'Tahun ini pihak Majlis Perbandaran Kuantan memasang skrin besar di padang'
Kelmarin saya membawa keluarga berbuka puasa di luar. Lokasinya bukanlah di hotel atau pun restoran mewah. Cuma di tempat biasa iaitu padang Majlis Perbandaran Kuantan yang berhadapan dengan Masjid Negeri. Ia adalah lokasi pilihan kebanyakan rakyat Kuantan termasuk juga dari luar untuk berbuka beramai-ramai. Saya pula boleh dikatakan setiap tahun berbuka puasa di situ. Hmm, sudah jadi seperti acara tahunan keluarga pula. Alah, setahun sekali. Itu pun di akhir-akhir Ramadhan, biasanya sehari sebelum pengumuman tarikh hari raya.
Saya memilih hari tersebut kerana anak-anak yang tinggal di asrama semuanya sudah pulang ke rumah. Jadi, dapatlah kami semua pergi, itu yang seronoknya. Manakala yang kedua, keadaan jalan raya yang kurang sesak tidak seperti di awal dan pertengahan Ramadhan. Mungkin kerana ramai yang telah pulang ke kampung. Tetapi mahu dikatakan kurang sesak pun tidak juga. Jem semacam juga! Cuma kuranglah sedikit. Bab nak mencari 'parking' pun satu hal. Tidak kena gaya, ‘parking’ nun jauh dari tempat ifthar. Terpaksalah menapak pula. Masa inilah terasa beruntungnya menunggang motosikal, mudah menyelit dan ‘mencilok’. Namun, setakat ini belum pernah lagi saya 'parking' kenderaan jauh dari padang tersebut. Kira beruntung lagilah.
Seronok berbuka beramai-ramai di bawah langit terbuka. Sesekali terasa kerdilnya diri tatkala menikmati rezeki Tuhan di bawah langit nan terbentang. Untuk mendapatkan juadah brbuka tidaklah menjadi satu masalah kerana di sebelah padang tersebut letaknya bazar Ramadhan yang menjual aneka jenis juadah. Jika mahu lebih jimat boleh sahaja berbuka di Masjid Negeri, kerana pihak masjid juga saban tahun menaja majlis berbuka di sepanjang Ramadhan.
'Pemandangan dari udara' ~ sumber: FB
Untuk kami sekeluarga, tentunya kami lebih suka membawa sendiri makanan yang dimasak di rumah. Itu lebih jimat. Maklumlah sekarang ini serba-serbi mahal. Minyak pun sudah naik 5 sen awal Julai baru-baru ini. Mungkin kenaikan sempena aidilfitiri agaknya. Alahai naik 5 sen pun nak bising, jangan nanti ada warga yang berkata begitu. Minyak naik, barang lain pun naik juga. Itu sudah pasti.
Apa pun Ramadhan tahun ini sudah pun berlalu pergi. Meninggalkan kita semua dan akan kembali pada tahu hadapan dan tahun seterusnya selagi belum berakhir dunia ini. Cuma adakah kita sempat bertemu dengannya? Allah jua yang mengetahui.
Allahu al-Musta`an.
0 comments:
Post a Comment