Sahabat Sejati

Monday, 10 July 2017

Alhamdulillah, lega..lega

'sebahagian yang telah siap dicetak'

Alhamdulillah, lega betul rasanya. Barulah boleh menarik nafas panjang-panjang. Mana tidaknya, hmm, tidak terkejar masa, sampai mahu memblog pun agak terbantut. Sekali lagi ucapan syukur - Alhamdulillah.

Bahan-bahan promosi untuk misi ibadat korban dan aqiqah, termasuk juga badal haji melalui pengurusan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang  (YAMCP) telah pun siap sepenuhnya. Setiap tahun saya diberi tanggungjawab untuk menyediakan bahan-bahan promosi tersebut. Bermula daripada menyediakan artwork poster, bunting, banner, brosur, sehinggalah ia selesai di'print'. Setelah itu, bahan-bahan tersebut diagihkan kepada semua wakil YAMCP di seluruh negeri Pahang.    

Tahun ini pelaksanaan korban dan aqiqah masih di tempat yang sama iaitu Sudan, Sri Lanka dan India. Manakala di dalam negara selain pedalaman Sabah, tahun ini ditambah satu lagi lokasi iaitu perkampungan orang asal di sekitar Pahang. Sebelum ini kami turut melakukan misi kemanusiaan ibadat korban dan aqiqah di Vietnam, Kemboja, Filipina dan pedalaman Sarawak.

Namun, setelah dibuat penyelarasan semula oleh YAM Pusat, lokasi-lokasi tersebut diserahkan kepada cawangan negeri lain. Alhamdulillah, ringan sedikit beban kerja, bayangkan berapa ramai sukarelawan yang diperlukan untuk menguruskannya. Tetapi, walau apa keadaan sekalipun, amanah dan tanggungjawab yang diberikan tetap dipikul dengan senyuman yang paling 'menawan'.

Berkunjung ke lokasi-lokasi dalam misi kemanusiaan ini amat menginsafkan. Apa yang boleh dikatakan, terdapat lokasi yang dikunjungi boleh diibaratkan 'makan daging setahun sekali'. Maknanya jika tiada siapa yang membuat ibadah korban atau aqiqah di situ, maka tidak merasa daginglah mereka pada tahun itu. Benar-benar dhaif. Dan sememangnya lokasi-lokasi yang sedemikian dipilih untuk misi kemanusiaan ini.

Seronok dan bahagia sekali tatkala melihat senyuman yang terpamer di wajah-wajah mereka apabila dihulurkan bungkusan berisi daging korban. Tetapi sangat menginsafkan apabila melihat mereka mencicip sehingga 'licin' tidak tersisa apa yang ada di dalam pinggan. (untuk aqiqah - kami memasak dan menjamu mereka). Inilah di antara nikmat dalam menyertai misi kemanusiaan. Semuanya menerbitkan keinsafan dan rasa syukur dengan apa yang dimiliki berbanding mereka yang diuji dengan kesusahan.

Moga Allah SWT mempermudahkan urusan kami dalam setiap misi kemanusiaan yang sertai. 

3 comments:

Nor Azimah Ali said...

Saya 5 org ank semua buat akikah di luar, di tempat2 yg rasanya lebih afdal.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga..xrugi kta turut brkongsi klebihn yg dimiliki dgn saudara2 kita yg kurang berada mlht kgmbiraan mrk adalah kbhgiaan kita

Normala Saad said...

SEmoga dipermudahkan segalan urusan ustaz.

Post a Comment