Entahlah, tiba-tiba saya merasakan benar-benar amat bererti pilihanraya umum kali ini. Oh, ia tiada kena mengena dengan keputusan pengundian yang telah berakhir. Walaupun negeri saya telah bertukar menjadi negeri pembangkang setelah kerajaan pusat bertukar, namun bukan itu yang menjadi penyebab detak perasaan saya.
Saya masih lagi mengundi di kampung. Tidak terfikir lagi mahu bertukar tempat mengundi di tempat tinggal saya kini. Buat masa ini, saya merasa amat selesa untuk pulang mengundi di kampung. Biarpun ada sebilangan rakan di sini yang 'memujuk' agar bertukar tempat mengundi. Tetapi ia belum lagi mampu saya penuhi. Mungkin di masa akan datang jika masih punyai lagi baki usia..
Seutamanya saya merasa gembira mengundi di kampung kerana dapat bertemu dengan saudara-mara dan sahabat handai yang turut mengundi di tempat yang sama, samada yang masih tinggal di kampung atau yang telah bergelar perantau. Ada yang dari Terengganu, Johor, Melaka, Kuala Lumpur serta yang di daerah lain dalam negeri Pahang. Kami sama-sama pulang untuk menunaikan kewajipan kepada negara yang tercinta ini.
Tatkala ditanya mengapa tidak sahaja bertukar tempat mengundi di negeri yang diduduki, bukankah itu lebih mudah tidak perlu berkejar pulang. Lebih-lebih lagi jika hari mengundi dijalankan pada hari biasa seperti PRU 14 ini. Ternyata alasan mereka sama, "inilah peluang mahu bertemu dengan sahabat-sahabat."
Benar, pada hari lebaran pun amat sulit untuk bertemu. Ada yang pulang, ada yang tidak. Ada yang menyambut lebaran bersama keluarga sebelah mertua. Tetapi untuk mengundi pilihanraya, masing-masing gagahi jua untuk pulang. Tidak kisahlah apa pilihan parti politik mereka. Itu milik keyakinan masing-masing. Namun, peluang bertemu dan berkumpul sebegini seharusnya dimanfaat semaksimum mungkin.
Alhamdulillah, dalam ramai-ramai sambil bersenda-gurau, saya menyampaikan ucapan ringkas, "Dalam PRU yang lalu ada beberapa sahabat yang kita lihat masih bersama, tetapi kali ini mereka tiada bersama kita. Dimanakah mereka?"
Sambil memerhatikan wajah sahabat satu persatu, saya menyambung kembali, "Ada yang tidak dapat pulang mengundi kerana kesulitan yang berbagai, itu cerita lain. Tetapi ramai di antara kita yang telah pulang ke rahmatullah, yang menyebabkan mereka tidak dapat bersama kita pada hari ini dan sampai bila-bila."
Angin lembut yang bertiup menambah damai rasa.
"Dan pada PRU yang akan datang, tidak pasti apakah kita semua masih dapat bertemu semula seperti hari ini atau bagaimana. Entah siapa pula di antara kita yang akan dijemput Tuhan. Mungkin saya, mungkin sahabat-sahabat." Saya mengakhiri ucapan ringkas tersebut.
Pastinya kata-kata tersebut saya tujukan kepada diri saya sendiri. Dalam diam saya menghitung diri, entah berapa banyak lagi usia yang masih berbaki. Seandainya dijemput Tuhan sebentar lagi, apakah telah cukup apa yang perlu dibawa? Allahu..
0 comments:
Post a Comment