Sahabat Sejati

Sunday, 12 February 2017

Meraikan hari Angah Irsalina di PPTI Kemaman


Kebetulan pula along Ikhwan dan acik Adawiyah sama-sama balik dari asrama minggu ini. Kebetulan juga saya tidak mempunyai apa-apa komitmen, baik di dalam kawasan maupun sebaliknya. Jadi, saya mencadangkan kepada semua untuk menziarahi angah Irsalina di PPTI Kemaman. Semua akur, mengikut sahaja.

Jadi, pada hari Sabtu kami sekeluarga menyusuri jalanraya menuju ke PPTI Kemaman. Cuaca cerah molek mengiringi perjalanan kami. Setibanya di bandar Kemaman, kami singgah sebentar untuk membeli kek sebagai meraikan ulangtahun kelahiran angah. Maklumlah, pada hari ulangtahun kelahirannya, dia berada di asrama. Jadual pulangnya pada akhir bulan ini. Lambat lagi jika mahu meraikannya di rumah. Memikirkan keadaan demikian, biarlah kami yang ke sana untuk meraikannya. Tak apalah cuma lewat tiga hari.

Berazam untuk tidak terlepas meraikan apa-apa 'event' milik anak-anak.  

Apa sahaja, samada majlis hari lahir, majlis khatam al-Quran, hari graduasi, hari anugerah kecemerlangan atau majlis penyampaian hadiah, ia adalah hari untuk meraikan anak-anak kita. Saya sentiasa cuba memastikan dapat hadir apa sahaja program atau majlis untuk anak-anak. Biarpun sejauh di Pulau Tawar, Jerantut, ketika along Ikhwan belajar di sana. Begitu juga menjenguk angah Irsalina di Kemaman. Saya gagahi juga untuk ke sana biarpun dengan menunggang motosikal. Saya tahu betapa bernilai dan besarnya makna majlis ini kepada mereka. Namun, kadang-kadang saya terlepas juga untuk meraikannya apabila bertembung dengan beberapa program kebajikan atau saya terpaksa keluar kawasan. 

Semasa di sekolah rendah, seringkali saya naik ke pentas untuk menerima hadiah kecemerlangan. Bermula dari darjah satu hinggalah darjah enam. Namun, ibu dan bapa saya tidak pernah datang ke sekolah meraikannya. Biasanya abang atau kakak yang datang sebagai pengganti. Begitu juga majlis hari lahir, tidak pernah ibu dan bapa raikannya. Tetapi saya tidak pernah berkecil hati atau menyalahkan mereka, saya benar-benar memahami akan kesusahan mereka pada waktu itu. Kesungguhan mereka menanggung persekolahan saya biarpun mereka sekadar bekerja kampung amat saya hargai. Bahkan ianya satu jasa yang terlalu besar nilainya yang tidak akan mampu saya balas selamanya.

"Mudah-mudahan Allah SWT merahmati kedua ibu bapaku di atas kebaikan mereka..." 

Apapun, hari ini adalah hari anak-anak kesayanganku. Saya akan cuba meraikan mereka biarpun tubuh dan minda bersimpang kepenatannya. Kerana hari ini adalah hari mereka.

2 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Samalah akak ,ustaz...makpak akak tak pernah kisah pun harijadi akak masa kecil dulu tapi kita faham kesusahan mereka.
Anak akak Iman harilahir akak belum lagi beli kan kek kerana dia minta buatkan pulut kuning...nak juga beli kan kek dia biarpun lambat .Lagipun kakak abang dia xde utk rai bersama.
Selamat hari lahir untuk Angah...semoga terus menjadi penyejuk hati ayah dan bunda di dunia dan di akhirat.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga. Selamat hari lahir angah moga sbg anak soleh kebanggaan keluarga.

Post a Comment