Pada Sabtu yang lalu, sekali lagi saya dan ummu Ikhwan ke Kulliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar yang terletak di daerah Pekan. Tidak ketinggalan 'si kecil Haikal yang istimewa' dan juga acik Adawiyah yang kebetulan balik dari asramanya. Tujuan ke sana adalah untuk turut sama dalam majlis Munajat Perdana khusus kepada para calon SMA, SPM dan juga STAM. Ia adalah tempat anak sulung saya belajar yang juga merupakan calon untuk menduduki peperiksaan STAM pada tahun ini.
Maka, seawal jam 7 pagi bertolaklah kami semua dengan diiringi panjatan doa. Jika diikutkan majlis bermula jam 8.45 pagi, tetapi sengaja kami keluar awal kerana mahu singgah bersarapan di Kampung Ubai. Apa yang istimewa di sana? Sebut sahaja Kampung Ubai, tergambar juadah 'femes'nya iaitu nasi dagang Ubai! Sudah beberapa kali saya dan keluarga singgah menikmati keenakan nasi dagang Ubai. Selain itu harganya juga berpatutan.
Majlis dimulakan dengan solat sunat hajat serta doa munajat. Alhamdulillah, doa dibaca dalam bahasa melayu, jadinya adalah kesan menusuk ke dalam hati kepada para ibu bapa yang hadir. Yalah, jika dalam bahasa arab, tentunya yang tahu berbahasa arab sahaja yang memahami maksud doa tersebut. Kemudian diikuti dengan bacaan surah Yaasin. Semua acara tersebut dipimpin oleh sahabat saya iaitu Ustaz Datuk Ahmad Faizul, mantan johan tilawah peringkat antarabangsa bagi tahun 2013.
Setelah itu tuan pengetua Kulliah Abu Bakar mengambil slot ucapan alu-aluan. Saya tertarik dengan ucapan tuan pengetua yang yang diselang-seli dengan jenaka yang mencuit hati. Ubat mengantuk! Tuan pengetua memaparkan statistik keputusan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya melalui pancaran LCD projektor. Meneliti keputusan tersebut, nampaknya peratus yang lulus meningkat saban tahun. Untuk tahun ini, wallahua`lam, harap-harap grafnya terus menaik. Aminn...
Sebelum ibu bapa dan guru dijamu dengan hidangan makan tengahari, slot motivasi mengambil tempat. Untuk slot ini, para pelajar diminta duduk bersama ibu bapa mereka. Saya amat tertarik dengan penyampaian yang baik dan teratur oleh motivator (saya lupa namanya). Kelihatan ramai juga pelajar yang menangis teresak-esak. Diterjah keinsafan barangkali tatkala motivator membilang-bilang setiap pengorbanan ibu dan bapa.
Makan tengahari yang disediakan amat menyelerakan. Masak lemak labu kuning (orang kampung saya menggelarnya labu perenggi) yang pekat santannya. Diganding pula dengan ayam gorang dan ikan masin yang digoreng dengan hirisan lada. Tidak ketinggalan ulam-ulam dan sambal belacan yang bisa mengeluarkan air mata dek kepedasannya. Alhamdulillah, kami sekeluarga mencicip dengan tidak bersisa, rezeki Allah!
Saya cukup tertarik dengan hasil seni ini yang terletak di satu sudut bangunan. Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang, saya menekan butang kamera henfon. Air tercurah daripada timba kecil menakung ke dalam baldi yang besar. Saya menafsir sendiri, ia ibarat ilmu yang sedikit, tetapi jika ditimba sedikit demi sedikit, dituntut hari demi hari, maka akan bertambahlah ilmu tersebut.
Dengan baki hari peperiksaan tinggal dalam dua minggu lagi, saya berpesan kepada anakanda sulung pada hari tersebut; untuk mendapat kejayaan yang luar biasa, maka usaha yang diperlukan juga turut luar biasa. Jika usaha sekadar 50 peratus, tidak mustahil kejayaan yang diperolehi juga setakat 50 peratus. Mahu kejayaan yang hebat, berusahalah dengan hebat. Mahu kejayaan 'cukup makan', maka berusahalah sekadar 'cukup makan'. Pilihan di tangan sendiri. Orang lain hanya boleh tolong berdoa, memberi nasihat dan kata-kata semangat. Tetapi mereka sendirilah yang perlu berusaha sebaik dan segenap cara.
Selain usaha dan ikhtiar, doa juga amat penting. Tidak mungkin kita berjaya dengan usaha kita sendiri, melainkan pasti ada campurtangan Allah SWT. Ia adalah sesuatu yang mesti diimani. Setelah usaha dan ikhtiar, ditambah dengan doa yang sungguh-sungguh, maka yang terakhir ialah tawakkal kepada-Nya. Apa sahaja keputusan terimalah dengan dada yang lapang dan terbuka.
Allahu al-Musta`an.
4 comments:
Assalamualaikum
Salam Jumaat ustaz.
Semoga anakanda dapat menjawap peperiksaan dengan tenang dan beroleh kejayaan yg luarbiasa.
Sedapnya makanan dijamuan ...masakan kampung ,tentu menyelerakan.
Assalamualaikum
Salam Jumaat ustaz.
Semoga anakanda dapat menjawap peperiksaan dengan tenang dan beroleh kejayaan yg luarbiasa.
Sedapnya makanan dijamuan ...masakan kampung ,tentu menyelerakan.
Alhamdulillah dpt sama-sama menadah tangan, sujud sama bermunajad mohon semua anak-anak dipermudahkan dalam peperiksaan yg akan diduduki.
Kakak tengok baldi tu memang uniklah..
Assalam...moga ustz sejhtra sekeluarga ALHAMDULILLAH...ibubapa turut mengaminkan doa kejayaan utk anak2 tersayang...moga calon2 yg mnduduki pepperiksaan kelak berjaya cemerlang.
Post a Comment