Tidak salah mencari kesenangan dan kekayaan, asalkan ianya dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dengan kekayaan juga kita dapat meningkatkan ekonomi umat Islam dengan cara mengeluarkan zakat, sedekah, waqaf, infaq dan sebagainya. Apa yang kita bimbang jika kekayaan kita ini mengheret kita ke arah kebinasaan dan menjadi punca kemurkaan Allah SWT.
Islam adalah agama yang mengutamakan kebahagiaan dunia dan akhirat, tanpa meninggalkan salah satu darinya. Tidak benar jika seseorang mengejar dunia sehingga tidak mempedulikan akhirat. Begitu juga kuat beribadat sehingga mengabaikan tanggungjawab sesama masyarakat. Islam bukan agama yang ekstrem. perlu ada keseimbangan di antara dunia dan akhirat. Bukankah untuk mendapatkan akhirat memerlukan dunia?
Sabda Rasulullah saw:
“Bukanlah orang baik daripada kamu mereka yang meninggalkan dunia kerana akhirat semata-mata dan bukanlah juga baik jika ia meninggalkan akhiratnya kerana mengerjakan dunianya semata-mata. Sebaliknya hendaklah ia berusaha mendapatkan kedua-duanya sekali, kerana dunia sebagai jambatan untuk menuju akhirat. Dengan sebab itu janganlah jadikan diri kamu itu kepayahan kepada orang lain.”
Jelas ingatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw, iaitu mukmin yang baik ialah yang mengejar dunia tanpa mencicirkan akhirat dan memburu akhirat tanpa meninggalkan dunia. Mereka beramal dan beribadat dan dalam masa yang sama mereka berusaha mencari rezeki untuk keperluan hidup. Dunia adalah jambatan menuju akhirat, oleh itu pastikan usaha yang dilakukan di dunia dapat disalurkan ke akhirat.
Islam juga melarang umatnya hidup bermalas-malasan, berpeluk tubuh dan mengharap pemberian dari orang lain. Tetapi mestilah berusaha untuk memajukan diri disamping masyarakat sekeliling haruslah memberi sokongan dalam bentuk yang berbagai. Betapa cantiknya sistem muamalat yang diatur oleh Islam.
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)
2 comments:
Assalamualaikum ustaz...
Terimakasih bagi tazkirah ,semoga kita sama2 dapat seimbang kan dunia dan akhirat.
Salam...banyak yang kejar dunia abai akhirat..Saya pernah baca satu panduan hidup. Dia kata lebih kurang begini..jika sampai pada satu tahap umur dan kita masih tak mencapai apa yang kita nak, lupakan saja.Usah kejar lagi. Adalah lebih baik kita sediakan & penuhi diri kita dengan amalan yang tertinggal selama ini untuk bekalan kita kesana kelak.
Post a Comment