Usai tarawih, bergegas saya menuju ke Pusat Tarbiah untuk menyertai sahabat-sahabat yang lain. Memandangkan tarawih habis agak lewat tadi kerana ada tazkirah di pertengahannya, itu yang menyebabkan saya agak tergesa-gesa. Tazkirah malam ini sangat menarik, mengupas surah al-Qadr, yang berkaitan dengan satu malam yang agung iaitu malam al-Qadar.
Surah al-Qadar diturunkan di Makkah, sebanyak 5 ayat. Dinamakan surah al-Qadar kerana dipermulaan surah ini Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar, iaitu malam kemuliaan dan kebesaran.
Di dalam surah ini juga Allah SWT menyatakan bahawa ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia ini, ganjarannya lebih daripada seribu bulan yang lain. Seribu itu sudah pasti, tetapi kalimah 'lebih' itu hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui sebanyak mana ia. Oleh itu, tidak sepatutnya seseorang berkesempatan melalui 10 malam terakhir Ramadhan mensia-siakan peluang untuk beribadat padanya.
Di akhir surah ini Allah SWT menceritakan keadaan pada malam tersebut, iaitu para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhannya. Di dalam Tafsir Pimpinan Rahman disebutkan bahawa mereka turun dengan membawa segala perkara yang ditaqdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya. Wallahua`lam.
Kenyang dan sarat minda saya dengan penyampaian ustaz yang dijemput.
‘Packing’ barang
Setiba di Pusat Tarbiah, beberapa orang sahabat sudah pun menunggu. Malam ini kerja-kerja 'packing' barang sumbangan Ramadhan kembali bersambung. Program sumbangan Ramadhan ini adalah program tahunan, dan kebanyakan dananya adalah hasil sumbangan orang ramai yang akan diagihkan kepada penerima di dalam Parlimen Indera Mahkota. Peringkat pertama sudah pun selesai dan telah diagihkan kepada penerima pada minggu lepas. Anggaran penerima pada tahun ini ialah seramai hampir 1000 orang. Agihan pula mengikut zon yang telah ditetapkan. Ini untuk memudahkan kerja-kerja agihan melalui wakil-wakil yang telah dilantik.
Alhamdulillah, walaupun penat dan ‘berperang’ dengan masa yang sentiasa mencemburui, tetapi hakikatnya kerja-kerja begini amat menggembirakan. Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah banyak dan mewah, hanya berupa beras, gula, minyak, susu, kopi, tepung dan sebagainya, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan sedikit belanja dapur penerima. Lebih-lebih lagi dalam suasana mahu menyambut hari perayaan yang bakal menjelang.
Semua kepenatan tidak terasa apabila melihat wajah-wajah penerima mengukir senyuman. Rasulullah saw sendiri menghabiskan masa hidupnya untuk mengukir senyuman diwajah umatnya.
‘Jangan tangan kiri tahu’
Ada seorang sahabat menegur saya, katanya: “Sedekah tangan kanan, jangan tangan kiri mengetahuinya.”
Maksudnya biarlah kebaikan yang dibuat itu disembunyikan. Ia adalah berkenaan keikhlasan dalam melakukan kebaikan. Sangat benar kata-katanya, saya mengakui. Keikhlasan dalam membuat kebaikan adalah pra-syarat agar ianya diterima oleh Tuhan. Barulah ia layak mendapat ganjaran di atas kebaikan tersebut. Tanpa ikhlas, maka sia-sialah apa yang dikerjakan.
Kata-kata sahabat tersebut menusuk masuk ke dalam hati sanubari. Ia adalah lebih kepada peringatan seorang sahabat yang mendambakan kebaikan terhadap sahabatnya. Mungkin kerana beliau sering melihat saya menulis entry berkenaan program-program kebajikan dan kemanusiaan saya bersama NGO. Lalu beliau menitipkan nasihat agar saya menyembunyikannya, agar keikhlasan dapat dijaga. Demikianlah penilaian saya.
Tetapi saya melihat dari sudut yang lain. Memang ada kebaikan yang dibuat perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak.
Apa pun, terima kasih kepada sahabat tersebut di atas peringatan yang sangat bermanfaat itu. Sesungguhnya saya sangat mendambakan peringatan dan nasihat agar tidak tersilap dalam melangkah.Kepada Allah SWT jua dikembalikan segala urusan samada yang zahir maupun yang tersembunyi.
Allahu al-Musta`an...
0 comments:
Post a Comment