Sahabat Sejati

Sunday, 7 February 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (4)


Ada dua kejadian yang paling penting semasa Abdul Mutalib memegang amanah menguruskan Baitullah. Iaitu penggalian telaga zamzam dan Peristiwa Gajah.(1) 

 foto hiasan: Telaga zamzam (sumber)

Ringkasan untuk kejadian yang pertama bermula daripada mimpi yang dialami oleh Abdul Mutalib. Dalam mimpi itu dia diperintahkan untuk menggali telaga zamzam. Bahkan dia diberi tanda-tanda kedudukan telaga itu. Setelah dia bangun, Abdul Mutalib bergegas melakukan penggalian.

Di tempat dia menggali,dia menemui banyak barang yang dahulunya ditimbuni oleh bangsa Jurhum ketika mereka lari keluar dari Mekah. Iaitu beberapa bilah pedang, baju besi dan dua gulung kain berhiaskan emas. Pedang-pedang itu dijadikannya sebagai penghias sebuah pintu Kaabah. Pada pintu itu ditambahkan pula dua gulung kain emas. Seterusnya dari telaga zamzam yang ditemuinya, dia melayani keperluan jemaah haji.

Ketika telaga zamzam ditemui kembali, orang Quraisy menuntut kepada Abdul Mutalib dengan menyatakan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menguruskan telaga zamzam. Mereka berkata kepadanya, "Kami juga mahu menguruskannya." Abdul Mutalib menjawab, "Saya tidak akan membiarkannya. Urusan telaga zamzam ini khusus untuk aku uruskan." Orang Quraisy tidak puas hati menyebabkan mereka enggan beredar.

Bersama-sama Abdul Mutalib, mereka kemudian menemui seorang dukun wanita daripada Bani Saad sebagai orang tengah untuk membuat keputusan bagi mereka. Si dukun tidak boleh memberikan keputusan. Dia hanya memberitahu bahawa dalam perjalanan nanti mereka akan menemui tanda-tanda begini. Maka urusannya seperti ini dan jika tanda-tandanya begitu maka urusannya seperti itu.

Mereka semua tidak mahu kembali ke rumah masing-masing. Tetapi mereka masih menyusuri jalan, hingga akhirnya di suatu jalan, Allah memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Abdul Mutalib berhak menguruskan sendiri urusan telaga zamzam.

Daripada kejadian itu, Abdul Mutalib bernazar. Jika Allah mengurniakan 10 orang anak lelaki untuknya dan mereka membesar hingga mempunyai kemampuan untuk membelanya, maka dia akan menyembelih salah seorang daripada mereka sebagai korban di sisi Kaabah.    

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 142-147 

(Adaptasi daripada ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

4 comments:

paridah said...

assalam...sejarah telaga zam zam yg ramai tidak diketagui ni tksh banyak perkongsiiannya.

LYAfrina said...

perkongsian ilmu y amat bermnfaat...

Nazihah@Jiha said...

tak sabar tunggu sambungannya..

iryantyismail said...

terima kasih perkongsian

Post a Comment