Sahabat Sejati

Thursday, 14 June 2018

Tarawih terakhir Ramadhan tahun ini

Masjid Tengku Mahkota Abdullah al-Haj (sumber foto)

Solat tarawih yang terakhir bagi Ramadhan tahun ini.

Saya bertarawih di Masjid Tengku Abdullah al-Haj yang letaknya berhampiran dengan taman perumahan saya. Ia adalah sebuah masjid baru, seingat saya baru diimarahkan dalam dua tahun selepas siap pembinaannya.  Alhamdulillah, malam ini bilangan jemaah yang bersolat tarawih masih konsisten. Jika berkurang pun tidaklah terlalu ketara.

Sebelum terbinanya masjid ini, kami semua berjemaah di Masjid Qaryah Balok selain daripada surau di taman perumahan masing-masing. Masjid ini dibina dalam tahun 60-an. Kiranya sudah lama masjid ini dan telah menerima beberapa kali sentuhan pengubahsuaian.

Oleh kerana pertambahan ahli jemaah pada setiap masa ekoran banyak taman perumahan baru dibuka, maka pihak pemerintah telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru yang diberi nama Masjid Tengku Abdullah al-Haj.

Malam ini solat tarawih dipimpin oleh Syeikh Mustafa Zaidan rahimahullah. Saya 'tenggelam' menghayati kefasihan dan kemerduan bait-bait kalamullah yang dilantunkan. Bagaikan terlupa lamanya berdiri kerana asyik melayani bacaan maqam Nahawand yang bernuansa kesedihan yang menembusi gegendang telinga. Bagai menzahirkan kesedihan di atas perpisahan dengan Ramadhan yang bakal berakhir.   

Syeikh Mustafa Zaidan berasal dari Syria. Beliau di antara individu yang menjadi pemegang sanad al-Quran di Syria. Seringkali menyampaikan kuliah ilmu di sekitar Kuantan selain menjadi imam tarawih jemputan pada bulan Ramadhan.

Alhamdulillah seronok bertarawih berimamkan orang 'alim. Lain macam serasa aura dan perasaan hati, Namun demikian terbit kesayuan dan kesedihan kerana akan berpisah dengan Ramadhan tahun ini. Tahun hadapan belum tentu ada kesempatan kerana taqdir kehidupan adalah milik mutlaq-Nya. Moga Allah mengizinkan lagi, ameenn...

   Syeikh Mustafa Zaidan rahimahullah

2 comments:

Warisan Petani said...

Mudah2an kita akan ketemui lagi bulan2 Ramadan yang akan datang

Nor Azimah Ali said...

Sudah tentulah ada kelainan krn dia membaca dgn roh, yg mendengarnya terkesan juga rohnya

Post a Comment