foto hiasan ~ sumber
Pekerjaan Nabi Muhammad saw Ketika Kecil
Ketika mula menginjak usia remaja, Nabi Muhammad saw tidak mempunyai pekerjaan tetap. Ada riwayat hanya menyebut baginda pernah menggembala kambing. Baginda menggembala kambing sejak hidup di perkampungan Bani Saad dan diteruskan ketika berada di Mekah.(1) Di Mekah, baginda menggembala kambing milik penduduk Mekah dengan bayaran beberapa dinar.(2)
Pada usia 25 tahun, Rasulullah saw berdagang ke Syam untuk menjalankan perniagaan saudagar kaya bernama Khadijah. Ibnu Ishaq berkata, "Khadijah binti Khuwailid ialah seorang saudagar wanita yang kaya-raya dan terkenal. Dia biasanya mengupah pekerja lelaki untuk menjalankan perniagaannya atau dengan sistem al-mudarabah iaitu dengan pembahagian hasil keuntungan."
Sementara itu, Quraisy ialah kaum yang terkenal dengan aktiviti perdagangan. Ketika berita tentang kejujuran Rasulullah saw, keteguhannya menjalankan amanah serta kemuliaan akhlaq sampai ke telinga Khadijah, dia segera mengutus seseorang untuk menawarkan pekerjaan kepada baginda. Khadijah memberikan peluang kepada baginda untuk menguruskan perniagaannya ke Syam. Khadijah menjanjikan bayaran lebih banyak dibandingkan dengan bayaran yang selama ini diterima oleh pedagang lain.
Baginda juga dibantu oleh seorang pembantu bernama Maisarah. Tawaran tersebut diterima oleh Rasulullah saw. Baginda pun berangkat ke Syam untuk menjalankan perniagaan Khadijah. Baginda ditemani oleh pembantu Khadijah yang bernama Maisarah hingga sampai ke Syam.(3)
Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 166.
(2) Muhammad al-Ghazali, Fiqg al-Sirah, hal. 52.
(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 187-188.
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
2 comments:
Sesungguhnya keperibadian baginda itulah yg membuat Saidatina Khadijah tidak ragu-ragu untuk memberikan baginda pekerjaan. Kejujuran dan kebolehan baginda terserlah di mata semua sebenarnya..
Assalam ustaz oga sht sjhtra sekluarga...keperibadian rasululllah yg mulia sempurna memikat hati semua.
Post a Comment