'Si Haikal di TSK, bas belum datang lagi..'
Jam 12.30 pagi bas mula bergerak meninggalkan Terminal Sentral Kuantan (TSK) menuju ke ibu kota Kuala Lumpur. Termasuk berada di dalam perut bas tersebut, saya dan ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Hari ini saya membawa Haikal untuk memenuhi temujanjinya di IJN. Seperti biasa saya memilih perkhidmatan bas ekspres sebagai pengangkutan untuk memaksimumkan waktu rehat. Lagi pun saya tidak betah untuk memandu di tengah bandaraya Kuala Lumpur, bukan apa, tidak biasa dengan jalan raya di sana. Bimbang banyak makan ‘buah langsat’ (sesat) nanti.
Alhamdulillah, perjalanan berjalan lancar tanpa ada kesulitan. Cuma agak sedikit cuak dengan bas yang dipandu cukup laju. Menciut bunyi roda menggigit aspal jalan tatkala pemandunya menekan pedal brek. (Saya pula seringkali membrek angin). Biasalah waktu dinihari, tidak banyak kenderaan yang berada di atas dada jalan, memang seronok menekan pedal minyak. Tidak sedar penumpang di belakang yang cemas dan risau.
Lebih kurang jam 3.40 pagi kami berserta sebahagian penumpang turun di Perhentian Bas Pekeliling. Perjalanan diteruskan pula menuju ke IJN dengan menggunakan perkhidmatan teksi. Tidak jauh, jangkamasa kira-kira 5 hingga ke 8 minit sahaja, bergantung kepada pemandu teksi. Urusan pendaftaran bermula jam 8 pagi, jadi sempatlah melelapkan mata terlebih dahulu di mana-mana ruang bangunan IJN sebelum bangun mandi dan solat subuh.
Sedar tak sedar sudah banyak kali saya ke IJN untuk memenuhi temujanji si Haikal. Pertama kali ketika dia berusia tiga bulan. Waktu itu ummu Ikhwan turut pergi bersama. Yalah, mudah sedikit jika pergi bertiga. Jika seorang mahu ke bilik air, yang seorang lagi boleh menjaganya. Begitu juga dengan urusan-urusan yang lain. Sehinggalah apabila si Haikal sudah besar sedikit, barulah kami pergi berdua sahaja. Seperti saya sebutkan tadi, bermula usia tiga bulan sehinggalah sekarang usianya 11 tahun. Maknanya sudah 11 tahun saya berulang-alik ke IJN! Lama tu...
'Air mineral jenama IJN..'
Berada di IJN sedikit sebanyak membuka ruang keinsafan. Banyak benda di depan mata yang boleh menjadikan hati berdetik. Kadang-kadang, kita merintih kerana merasakan bahawa kitalah yang berat diuji, rupa-rupanya tidak begitu. Benarlah kata Imam al-Ghazali: “Dalam perkara dunia lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu.” Bukannya apa, supaya kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur.
Walaupun 'si kecil Haikal yang istimewa' mempunyai masalah kesihatan yang banyak tetapi di masih boleh berjalan, biarpun cara berjalan tidak seperti manusia normal yang lain. Namun, masih ramai yang terpaksa dipapah dan bertongkat, malahan ada yang hanya terpaku di kerusi roda. Demikianlah saya melihat, dan ia benar-benar menjadikan saya insaf dan bersyukur.
"Dalam perkara dunia lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu.." Benarlah pesanan sang imam itu.
3 comments:
Sangat menginsafkan hingga buat mata kakak ada air bergenang. Maklumlah hati seorg ibu dpt merasakan apa yg Ummu Haikal dan AI rasakan dikurniakan anak seistimewa Haikal ini. Terlalu banyak ujian - 11 tahun! Tapi percayalan malaikat Allah tak pernah lalai mencatat setiap kesabaran yg dilalui.
Salam sayang buat anakanda Haikal, moga terus kuat dlm ujian Allah berikan. Auntie terharu.
Akak tertarik dengan kata2 Imam tu...betul lah saat diri diuji bila lihat orang lain lebih teruk terasa diri lebih beruntung.
Akak kagum dengan ustaz yang begitu gigih berterusan dapat kan rawatan untuk Haiqal.Semoga anak ini diberi kesihatan yang baik sentiasa.
moga terus kuat..
Post a Comment