Sahabat Sejati

Sunday 27 August 2017

Jangan sampai lenyap dah la...

sumber: Google

Ketika bersantai-santai sambil melayari laman sesawang, tanpa sengaja saya tersua dengan sekeping gambar yang menghadiahkan satu detik yang menghanyutkan dalam arus kenangan. Ianya sekeping gambar Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut yang saya kira ia diambil sekitar tahun 80-an. Cantik benar gambarnya dengan suasana kehijauan yang masih elok terpelihara. Suasana segar yang tampak damai ini sangat 'kena' dengan jiwa saya.

Saya tidak betah berlama-lama di kelilingi hutan batu. Jiwa saya cepat mengeras dengannya. Justeru, paling tidak sebulan sekali keluar mencari-cari damai diri. Masuk hutan, menyusuri alur jernih atau mendirikan khemah di pulau yang dikelilingi kebiruan air laut. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dikurniakan teman-teman yang berkongsi minat yang sama. Suka mencari damai pada suasana hijau alam.

 'Kunjungan ke Taman Negara buat kali kedua. Lihat perbezaan warna air sungai'

Sudah 3 kali saya ke Taman Negara Kuala Tahan. Sejak kali pertama pada tahun 1999, menjadi salah seorang peserta kursus 'Bina Insan'. Sungguh, mula-mula menjejakkan kaki di sana, saya mula jatuh cinta dengannya. Suasana alam yang mendamaikan ternyata amat serasi denga jiwa 'hijau' saya.

Taman Negara boleh dihubungkan melalui jalan darat dan dengan menaiki bot. Saya belum pernah lagi merasai pengalaman ke sana melalui jalan air. Dengarnya sangat menyeronokkan dengan perjalanan yang mencapai hampir 3 jam lamanya. Tiga kali saya ke sana semuanya dengan melalui jalan darat.

Tahun 99, jalan yang menghubungkannya masih lagi belum diturap dengan tar, masih jalan tanah merah. Permukaan jalan yang tidak berapa rata amat tidak memberi keselesaan. Mujurlah di kiri dan kanan sarat dengan kehijauan pepohon yang merimbun. Sedikit sebanyak memberi kedamaian sekaligus melupakan kenderaan sesekali melambung-lambung.

Kalaulah ketika itu sangat mudah dengan kamera digital atau 'smart phone' seperti hari ini, tentu banyak kenangan yang dapat dirakam. Sebaliknya kami 'mengetip' gambar menggunakan kamera lama yang perlu diisi filem di dalamnya. Tentu sekali agak terhad penggunaannya. Apakan daya, itu sahaja pilihan yang ada pada masa itu.


Apa yang mahu saya simpulkan dalam entry ini ialah betapa jelas ketara perbezaan kualiti warna air sungai di antara dua gambar tersebut. Saya sendiri menyaksikan warna air sungai yang agak keruh sewaktu mudik ke hulu. Walaupun ia tidak mengurangkan kunjungan pelancong saban tahun ke sana, tetapi jelas ada sesuatu yang berlaku menyebabkan air sungai bertukar warna dan pihak berwajib perlu berbuat sesuatu.

Dua tiga tahun lepas saya ada membaca di dalam akhbar berita mengenai beberapa sungai di Pahang yang semakin cetek. Termasuk juga sungai Pahang yang 'gah' itu. Jika sungai Pahang pun diancam kekeringan, maka sungai-sungai lain di kawasan sekitar tentu mengalami nasib yang sama. Hasil siasatan ia berpunca daripada pembalakan yang tidak terkawal di hulu sungai. Jika ini berterusan maka tidak mustahil apa yang ada sekarang tidak akan dapat ditatapi dan dinikmati oleh generasi akan datang.

4 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Itulah kan akibat kerakusan manusia nk dapat keuntungan hampir pupus khazanah hutan kita.Aliran sungai juga terjejas....kesian kan generasi akan datang ,apa lagi lh yg tinggal.

Ainniah Zulkefli said...

sedih dengan keadaan alam sekitar yang semakin diancam. akibat terlalu mengejar kemajuan, inilah salah satu yg akan terkorban.

Normala Saad said...

kesedaran dan penjagaan alam sekitar oleh rakyat Malaysia amat rendah. Kawasan pelancongan terlalu dikomersilkan sehingga merosakkan & mencemarkan landskap. Ditempat saya pun berlaku masalah begini.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...taman negara semakin hilang keindahan aslinya kerana terlalu dicantikan dgn tuntutan rezki sumber pelancongan

Post a Comment