Sahabat Sejati

Tuesday, 10 March 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (51)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (50) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

foto hiasan ~ sumber

Pelbagai cara untuk Melawan Dakwah

3. Melawan al-Quran bersenjatakan dongengan orang terdahulu. Perkara itu berulang kali disampaikan kepada manusia sehingga mereka disibukkan olehnya.

Mereka menyebutkan bahawa suatu masa dahulu ketika Nadhar bin Haris berkata kepada kaum Quraisy, "Hai orang Quraisy! Demi Allah, telah turun suatu urusan kepada kamu yang kamu belum juga menemui alasan untuk membantahnya, Muhammad membesar menjadi pemuda di tengah-tengah kamu. Dia adalah orang yang paling kamu redhai. Tutur katanya paling jujur antara kamu semua. Dia juga paling dipercayai jika diberi amanah. Hinggalah ketika kamu melihat kedua-dua pelipisnya ditumbuhi uban, dia datangkan kepada kamu apa yang memang telah dia datangkan itu."

"Lantas kamu memanggilnya sebagai penyihir. Demi Allah, dia bukan penyihir. Kita semua telah tahu ciri-ciri penyihir, bagaimana mereka bermain dengan hembusan dan simpulan tali. Lalu kamu memanggilnya sebagai dukun. Demi Allah, dia juga bukan dukun. Kita semua telah tahu bagaimana para dukun mengucapkan mantera. "

"Lalu kamu memanggilnya sebagai penyair. Demi Allah, dia juga bukan penyair. Kita telah kenal pelbagai jenis syair, irama maupun intonasinya. Lalu kamu memanggilnya sebagai orang gila. Demi Allah, dia juga bukan orang gila. Kita telah tahu ciri-ciri orang gila dan Muhammad sama sekali tidak bercakap sendirian, juga tidak bertindak bodoh dan aneh."

"Hai orang Quraisy, lihatlah keadaan diri kamu! Sesungguhnya, demi Allah, dia telah mendatangkan suatu urusan yang besar kepada kamu."

Selepas itu Nadhar pergi Hairah. Di sana dia mempelajari dongengan raja-raja Parsi, juga dongengan Rustum dan Asphandiar. Selepas pulang dari sana, setiap kali Rasulullah saw duduk di sebuah majlis mengajak orang berzikir kepada Allah dan memperingatkan mereka akan azab dan kemurkaan-Nya,

Nadhar selalu mengejek baginda dari belakang dan berkata, "Demi Allah, ucapan Muhammad lebih teruk daripada ceritaku." Lalu dia menceritakan kepada mereka kisah tentang raja-raja Parsi, Rustum dan Asphandiar. Selepas itu, dengan bangganya dia berkata, "Apa alasannya ucapan Muhammad lebih baik daripada aku?"(1)   

Dalam riwayat Ibnu Abbas dinyatakan, Nadhar membeli banyak penyanyi wanita daripada kalangan hamba. Jika dia mendengar ada seseorang memiliki daya tarikan kepada ajaran Nabi Muhammad, dia akan menghadiahkan salah seorang penyanyi wanitanya kepada orang itu. Penyanyi wanita tersebut akan melayan urusan makan minum orang itu, menyuap dan mendendangkan lagu-lagu untuknya. sehingga orang itu tidak lagi tertarik hati kepada Islam. Tentang hal ini Allah SWT berfirman:

"Dan antara manusia ada orang yang membeli ucapan yang sia-sia untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah." (Luqman: 6)(2)

Rujukan: 

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I hal. 299-300, Abu A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. IV, hal. 8-9 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 117-118.

(2) Abu A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. IV, hal. 9   

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

0 comments:

Post a Comment