Sahabat Sejati

Saturday 21 March 2020

#StayAtHome sabar..sabar..

Sudah 4 hari berlangsung Perintah Kawalan Pergerakan, dengan maksud duduk di rumah masing-masing. Semuanya gara-gara musibah yang sedang melanda negara kita dan sebahagian besar negara lain iaitu penularan wabak Covid 19. 

Ada juga bibit-bibit kebosanan tatkala terperuk di rumah sahaja. Apakan daya, arahan tersebut sehingga tarikh tamat selama 14 hari. Itupun jika keadaan mula terkawal, jika tidak akan dilanjutkan lagi sehinggalah keadaan benar-benar selamat. 

Banyak aktiviti bersama Yayasan Amal Malaysia terpaksa ditangguhkan. Sehingga nak masuk ke pejabat yayasan pun terpaksa dilupakan. Tetapi apa boleh buat, ia adalah perintah dan arahan pihak pemerintah. Lagipun ianya untuk kebaikan bersama. 

Jika kita menonton klip video apa yang berlaku di negara China suatu ketika dahulu, keadaan sudah menjadi seperti darurat. Suasana menjadi tidak terkawal. Saya melihat di dalam klip video tersebut bagaimana manusia ramai yang sedang berjalan tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri. Sudah jadi macam zombie pula. 

Negara kita setakat ini belum lagi sampai ke tahap itu dan berharap tidak akan terjadi sedemikian rupa. Namun ianya tidak mustahil untuk berlaku, angkara kedegilan sesetengah rakyat yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan tersebut. Boleh disaksikan gelagat dan ragam di dalam media sosial. Degil sungguh!

Hmm, saat-saat saya bersantai-bersantai bersama keluarga, sejenak saya terfikir. Ekoran apa yang telah terjadi ini, ada hikmahnya juga. Sekurang-kurangnya saya dapat menghabiskan masa semaksimumnya bersama keluarga. 

Dapat solat berjemaah bersama, tadarus bersama, menyampaikan tausiah dan kuliah ringkas untuk keluarga, dapat membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah dan sebagainya. Sesuatu yang selama ini tidak selalu dapat saya lakukan, terutama apabila terpaksa bermusafir ke luar kawasan dalam mengisi program=program kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia. Alhamdulillah.

Isnya-Allah, jika keadaan ini masih berlarutan, saya berhasrat untuk mendaftarkan diri menyertai pasukan sukarelawan yang akan membantu barisan hadapan KKM di tempat saya. Mudah-mudahan sedikit amal bakti yang diberi dapat meringan tugas mereka semua.

Nampaknya kensel program di Sabah sebelum Ramadhan ini.. Allahu al-Musta`an.

1 comments:

Warisan Petani said...

Nampaknya negara kita berdepan dengan ancaman COVID-19 yang semakin hebat.
Semoga kita semua dilindungi.

Post a Comment