Pagi tadi saya menerima berita daripada seorang sahabat yang sama-sama terlibat di dalam Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP), berkenaan berita musibah yang menimpa penduduk Kampung Perpaduan Karakit, Pulau Banggi, Kudat di negeri Sabah.
Diberitakan kampung tersebut mengalami bencana kebakaran yang besar. Hampir 81 keluarga hilang tempat tinggal. Dianggarkan seramai 300 orang telah ditempatkan di SK Pekan Kerakit Banggi sebagai penempatan sementara.
Pengerusi YAMCP juga telah mengeluarkan notis untuk menggerakkan bantuan yang akan dihantar ke sana. Insya-Allah, seperti biasa kami akan berusaha mengumpul dana hasil sumbangan daripada orang ramai. Manakala beberapa orang anggota YAMCP akan ke sana untuk menguruskan sumbangan itu nanti.
Alhamdulillah, hasil kerja buat ini tidak pernah mengecewakan. Orang ramai berbondong-bondong menghulurkan sumbangan. Masyarakat masih memberikan kepercayaan kepada kami untuk menguruskan sumbangan mereka.
Oleh kerana itu, saya dan rakan-rakan turut kongsikan apa sahaja aktiviti yang YAMCP lakukan. Tidak kira apa sahaja medium sebaran, samada blog, facebook, whatsapp dan sebagainya. Tujuannya agar masyarakat tahu apa yang kami lakukan dengan sumbangan mereka. Insya-Allah, sumbangan mereka tidak sia-sia dan sampai kepada sasaran.
Kadang-kadang terbit juga perasaan bimbang. Kebimbangan jika disalah erti. Maklumlah jika kerap memaparkan kisah dan foto aktiviti yang dilakukan bersama YAMCP, bimbang dikatakan mahu menunjuk-nunjuk. Lebih daripada itu nanti dikatakan riak dengan kebajikan yang dilakukan. Allahu, moga hati kami sentiasa terjaga daripada sifat riak yang boleh menghancur-leburkan pahala.
Tetapi di sisi yang lain isi hati saya berkata, tidak mengapalah, biarlah apa yang 'mereka' mahu katakan. Asalkan kami tahu apa yang kami lakukan.
2 comments:
Salam ustaz and team YAMCP, teruskan usaha..yg penting niat kita, bukan pandangan org.
Semoga dipermudahkan segala urusan.
Post a Comment