Sahabat Sejati

Friday, 31 January 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (50)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (49) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA  

foto hiasan ~ sumber

Pelbagai cara untuk Melawan Dakwah 

Melihatkan usaha mereka tidak dapat memalingkan Nabi Muhammad daripada dakwah Islam, orang Quraisy kembali berfikir. Lalu mereka mencuba pelbagai cara lain untuk menghalang dakwah tersebut. Cara-cara yang mereka lakukan dapat diterangkan secara ringkas seperti berikut: 

1. Mencemuh, menghina melakukan jenaka yang berunsur ejekan, menuduh sebagai pendusta dan mentertawakan baginda. Tujuan Quraisy adalah untuk menghilangkan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad sekali gus meruntuhkan kekuatan psikologi mereka. Maka, mereka mula melemparkan tuduhan-tuduhan sampah dan cercaan-cercaan kasar kepada baginda. 

Mereka memanggil baginda dengan panggilan orang gila. 

Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila". (Al-Hijr 15:6) 

Mereka menyifatkan baginda sebagai penyihir dan pendusta. "Mereka terkejut kerana datang kepda mereka seorang pemberi peringatan daripada kalangan mereka sendiri. Dan orang kafir berkata,

"Orang ini (Muhammad) adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta." (Sod 38:4) 

Mereka memandang dan menghadap baginda dengan pandangan yang sangat sinis dan penuh kebencian seolah-olah mereka akan menelan baginda, juga dengan perasaan marah yang berkecamuk hebat. 

"Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: "Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila".(Al-Qalam 68:51) 

Tatkala Nabi Muhammad sedang duduk bersama-sama orang lemah daripada kalangan sahabat baginda, orang Quraisy datang dan mengejek mereka, "Inilah para teman Muhammad," sebagaimana dimuatkan dalam firman Allah, 

"Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?" (Al-An'aam 6:53) 

Perilaku mereka secara jelas Allah tuturkan kepada kita, 

"Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!"Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu! (Al-Mutaffifiin 83:29-33) 

2. Memburuk-burukkan ajaran baginda dengan jalan melontarkan fitnah, menyebarkan propaganda dusta serta menyatakan bahawa ajaran baginda tidak benar. Bahkan pernyataan tersebut juga dilakukan terhadap diri dan keperibadian baginda. Mereka tidak henti-henti melakukan semua itu dengan tujuan agar masyarakat umum tidak mendapat kesempatan untuk menerima dakwah baginda. 

"Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)". (Al-Furqaan 25:5)  

"Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain". Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta". (Al-Furqaan 25:4). 

Lalu mereka berkata tentang Rasulullah saw, "Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya)." (Al-Furqaan 25:7) 

Di dalam al-Quran terdapat banyak contoh yang boleh digunakan untuk membantah pelabelan-pelabelan tersebut, sama ada yang dinyatakan setelah memaparkan pelabelan-pelabelan tersebut maupun yang dinyatakan tanpa pemaparan terlebih dahulu. 

Bersambung.. 

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Wednesday, 29 January 2020

Tuesday, 28 January 2020

5 teka-teki

Apa yang paling DEKAT dengan diri kita di dunia? 
Bukan orang tua 
Bukan juga kaum kerabat 
Tidak juga teman-teman 
Melainkan KEMATIAN yang dekat 
Bersalin waktu dan berganti hari ia kian mendekat 
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan." (al-Ankabut: 57) 

Apa yang paling JAUH dari kita di dunia? 
Bukan langit
Bukan ruang angkasa
Bukan negara China 
Melainkan MASA LALU yang kian menjauh 
Semakin hari kita semakin jauh meninggalkan zaman kanak-kanak yang suci dan fitrah. Apa sahaja usaha kita, walau apapun kenderaan yang diguna, secanggih mana pun ia, kita tetap tidak dapat kembali ke masa lalu. 

Apa yang paling BESAR di dunia? 
Bukan gunung-ganang
Bukan matahari 
Bukan juga bumi 
Melainkan NAFSU yang amat besar walaupun tidak kelihatan sosoknya 
Maka berhati-hatilah kerana menurut kehendak nafsu akan menyebabkan tertutupnya pintu kebenaran dan boleh mengheret ke neraka 
“Sesungguhnya nafsu itu mendorong ke arah kejahatan.” (Yusuf: 53) 

Apa yang paling BERAT di dunia? 
Bukan batu 
Bukan pula besi 
Tidak juga gajah 
Melainkan MEMEGANG AMANAH adalah sesuatu yang amat berat 
Tiada makhluk yang sanggup memikul amanah, melainkan manusia. 
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya... (al-Ahzab: 72 

Apa yang paling RINGAN di dunia ini? 
Bukan kapas 
Bukan juga dedaun kering 
Tidak pula debu 
Melainkan MENINGGALKAN SOLAT adalah sesuatu yang amat ringan dan mudah. 
Sedangkan solat adalah tiang agama, manakala meninggalkannya seumpama meruntuhkan agama dan mendapat ancaman yang amat berat. 
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang." (Al-Muddaththir 42-43) 

Apa yang paling TAJAM di dunia ini? 
Bukan mata pedang 
Bukan pula pisau belati 
Melainkan LIDAH yang terlihat lembut dan tumpul 
Kerana ia dapat menyakiti hati dengan mudah 
Kerana ia boleh menyebabkan dua sahabat bermasam muka 
Kerana ia boleh meyebabkan suami isteri berpisah 
Bahkan kerananya dua negara boleh berantakan
Hadrat Sufian Saqafi ra. telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw, “Perkara apakah yang baginda paling takut bagi umat tuan?” Baginda saw memegang lidahnya sendiri yang berkat lalu bersabda, “inilah.” (Misykat)

#Olahan daripada peringatan Imam al-Ghazali

Friday, 24 January 2020

Wednesday, 22 January 2020

Friday, 17 January 2020

Monday, 13 January 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (49)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (48) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

foto hiasan ~ sumber

Musyawarah untuk Menghalang Jemaah Haji daripada Mendengar Dakwah

Pada hari-hari tersebut ada satu persoalan lain yang juga mengkhuatirkan orang Quraisy, iaitu dakwah secara terang-terangan yang berlaku beberapa bulan sehingga mendekati musim haji. Orang Quraisy menyedari orang Arab akan segera datang untuk menunaikan haji. Maka orang Quraisy merancang untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad kepada orang Arab yang datang supaya dakwah baginda tidak terpengaruh dalam jiwa orang Arab.

Orang Quraisy menemui Walid bin Mughirah untuk bermesyuarat, apakah perkataan yang mereka mahu gunakan untuk memburuk-burukkan baginda. Walid berkata kepada mereka, "Kita mesti bersependapat untuk menggunakan satu perkataan sahaja. Jangan berselisih, sebab itu boleh menyebabkan sebahagian kita mendustakan sebahagian yang lain."

Orang Quraisy berkata, "Kalau begitu, sila nyatakan perkataan yang kamu usulkan terlebih dahulu." Walid menjawab, "Tidak. Kamulah yang cakapkan dahulu. Saya akan mendengarnya."

Orang Quraisy berkata, "Bagaimana kalau kita panggil dia sebagai dukun?" Kata Walid, "Jangan. Demi Allah, dia bukan dukun. Kita telah tahu apa itu dukun, sementara Muhammad tidak pernah mengucapkan mentera seperti yang dilakukan oleh dukun."

Mereka berkata lagi, "Bagaimana kalau orang gila?" Walid berkata, "Muhammad bukan orang gila. Kita telah tahu ciri-ciri orang gila, sementara Muhammad tidak bertindak bodoh dan aneh, tidak juga bercakap sendiri seperti yang dilakukan oleh seorang gila."

Mereka berkata lagi, "Kalau penyair?" Walid menjawab, "Muhammad juga bukan penyair." Kita telah kenal pelbagai syair, iramanya, intonasinya, sajaknya, yang pendek maupun yang panjang dan yang Muhammad ucapkan itu bukan syair."

Mereka berkata lagi, "Bagaimana dengan penyihir?" Walid menjawab, "Muhammad bukan penyihir. Kita pernah melihat para penyihir dan bagaimana bentuk sihir mereka. Muhammad tidak melakukan tiupan dan memainkan tali seperti yang mereka lakukan."

Orang Quraisy kehabisan idea dan bertanya, "Jadi, apa yang perlu kita katakan?" Wali menjawab, "Demi Allah, ucapan Muhammad betul-betul terasa manis, permulaannya begitu menarik dan hujung-hujungnya teruntai indah. Walau bagaimana sekalipun kamu berkata tentang dia, akan diketahui dengan mudah bahawa tuduhan tersebut dusta belaka. Jika perlu memberinya gelaran, yang paling sesuai menurut saya ialah penyihir."

Walid mengatakan Nabi Muhammad melakukan sihir kerana ucapannya dapat memisahkan anak daripada ayahnya, seseorang daripada saudaranya, suali daripada isterinya dan seseorang daripada ahli keluarganya. Semuanya dapat dipisahan lantaran ucapan Nabi Muhammad.(1)

Beberapa riwayat menyatakan, ketika Walid bin Mughirah mematahkan semua usulan yang diajukan oleh Quraisy, mereka berkata kepadanya, "Kalau begitu sampaikan kepada kami pendapatmu." Walid pun berkata, "Biarkan aku berfikir sebentar." Maka Walid berfikir dan terus berfikir sehingga akhirnya dia menyampaikan kepada mereka pendapatnya sebagaimana disebutkan awal tadi.(2)

Tentang Walid, Allah menurunkan enam belas ayat dalam surah al-Muddaththir, ayat 11 hingga 26, yang dalamnya digambarkan bagaimana cara dia berfikir.

"(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran). Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal); Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut; Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, Serta ia berkata: " (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!" (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar." (al-Muddaththir: ayat 11-26)

Selepas majlis tersebut mencapai kata sepakat, mereka segera melaksanakannya. Mereka duduk di sepanjang jalan kota Mekah yang dilalui oleh para pendatang pada musim haji. Setiap kali ada orang yang melintas di hadapan mereka, mereka menghampirinya lalu memperingatkannya terhadap bahaya sihir Muhammad.(3)

Orang yang paling jahat dalam hal ini ialah Abu Lahab. Ketika orang ramai selesai melaksanakan haji, Nabi Muhammad mengikuti mereka hingga ke rumah mereka sehingga ke pasar Ukazh, pasar Majannah dan juga pasar Dzi Majaz. Nabi mendakwah mereka untuk memeluk agama Allah. Sementara Abu Lahab yang sentiasa mengekori Nabi sering berkata, "Jangan kamu ikuti apa yang dia katakan. Sesungguhnya dia budak kecil yang suka berdusta."(4)

Berkat kejadian musim haji itu, orang Arab mula mengetahui tentang perkara yang dibawa oleh Rasulullah saw dan maklumat mengenai baginda pun tersebar ke seluruh penjuru Tanah Arab.

Rujukan: 

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I hal. 271

(2) Lihat Sayyid Quthub, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 188

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 271

(4) Perbuatan Abu Lahab ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Yazid bin Ruman dan seseorang yang tidak dikenali daripada Thariq bin Abdullah al-Muhariby. Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam Musnad-nya, jil. III, hal. 492 dan jil. IV hal. 341.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Friday, 10 January 2020

Wednesday, 8 January 2020