Sahabat Sejati

Monday, 4 November 2019

Jangan sesekali berkata walaupun 'UFF'...

 
 foto hiasan (sumber)

RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.” 

Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” (Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan) 

Firman Allah SWT:


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "UFF" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (al-Isra`: 23) 

Dalam ayat di atas dinyatakan bahawa berkhidmat dan menghormati kedua ibu bapa adalah menjadi sebab untuk kita hidup di dunia ini dalam keredahaan-Nya dan ia adalah kewajipan yang kedua selepas beribadat kepada Allah SWT. 

Perhatikanlah, kadang-kadang ada di antara mereka, setelah berumahtangga dan mempunyai anak lalu melupakan khidmat kepada ibu bapanya. Kerap kali mereka lalai dalam memerhatikan keduanya kerana sibuk, sibuk dan terus sibuk dalam menguruskan keluarga sendiri, harta benda, pekerjaan dan sebagainya. Sehinggalah tercicir kewajipan terhadap orang tuanya. 

Lebih-lebih lagi jika keduanya dalam keadaan tua yang amat, tentulah banyak cerewetnya kerana sudah tidak mampu lagi menguruskan diri sendiri. Di ketika ini mereka amat mengharapkan perhatian dan bergantung harap belas kasihan anak-anaknya. Maka hendaklah banyak bersabar dan berlapang dada menjaganya. 

Jangan sesekali berkata walaupun 'UFF' 

Ahli bahasa mengatakan kalimah ‘Uffin’ asal ertinya ialah daki hitam dalam kuku. 

Abu Raja` at-Atharidi mengatakan kalimah ‘Uffin’ memberi maksud kata-kata yang menyakitkan hati dan menunjukkan kebosanan, walaupun tidak diucapkan dengan keras. 

Mujahid menafsirkan ayat di atas dengan: “Jika kamu melihat salah seorang atau keduanya telah berak atau kencing di mana tempatnya, sebagaimana yang kamu lakukan ketika kecil, maka janganlah kamu mengeluarkan kata-kata yang mengandungi maksud keluhan sedikit pun.” 

Ali bin Abi Thalib berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Kalau Allah mengetahui suatu perbuatan derhaka kepada orang tua perkataan yang lebih bawah lagi dari 'UFF' itu, nescaya itulah yang akan disebutkan-Nya. Sebab itu berbuatlah orang yang berkhidmat kepada kedua orang tuanya, apa sukanya, namun dia tidak akan masuk ke neraka. Dan berbuatlah orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, apa sukanya pula, namun dia tidaklah akan masuk ke syurga." 

Oleh itu, wahai anak-anak! Ucapkanlah perkataan yang lemah lembut, bersopan santun serta menggembirakan mereka. Ucapkanlah perkataan yang mengandungi rasa cinta, kasih dan sayang kepada mereka. Ucapkanlah perkatan yang memperlihatkan bahawa kita adalah anaknya dan mereka adalah ibu dan bapa. 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Maqburi dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: "Hidup sengsara seorang lelaki, disebut orang aku( Rasulullah) dekatnya, namun dia tidak mengucapkan selawat ke atasku. Hidup sengsara seorang lelaki, yang telah tua salah seorang ibu bapanya atau keduanya, namun pemeliharaannya ke atas keduanya tidak menyebabkan dia masuk syurga. Hidup sengsara seorang lelaki, telah masuk bulan Ramadhan, kemudian bulan itu pun habis sebelum Allah memberi ampun akan dia." 

Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya: "Berbahagialah orang yang segera mengambil kesempatan berkhidmat kepada kedua orang tuanya, sebelum kesempatan itu hilang kerana mereka terburu mati. Maka menyesallah dia berlarat-larat bahawa dia belum membalasnya lagi. Maka nistalah orang yang tidak peduli kepada orang tuanya apalagi jika perintah ini telah diketahuinya." Berbaktilah kepada orang tuamu selagi mereka masih bernyawa, sebelum nikmat itu ditarik kembali. 

"Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan rahmatilah keduanya, sebagaimana mereka mendidikku sewaktu kecil."

3 comments:

norhidana said...

moga Allah ampunkan dosa dana, dosa kita andai ada terkasar atau menyinggung hati mak abah kita

AtieYusof said...

Ya Allah, moga kita semua tidak termasuk dlm anak2 yg kasar pada ibu bapa..moga kita sentiasa berlemah lembut pada org tua kita.. diampunkan dosa2... :(

Nor Azimah Ali said...

Kedua org tuaku sudah tiada, hanya doa tidak lupa dikirimkan kpd mereka selalu.

Post a Comment