Sahabat Sejati

Wednesday 16 March 2016

Bila tiba masanya...

 foto hiasan: sumber

Berkata Syeikh Ibnu Atho`illah: "Yang telah hilang dari umur (usia) hidupmu tidak dapat ditarik kembali, sedang yang telah berhasil bagimu, tidak dapat dinilai harganya."

Teman (aku),

Setiap yang muda belum pasti merasai masa tua, tetapi setiap yang tua telah pun mengecapi usia muda. Tiada yang indah pada usia tua, kerana segenap keterbatasan telah mula melingkungi diri. Tenaga, ingatan, penglihatan, selera semakin berkurang.

Masa muda mestilah digunakan sebaiknya. Masa yang terus berlalu mengiringi perjalanan hidup adalah modal yang sangat berharga. Setelah ia pergi melewati maka selama-lamanya tidak akan kembali, yang akan terus tiba adalah masa yang lain pula. Seumpama kita mencelupkan kaki ke dalam aliran sungai, apabila kita mengangkat kaki dan mencelupkannya kembali aia adalah aliran yang lain, kerana aliran yang tadi sudah pun menghilir jauh. Begitulah perbandingan. 

Amal perbuatan dan gerak laku adalah satu pelaburan kehidupan di akhirat nanti. Apa yang dilakukan di dunia ini menjadi hasil tuaian kelak. Saat hidup di dunia inilah tabungan amal perlu dipenuhkan sebanyak-banyaknya. Oleh itu, masa yang diperuntukkan, biarpun sekecil mana perlu diisi dengan sesuatu yang bermanfaat dan bernilai disisi-Nya. 

Tiada yang mampu melepaskan diri daripada kematian. Ia pasti akan menjemput setiap yang bernyawa. Di mana pun kita berada, walaupun di dalam benteng yang kukuh, kematian tetap akan menjengah tanpa ada penangguhan biarpun sedetik. Justeru, kematian bukanlah musuh yang seharusnya dilawan dengan apa jua persenjataan. Ia adalah taqdir ketentuan Allah SWT. 

Pusingan umur di dunia pasti akan berakhir, tandu kematian akan mengetuk pintu rumah menjemput pergi. Kebahagiaan hakiki akan diperolehi di akhirat kelak sekiranya gigih beramal di dunia ini. Jika nyawa sudah di ambang halkum, peluang menambah kebaikan sudah tertutup rapat, kesempatan memperbaiki kehidupan juga telah lenyap. Yang tinggal hanyalah tanggungjawab dan perkiraan amal. Maka, fikir-fikirkanlah ke mana arah tuju yang dipilih...

5 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualikum Ustaz, terimakasih atas perkongsian.
Usia kita makin bertambah ,amal ibadat belum tentu cukup untuk bekalan akhirat nanti .

paridah said...

Assalam...sedang berusaha memperbaiki kesilapan n menambah bekalan yg kurang utk dibawa ke sana...moga Allah reda dgn hamba-Nya yg berdosa ini...hanya masa penentu takdir-Nya. insya-Allah mengharapkan yg baik2 saja.

Nazihah@Jiha said...

moga dipanjangkan usia untuk banyakkan amalan..

Normala Saad said...

Selalu berfikir..kalaulah waktu boleh di putar kembali...terasa tersangat rugi kerana lambat menyedari...

Kakzakie Purvit said...

Kullunafsin zaa-iqotulmauut...
Setiap yg bernyawa pasti akan merasai mati. Satu yg tak boleh kita nafikan. Cuma tak dikatakan mati mesti bila dah tua. Oleh itu kita kena sentiasa bersedia. Apa lagi usia macam kakak ni makin bimbang kot bekalan tak cukup. Takut kakak AI.

Entri ini peringatan buat kita semua. Bagus buat setiap kita membaca sebagai renungan bersama.

Post a Comment