Sahabat Sejati

Friday 13 September 2019

Tunjukilah jalan yang lurus

Jalan yang lurus memudahkan pemanduan (foto hiasan)

Andaikan anda meminta seseorang menunjukkan jalan menuju ke suatu destinasi, lalu ditunjukkan kepada anda satu arah yang lurus tanpa ada bengkak-bengkok. Anda tidak perlu menghiraukan simpang yang banyak kedapatan di kiri dan kanan jalan. Anda hanya perlu menuju terus dan terus... Tidakkah anda merasakan jalan tersebut mudah?

Begitulah Allah menyebut jalan-Nya yang lurus. Ertinya Allah menghendaki kita mengikuti jalan yang bukan sahaja benar malahan mudah dan menyenangkan. Itulah antara kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Dia mahu menyenangkan bukan menyulitkan.

Jalan yang lurus adalah jalan yang satu, tiada dua tiada tiga. Jalan yang telah dirintis oleh para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan juga solehin. Manusia fitrahnya mahu kepada yang baik-baik. Melalui jalan yang lurus bererti memilih jalan yang baik seterusnya menuju keredhaan Allah SWT.

Namun, ada juga yang melihat jalan menuju Allah amat payah. Mereka melihat jalan yang lurus ini penuh kesulitan. Mereka membayangkan di kotak pemikiran betapa sukarnya jalan Allah. Mengapa begitu sukar?

Tentu sukar jika kita mengambil dan mengagungkan sistem atau cara hidup yang bertentangan dengan Islam yang fitrah. Kita melihat jalan yang lurus itu bersimpang-siur, menakutkan dan membosankan. Sebenarnya yang bengkok dan menyusahkan adalah kita bukan jalan-Nya!

Umat Islam mesti menerima jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Jalan itu adalah Islam yang sebenarnya. Bukan Islam yang ditokok tambah, bukan Islam yang hanya menjadi tempelan kosmetik dan disesuaikan dengan jiwa dan kehendak kita. Rasulullah mewarisi agama Islam ini dalam keadaan terang benderang seumpama matahari yang galak menyinari semesta.

Setiap hari kita memohon jalan yang lurus, sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam. Kita meyakini jalan yang lurus itu benar dan menyelamatkan. Memohon jalan yang lurus terkandung di dalam surah al-Fatihah yang dibaca dalam solat.

Namun, setelah memohon jalan yang lurus, kemudian ditunjukkan inilah jalan yang lurus itu. Lalu mengapa kita memilih jalan yang bengkang-bengkok dan menyusahkan?

Tidakkah pelik, jika kita memohon sesuatu daripada seseorang, lalu diberikannya. Tetapi selepas itu kita tidak mengambil apa yang diberikannya itu. Kemudian kita meminta lagi, dan lagi, dan lagi, berkali-kali. Malahan setiap hari ataupun sehingga habis usia kita masih meminta. Namun, setelah diberi kita tidak mengambilnya...

Apakah yang mahu dikatakan kepada orang ini?

Mari kita berfikir sejenak... 

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.” (al-Fatihah: 6-7)

5 comments:

PeRdU cINta said...

Kalau timbul pelbagai masalah.. Sebenarnya ia berpunca dan bermula daripada diri manusia itu sendiri kerana sedari awal telah ada Al Quran dan hadis untuk dijadikan panduan.
Mengikut mahunya nafsu dan selera sendiri sebenarnya terkadang bukan membinasa diri sendiri.. Malahan terpalit pada orang juga. Justeru pilihlah jalan yang lurus dengan telus dan tulus.

AtieYusof said...

TQ atas perkongsian..Mudah2an kita sllu ditunjukkan jalan yg lurus oleh Allah & sllu memohon padaNYA..

norhidana said...

moga perjalanan kita menuju hari akhir nanti di permudahkan...

paridah said...

Allah sediakan jalan yg lurus utk kita lalu ikutilah

Normala Saad said...

Sukar selalunya kita cipta dihati sendiri.

Post a Comment