

Semoga keluarga sahabat ustaz dipelihara oleh Allah dan diberi kesembuhan sepenuhnya, in shaa Allah.

saniahibrahim said...

Semoga sahabat ustaz kembali semboh dari covid yg menakutkan seluruh dunia ni.

Amie said...

Semoga Ustaz Nadir sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini. Mudah-mudahan segala kesulitannya segera diangkat oleh-Nya. Aamiin ya Allah.

Post a Comment