Cuti sekolah sudah pun bermula, sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina. Anak-anak saya yang menginap di asrama, masing-masing telah pun berada di rumah. Acik Adawiyah pulang semalam dari asramanya di SMKAA. Manakala angah Irsalina balik tengahari tadi. Saya meminta Ummu Ikhwan menjemput kedua-duanya di sekolah hari ini, berikutan kesibukan saya dengan beberapa perkara.
Seperti biasa Ummu Ikhwan tidak pernah menghampakan. Bersedia mengambil alih tugas saya tanpa berbasa-basi. Justeru, memandulah Ummu Ikhwan ke Alor Akar pada hari semalamnya dan hari ini pula ke Kemaman dengan menempuh kesesakan jalanraya bersabit cuti perayaan ini. Apa pun, syukur pada-Mu Tuhan yang memudahkan urusan, serta terima kasih yang tidak terhingga kepada Ummu Ikhwan atas pertolongan yang diberikan.
Peluang berkumpul bersama malam ini kami penuhi dengan meraikan hari ulang tahun kelahiran Ummu Ikhwan dan angah Irsalina. Kendati tarikh keduanya sudah pun berlalu, tetapi tidak kisahlah. Yang penting ada sambutan sebagai satu penghargaan kepada mereka berdua. Hanya sambutan kecil dengan sebiji kek dan sedikit jamuan kecil. Asalkan semua merasa gembira dihargai seadanya.
Teringat sewaktu kecil dahulu, ayahanda dan bonda saya tidak pernah menyambut hari lahir saya. Setiap tahun tarikh bersejarah tersebut berlalu begitu sahaja. Ayahanda dan bonda juga tidak pernah hadir ke sekolah saya untuk meraikan apa-apa acara yang perlu untuk saya. Apa yang berlaku, sesekali abang atau kakak saya hadir bagi menggantikan mereka berdua. Demikianlah seingat saya.
Adakah saya menyalahkan mereka? Berkecil hati dengan mereka? Memberontak? Tidak! Tidak sekali-kali. Saya tidak pernah menyalahkan ayahanda dan bonda. Walaupun ketika itu seringkali ekor mata saya melihat rakan-rakan dikunjungi dan diraikan ibu bapa masing-masing. Namun, saya amat memahami keadaan ketika itu. Ayahanda dan bonda cuma berkerja kampung, kesibukan dan kepayahan membanting tulang menyara anak-anak, jadi manalah kesempatan untuk meraikan hari lahir saya, malahan apa-apa acara yang perlu. Kesusahan mereka, perit-jerih mereka menyediakan pelajaran untuk saya agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain lebih besar ertinya.
Namun untuk anak-anak dan keluarga, saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak terlepas untuk meraikan apa sahaja hari mereka sekadar mana termampu. Hari ulang tahun kelahiran mereka, acara mereka di sekolah dan sebagainya, sedaya upaya saya cuba penuhi. Pernah beberapa kali saya 'merempit' bermotosikal (kereta masuk wad) dari Kuantan ke Jerantut sewaktu anak sulung belajar di sana, semata-mata meraikan acara sekolahnya. Sama juga merempit ke Kemaman. Bahkan bukan sekali, tetapi berkali-kali.
Mengapa saya lakukan ini? Ianya semata-mata meraikan hari anak-anak, agar mereka sentiasa merasa dihargai. Seterusnya satu hari nanti mereka mengenang akan apa yang dilakukan oleh abi atau ummi kepada mereka. Dihargai, agar turut menghargai..
2 comments:
Salam hari lahir utk ummu ikhwan dan angah irsalina yea.
Yelah kan, mak ayah kita dulu2 mana lah tau nak celebrate hari lahir mcm sekarang ni. Tapi eloklah kita buat bagi meraikan org2 yg kita sayang.
ASSALAM USTAZ MOGA SHT SEJAHTERA SEKELUARGA...IMPIAN KITA BEGITULAH..SEBOLEH BOLEHNYA MAHU NEMBERIKAN KEBHGIAN KPD KELUARGA YG KITA SYG SELURUHNYA..SLMT ULNGTAHUN KLHIRAN UMMU N IRSALINA
Post a Comment