Sahabat Sejati

Sunday, 2 September 2018

Menikmati kenangan di benteng Sungai Kuantan


Menyusuri siar kaki benteng Sungai Kuantan. Menikmati damai dan lembut hembusan angin sore. Tanpa sedar, rupa-rupanya lebih sedekad saya tidak menjejakkan kaki ke sini, terutama setelah stesen bas 'tepi sungai' dipindahkan ke lokasi baru. Perkhidmatan bas 'runcit-runcit telah berpindah ke Jalan Stadium berhampiran Pasar Besar Kuantan, manakala bas ekspres dipindahkan ke Terminal Makmur dan kemudiannya ke Terminal Sentral Kuantan (TSK). Tapak stesen bas tersebut dimajukan menjadi taman rekreasi. Semenjak itu benteng Sungai Kuantan semakin hilang seri dan terluput daripada minda saya.

Baru-baru ini sempena dengan cuti hari kemerdekaan, saya membawa ummu Ikhwan dan si kecil Haikal yang istimewa berkunjung semula ke sini. Bermula dari Taman Esplanade, kami menyusuri laluan pejalan kaki di tepi sungai sehinggalah ke medan makan di hujung laluan. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya tunjuk dan kisahkan kepada mereka. Walaupun sebenarnya ia lebih kepada saya untuk merista bongkah-bongkah memori yang kian terluput di sanubari. 

Pemerhatian saya, banyak benda yang sudah berubah. Termasuklah laluan pejalan kaki, pagar di sepanjang tebing sungai. Arked makan di hujung laluan yang dulunya sentiasa sibuk dengan pengunjung, kini juga sudah pudar serinya. Bot penambang yang menjadi laluan penghubung penduduk di kedua-dua seberang telah pupus tanpa bersisa setelah jambatan Tanjung Lumpur siap sepenuhnya.

2 comments:

Warisan Petani said...

Mengimbau kenangan lama

Nor Azimah Ali said...

Anak sulung saya belajar di kuantan, kalo kami ke sana, kalo sempat kami singgah juga kt sini

Post a Comment