Sambungan daripada: Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (5), di bawah tajuk: Abdul Mutalib
foto hiasan: sumber
Menurut kebanyakan ahli sejarah, Peristiwa Gajah terjadi pada bulan Muharam, iaitu 50 atau 55 hari sebelum kelahiran Nabi Muhammad, bertepatan dengan akhir Februari atau awal Mac tahun 571 M. Ini merupakan hadiah daripada Allah untuk nabi-Nya dan rumah-Nya (Kaabah). Apabila kita melihat Baitul Maqdis (kiblat pertama) ketika itu, kita akan mendapati bahawa kaum paganis (penyembah berhala) yang menguasai kiblat tersebut, sebagaimana yang dilakukan oleh Bukhtanashar pada tahun 587 SM dan Rom pada tahun 70 M.
Padahal, penduduk asalnya waktu itu beragama Islam (pemeluk agama Nasrani yang masih memegang teguh ajaran Nabi Isa). Sedangkan keadaan Kaabah adalah sebaliknya, tidak pernah dijajah oleh orang Nasrani (yang ketika itu boleh dikira sebagai Islam kerana memegang ajaran Nabi Isa secara murni) padahal penduduknya adalah orang paganis.
Berita tentang Peristiwa Gajah menjadi bualan dalam banyak versi yang masing-masing berkembang hingga ke sebahagian besar negeri yang peradabannya telah lebih maju pada waktu itu. Ini adalah kerana Habsyah memiliki hubungan yang rapat dengan Rom. Sementara Parsi, sebagai musuh Rom waktu itu terus mengamati setiap perkembangan yang terjadi pada Rom dan sekutu-sekutunya. Berbekalkan maklumat yang dihimpun tentang peristiwa Gajah, Parsi segera melancarkan serangan ke Yaman. Memang, kedua-dua negara tersebut (Rom dan Parsi) merupakan dua kuasa besar ketika itu.
Peristiwa Gajah telah menarik perhatian dunia dan menunjukkan akan kesucian dan kemuliaan Baitullah. Baitullah dipilih oleh Allah untuk disucikan Kemudian, salah seorang penduduknya menjadi nabi. Maka, bolehlah dikatakan perkara itu sebagai rahsia sebenar daripada Peristiwa Gajah. Akhirnya, faktor kenabian itu menjadi jawapan akan hikmah tersembunyi, kenapa Allah menolong orang Musyrik (Quraisy) dalam menghadapi orang beriman (Nasrani Habsyah) melalui satu cara yang tidak terfikir oleh akal.(1)
Abdul Mutalib mempunyai 10 orang anak lelaki, iaitu Harits, Zubair, Abu Talib, Abdullah, Abu Lahab, Ghaidaq, Muqawwim, Shaffar dan Abbas. Ada juga yang menyebut 11 orang, iaitu ditambah seorang anak lagi bernama Qitsam.Ada pula yang menambah dua orang lagi, iaitu Abdul Kaabah dan Hajl, sehingga jumlahnya menjadi 13.
Pendapat pertama yang menyebut bahawa anak lelaki Abdul Mutalib ada 10 orang berhujah bahawa Abdul Kaabah ialah Muqawwim, Hajl ialah Gahidaq dan abdul Mutalib tidak mempunyai anak bernama Qaisam. Manakala anak perempuan Abdul Mutalib, jumlahnya ialah enam, iaitu Ummu Hakim (nama asalnya Baidha`), Barrah, Atikah, Safiyah, Urwa dan Umaimah.(2)
Keterangan:
(1) Pada suatu saat nanti, kaum Musyrik di Mekah beralih menjadi orang beriman yang memeluk agama Islam. Hal itu terbukti setelah peristiwa Fathul Mekah. Sedangkan orang Nasrani sebelumnya beriman berubah menjadi kaum paganis sejak Romawi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dan memasukkah begitu banyak unsur kesyirikan dalam agama tersebut. Disebabkan itu, sebuah kaum yang tadinya Musyrik namun suatu masa akan beriman, maka mereka berhak ditolong oleh Allah. Apatah lagi kemudiannya Kaabah akan menjadi simbol ketauhidan dan keimanan bagi seluruh dunia.
Rujukan:
(2) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 8-9 dan Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil.ii, hal. 56 dan 66.
(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung..
2 comments:
Walau baginda rasul ada 9 bapa saudara tapi dua yg selalu disebut Abu Talib (baik) dan Abu Lahab (Masya-Allah semua tahu perangainya). Tapi betullah setiap yg terjadi hatta macam Rom & Parsi serta Habsyah itu memang ada hikmahnya. Tanpa diduga akan lahirnya seorg pemimpin dunia yang agung.
Membaca kisah begini memang ubat mengantuk AI. Bagus juga baca masa lepas Zuhor ni (kakak tadi macam mengantuk sebenarnya hihi...)
Assalam...kisah sejarah yang patut diketahui...
Post a Comment