Sahabat Sejati

Wednesday, 27 July 2016

Alhamdulillah, mudahnya hari ini..

'foto hari raya 1437H tempohari'

Alhamdulillah, selesai sudah satu amanah yang terpikul. Cepat pula urusan temujanji hari ini, lebih daripada biasa. Sebenarnya saya hari ini sekali lagi membawa si Haikal memenuhi temujanji di klinik mata HTAA. Seperti biasa, setiap kali ada temujanji di hospital saya akan mengambil cuti. Kalau ambil 'time slip' bimbang tidak sempat. Masa urusan tidak tentu, kadang-kadang cepat, kadang-kadang mengambil masa yang agak lama. Bermula dengan mengambil nombor giliran sehinggalah bertemu dengan doktor pakar. 

Tetapi hari ini urusan selesai agak cepat, tidak sampai pun satu jam. Mudah sahaja satu-satu proses. Bermula pendaftaran, kemudian ambil nombor giliran. Tidak lama nombor dipanggil untuk proses titis ubat mata untuk mengembangkan anak mata. Selalunya si Haikal memerlukan sampai tiga kali titis barulah anak matanya dapat kembang. Jika satu kali titis jangan harap! Itulah yang seringkali terjadi sejak mula-mula menjalani rawatan mata di hospital. Belum pernah lagi sekali titis, terus ok!

Bayangkan sekali titis perlu menunggu selama dua puluh atau tiga puluh minit, barulah jururawat bertugas memeriksa samada anak mata sudah kembang atau tidak. Jika tidak perlu dititis sekali lagi. Kena tunggu lagi. Kadang-kadang rasa iri hati melihat orang lain yang cukup sekali titis sudah kembang anak mata dan sudah boleh bertemu doktor pakar. Alhamdulillah, hari ini sekali titis sudah kembang. Tidak lama menunggu, nombor pun dipanggil untuk urusan bertemu doktor pakar.     

Hasil pemeriksaan hari ini, doktor pakar memberi dua cadangan untuk memulihkan penglihatan si Haikal. Pertama, melalui pembedahan memasukkan kanta dalaman. Namun, pembedahan dilakukan di Hospital Selayang kerana ketiadaan pakar di hospital sini. Kosnya pula... terduduk saya mendengarnya (kebetulan saya sedang duduk ketika itu). Walaupun dengan pembedahan ini, cermin mata tetap perlu dipakai. Tetapi tahap 'power' kantanya dapat dikurangkan. Cuma kata doktor risikonya tetap ada. Ahh, ini yang tidak berapa sedap didengar. Lepas satu, satu risiko dikhabarkan. Pilihan kedua ialah dengan memakai cermin mata yang berkapasiti tinggi tahap 'power' kantanya. Doktor mencadangkan pilihan yang kedua, dan saya bersetuju dengan dada yang terbuka. Melupakan terus pilihan yang pertama daripada minda.    
  
Usai temujanji, saya memimpin tangan si Haikal menuruni anak tangga hospital. Tidak ramai yang menggunakan tangga. Saya pula sengaja tidak mahu menggunakan perkhidmatan lif kerana menyokong kempen 'naik dan turunkan tangga untuk jantung'. Lagipun tidaklah tinggi mana cuma satu tingkat sahaja. Pernah saya tekadkan diri untuk menapak anak tangga setinggi tujuh tingkat sewaktu melawat seorang kenalan di dalam wad. Naik mengah dibuatnya. Maklumlah lama sangat tidak 'exercise'. Kalau zaman belajar dulu, jolokan 'sport man' memang sinonimlah. Itu dulu, cerita lama.    

Sebelum pulang ke rumah kami berdua singgah dulu di kedai makan yang berhadapan dengan Masjid Negeri. Lama tak mencicip menu di situ. Pekena roti telur dulu. Sementelah lagi roti telur memang di antara kesukaan si Haikal. Minuman pula, si Haikal sukakan 'milo', samada suam atau sejuk. Maka menciciplah kami berdua dengan rasa syukur, masih ada rezeki untuk kami. Masing-masing dengan sebiji roti telur dan segelas milo suam. Alhamdulillah.

Tulisan ini bukan ilmiah, jauh sekali berfalsafah. Tulisan ini biasa-biasa daripada seorang yang biasa-biasa, sementara menanti hujan teduh di luar. Selepas hujan sidang, ada pula sahutan katak yang menjadi hiburan halwa telinga. Peneman sebelum melelapkan mata.           

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Alhamdulillah... dipermudahkah urusan.
Kakak dengar alternatif pertama pun ngeri rasa. Tambahan pula dah operation pun still kena pakai cerminmata. Kesianlah. Tak apalah pakai je cerminmata alternatif ke dua.

Tengok cerminmata anakanda Haikal tu memang nampak tebal sungguh. Kesiannyaaaa..

paridah said...

Assalam...jauh juga dari Kuantan ke Sellayang utk perubatan mata anakanda...insyaAllah pasti Allah permudahkan urusannya...Allah menguji hingga terduduk tapi ketabahan hati ustaz akan melepasi rintangannya...kak pun ada temujanji di hospital selayang ekoran kaki kak yg patah baru ni...tapi dh maleh nak gi...kalau gi asyik xray je..xdiberi ubatpun.

saniahibrahim said...

assalam ustaz ,akak dah punya pengalaman membawa anak akak Azim ke pakar mata ...memang biasanya seharian lah di hospital .Bila doktor bagitau berbagai2 rasa nak luruh jantung...lagi lah katanya tak de rawatan kecuali dipantau je..sekarang ni pakai cermin mata dengan power yang agak tinggi je.

TukangKebun said...

Syukur Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan.
InsyaAllah pilihan kedua adalah yang terbaik untuk sekarang.
InsyaAllah cepat sahaja ada teknologi baru akan datang yang lebih kurang risikonya pada masa hadapan kelak.
Itulah juga harapan saya untuk bakal pembedahan anak saya bila diperlukan pada masa hadapan masuk kali keempat.

Post a Comment