Foto hiasan: sumber
Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (13), di bawah tajuk: Penduduk Luar Mekah yang Mengakui Diri Beriman
3. Abu Zar al-Ghiffary. Dia penduduk di sebuah daerah pinggiran Yathrib. Tatkala khabar tentang diutusnya Nabi Muhammad saw sebagai rasul sampai di Yathrib yang dibawa oleh Suwaid bin Shamit dan Iyas bin Muaz, khabar tersebut sampai juga ke telinga Abu Zar. Mereka menjadi sebab keislamannya.(1)
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa Abu Zar berkata, "Aku adalah orang Ghiffar. Ketika sampai kepada kami berita tentang seseorang yang muncul di Mekah dengan mendakwa dirinya sebagai nabi, maka aku meminta tolong kepada saudaraku, "Temuilah orang itu dan bercakaplah dengannya. Selepas itu bawakanlah kepadaku khabar tentang dirinya."
"Saudaraku kemudian pergi ke Mekah dan bertemu dengannya. Ketika saudaraku pulang, aku bertanya kepadanya, "Berita apa yang kau bawa?" Saudaraku itu menjawab, "Demi Allah, aku telah bertemu dengan seseorang yang menyuruh melakukan kebaikan dan melarang keburukan." Aku berkata kepadanya, "Khabar yang kau bawa ini masih belum cukup memuaskanku."
"Segera kuambil kantung bekalan dan tongkat lalu aku berjalan menuju ke Mekah. Aku tidak mengenali orang itu (Muhammad) tetapi aku juga tidak mahu menanyakannya kepada orang. Aku minum air zamzam dan tidur di masjid."
Abu Zar meneruskan, "Sehinggalah Ali melintas di hadapanku. Dia berkata, "Kelihatannya kamu orang asing." Aku menjawab, "Ya." Ali berkata, "Jika begitu, mari ke tempat penginapan." Aku pun pergi bersamanya. Ali tidak bertanya sedikit pun dan aku tidak bertanya apa-apa kepadanya serta tidak memberitahu apa-apa kepadanya."
Abu Zar meneruskan, "Pada keesokan hari, aku pergi ke masjid. Aku berharap ada orang yang boleh kutanya tentang lelaki itu. Namun begitu, ternyata tidak ada seorang pun yang boleh ku tanya tentang lelaki itu. Hinggalah Ali melintas di hadapanku untuk kali keduanya. Ali bergumam, "Adakah lelaki ini masih tidak tahu jalan untuk ke tempat penginapan?" Aku menjawab, "Ya." Ali berkata, "Jika begitu marilah berjalan bersama ku."
Abu Zar meneruskan, "Akhirnya Ali bertanya kepadaku, "Apakah urusan kamu dan apakah yang mendorongmu datang ke negeri ini?" Aku memastikan terlebih dahulu, "Jika kau mahu merahsiakan urusanku, aku akan memberitahu." Ali berkata, "Ya, aku akan merahsiakannya."
"Maka kujelaskan kepadanya, "Telah sampai berita kepada kami bahawa seorang lelaki muncul di negeri ini dengan mendakwa dirinya sebagai nabi. Aku telah mengutus saudaraku untuk bercakap dengannya tetapi khabar yang dibawanya tidak memuaskanku. Maka, aku kemari untuk menemui lelaki itu sendiri."
"Ali berkata, "Sesungguhnya kamu memberitahu pada orang yang tepat. Ikutlah aku. Apabila aku masuk, maka kamu pun masuk. Jika aku melihat seseorang yang kukhuatirkan akan membahayakan keselamatanmu, aku akan berdiri mendekati tembok untuk berpura-pura membetulkan seliparku. Maka, kamu teruslah berjalan seolah-olah tidak mengenaliku."
Ali mula melangkahkan kakinya dan aku mengikutinya dari belakang . Kemudian, dia masuk dan aku turut masuk menemui Nabi Muhammad. Aku meminta kepada baginda, "Ceritakanlah kepadaku tentang Islam." Baginda pun menerangkan tentang Islam kepadaku. Maka, aku menyatakan diri untuk memeluk Islam di tempat itu juga."
Abu Zar meneruskan, "Selepas itu Rasulullah saw berkata kepadaku, "Rahsiakanlah keislamanmu ini, wahai Abu Zar. Pulanglah ke negerimu. Jika berita tentang kemenangan kami telah sampai kepadamu, datanglah lagi kemari."
Aku membalas, "Demi Zat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, aku akan menyatakan keislamanku ini dengan lantang di hadapan mereka."
"Kemudian, aku pergi ke masjid dan kebetulan orang Quraisy sedang berada di sana. Aku terus berkata dengan lantang. "Hai orang Quraisy! Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.
"Mendengar perkataan itu, mereka saling berkata, "Hampirilah orang murtad ini!" Mereka semua datang menghampiriku. Aku dipukul sehingga hampir mati."
"Mujurlah Abbas menemuiku. Dia datang menghampiriku. Dia menatap wajah orang Quraisy dan berkata kepada mereka, "Sungguh celaka kamu! Kamu hendak membunuh seseorang daripada Ghiffar. Bukankah antara kamu ada yang berdagang dan sering mendatangi negeri Ghiffar?" Mereka semua segera menjauhiku.
"Keesokan harinya aku mendatangi lagi tempat itu. Aku kembali mengatakan seperti yang kukatakan kelmarin. Mereka kembali berkata, "Hampirilah orang murtad ini!" Mereka memukulku lagi seperti yang mereka lakukan kelmarin. Kali ini Abbas kembali mendapatkanku. Dia menghampiriku lalu mengatakan kepada orang Quraisy sama seperti yang dikatakan kelmarin.(2)
Rujukan:
(1) Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. 1, hal. 128
(2) Sahih al-Bukhari, bab tentang kisah zamzam, jil. 1, hal. 499-500 dan bab tentang keislaman Abu Zar, jil. 1, hal. 544-545
Bersambung...
1 comments:
Assalam..moga dilindungi Allah sht sjhtra selalu sekeluarga...perkongsian yg sgt menarik.
Post a Comment