Sahabat Sejati

Tuesday 23 February 2016

Kejar dunia jangan cicir akhirat, buru akhirat jangan tinggal dunia...

Islam adalah satu-satunya agama yang mengutamakan kebahagian hidup di dunia dan akhirat, malah Islam mahukan setiap penganutnya berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam kedua tempat. 

"Bahawa Rasululllah saw. bersabda: Bukanlah orang baik daripada kamu mereka yang meninggalkan dunia kerana akhirat semata-mata dan bukanlah juga baik jika ia meninggalkan akhiratnya kerana mengerjakan dunianya semata-mata sebaliknya hendaklah ia berusaha mendapatkan kedua-duanya sekali,kerana dunia sebagai jambatan untuk menuju akhirat dengan sebab itu janganlah jadikan diri kamu itu kepayahan kepada orang lain" 

Hadis di atas menerangkan bukanlah baik orang yang meninggalkan dunia kerana akhiratnya semata-mata, demikian juga tidaklah baik orang yang meninggalkan akhirat kerana mengerjakan dunia semata-mata. Sebaliknya orang yang dianggap baik oleh Islam ialah mereka yang bekerja untuk kebaikan dunia dan akhirat. 

Untuk dunia mereka semestinyalah berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat setinggi-tinggi kemajuan dan kedudukan mengikut jalan yang diredhai Allah, kerana kebaikan di dunia adalah sebagai jalan atau jambatan untuk menuju kepada kebaikan akhirat yang kekal abadi. Maka untuk mencapai kebaikan akhirat mestilah terlebih dahulu kebaikan di dunia dari segi kesihatan kebendaan (maddiyah), keamanan, kemajuan, dan lain-lain lagi diutamakan. 

Dengan sebab itu Islam melarang keras seseorang itu hidup malas dan berdiam diri serta berpeluk tubuh dengan menunggu rezeki dari usaha orang lain. Nabi telah menegaskan orang yang bersikap sedemikian sebagai menyusahkan orang lain dan dipandang hina oleh masyarakat. Maka, orang Islam mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat kebahagiaan hidupnya disamping melakukan kerja-kerja akhirat. Disamping itu masyarakat sekeliling juga haruslah memberi sokongan dalam bentuk yang pelbagai dan wajar. 

Tidak salah mencari kesenangan dan kekayaan, asalkan ianya dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dengan kekayaan juga kita dapat meningkatkan ekonomi umat Islam dengan cara mengeluarkan zakat, sedekah dan sebagainya. Apa yang kita bimbang jika kekayaan kita ini mengheret kita ke arah kebinasaan dan menjadi punca kemurkaan Allah SWT. 

Oleh itu, sangat jelas ingatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw, iaitu mukmin yang baik ialah yang mengejar dunia tanpa mencicirkan akhirat dan memburu akhirat tanpa meninggalkan dunia. Mereka beramal dan beribadat dan dalam masa yang sama mereka berusaha mencari rezeki untuk keperluan hidup. Dunia adalah jambatan menuju akhirat, oleh itu pastikan usaha yang dilakukan di dunia dapat disalurkan ke akhirat. Lihat, betapa cantiknya sistem muamalat yang diatur oleh Islam. 

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qashah:77)

3 comments:

Kakzakie Purvit said...

islam sangat indah. Baginda rasulullah sudah mengajarkan segala kebaikan semua buat kita semua utk diaplikasikan dalam hidup kita.

Org dulu-dulu pun selalu kata bekerja seolah-olah utk hidup selamanya dan beribadah seolah-olah akan mati esoknya. Betullah tu dunia dan akhirat kena seiringkan agar bahagia di dunia dan akhirat juga hendaknya.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz,terima kasih tazkirah pagi ini...
Kesimpulannya nak kena seimbangkan dunia dan akhirat...

paridah said...

Assalam dunia harus dinikmati kegembiraannya dgn kejayaan yg dicapai disamping menyiapkan bekal utk berbhgia di akhirat sana...

Post a Comment