Sahabat Sejati

Thursday, 13 July 2017

Rumah terbuka, jangan lupa puasa 6

Bulan Syawal telah hampir memasuki minggu yang ketiga. Bahang kemeriahannya pun telah semakin berkurangan. Malahan kehidupan seharian juga telah berjalan seperti biasa. Cuma jika ada pun jemputan rumah terbuka yang menyajikan lagu-lagu raya yang bagaikan memaksa-maksa diri agar merasakan kita masih lagi sedang beraya.

Raya tahun ini saya mendapat banyak undangan rumah terbuka berbanding tahun lalu, samada daripada sahabat maupun pertubuhan. Boleh dikatakan setiap hari Sabtu dan Ahad ada sahaja jemputan. Manakala hujung minggu ini adalah yang terbanyak. Lebih kurang sepuluh jemputan yang diterima untuk dipenuhi. Entahlah, saya sendiri tidak berkeyakinan dapat memenuhi semua undangan. Mustahil, sememangnya mustahil untuk menghadiri kesemua sekali. 

Namun begitu, dalam keghairahan kita menghadiri jamuan rumah terbuka, janganlah pula lupa untuk menyempurnakan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal. Tidak kisahlah samada enam hari berturut-turut atau secara terputus. Walaupun enam hari berturut-turut adalah sunat dan lebih afdhal bermula 2 Syawal, tetapi ulama juga sepakat bahawa ia bolehkan secara terputus asalkan cukup enam hari di dalam bulan Syawal.   

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun.

Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Dari Abu Ayyub al Anshari ra. Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun”. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasaie dan Ibnu Majah).

Maka ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja. Betapa ruginya nanti!

2 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz....Alhamdulillah dah pun abis puasa 6 syawal.Akak xdelah jemputan rumah terbuka tapi jemputan majlis perkhawinan ada je setiap hujung minggu.
Banyak tu 10 undangan ustaz...rezeki kan tapi kalau dh banyK payah juga nk penuhi.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtera sekeluarga...banyak betul undangan rumah terbuka tu..hadirlah mana yg sempat

Post a Comment