'si kecil Haikal yang istimewa'
"Tak apa bang, saya belanja." Kata tukang gunting muda tersebut. Sejemput janggut menghiasi dagunya.
"Eh, macamana tu?" Saya bertanya kembali, terkejut bercampur serba-salah. Beberapa mata memandang ke arah kami.
"Lain kali kalau abang nak bergunting bawa je. Biar saya yang gunting, percuma je." Sambungnya lagi menawarkan perkhidmatan.
"Kalau macam tu agaknya sekali inilah sahaja saya datang." Saya berkata kepadanya dengan nada bergurau.
"Jangan macam tu bang. Anggap sahaja sebagai amal jariah. Abang cuma tolong doakan saya sahaja." Sambungnya lagi sambil tersenyum. Kami bersalaman sebelum berpisah.
Petang semalam saya membawa 'si kecil Haikal yang istimewa' bergunting rambut di kedai gunting berhampiran rumah. Selalunya saya memotong sendiri di rumah menggunakan mesin rambut. Tidak susah mana pun, setkan 'level' yang dikehendaki kemudian potong sahaja. Kalau mahu bergunting fesyen macam itu, macam ini, memang saya tidak reti. Tetapi semalam mesin rambut buat hal pula, motornya tidak berfungsi. Lantaran tersebut terpaksalah saya membawa Haikal ke kedai gunting. Setelah selesai bergunting, lalu terjadilah dialog seperti di atas.
Bukan itu sahaja, kadang-kadang jika bertemu sahabat-sahabat samada di bandar, di pasar malam, ada yang menghulur wang, makanan dan sebagainya kepada anak saya yang seorang ini. Serba-salah juga dibuatnya. Itu tak mengapa lagi, kadang-kadang orang yang tidak dikenali pun melakukan perkara yang sama. lagi tambah serba-salah.
Biasanya saya bertanya juga: "Eh apa ni?"
Jawab mereka: "Tak apa, hadiah kat anak..."
Mahu menolak bimbang mereka berkecil hati. Yalah, mana tahu mereka ikhlas memberikannya dan mengharap pahala semata-mata daripada Allah SWT. Keikhlasan adalah rahsia Allah SWT, bukan boleh ditafsir oleh mata dan hati. Hanya Allah dan diri pelaku yang mengetahuinya, kita hanya bersangka baik. Cuma tinggal saya yang berasa serba-salah, malu dan segan pun ada kerana banyak mata yang memandang. Tak apalah bukan kita yang meminta pun, seringkali saya meredakan perasaan dengan ingatan tersebut.
Pernah terjadi satu peristiwa, sewaktu saya membawanya menjalani rawatan di IJN. Usai semua urusan rawatan, kami berdua menapak keluar menuju ke jalan besar. Tiba-tiba berhenti sebuah kereta, pemandunya menghampiri kami dan menghulurkan sejumlah wang seraya berkata: "Sedekah untuk anak."
Dalam keadaan tergamam, saya menjawab: "Maaf encik, kami tak boleh terima sedekah."
"Kalau begitu saya hadiahkan..." Lalu menutup pintu kereta meninggalkan kami dalam keadaan terkebil-kebil.
Allahu rabbi...
8 comments:
Alhamdulilah murah sungguh rezeki haiqal yang istimewa ...besar sungguh pahala mereka yang bersedekah dengan ikhlas.
Assalam sebak membaca n3 ustaz ni...Haiqal anak syurga yg dianugerahi Allah kpd ustaz...seorang cahaya mata istimewa hanya Allah beri kpd insan yg istimewa juga..syukur Alhamdulillah...rezeki Allah tidak perlukan kad OKU..
Menitik airmata kakak sebagai seorg ibu AI. Sungguh itulah hikmah anak yg tak punya dosa. Ramai yg mahu mendapat ganjaran dari memberi pada anak-anak begini. Dlm keluarga kakak ada satu anak istimewa (anak kak long kakak). Sungguh anak-anak ini murah rezekinya mungkin sebab anak ini tak ada dosa. Kita ni yg kalau terlupa boleh menanggung dosa dek kerananya. Jadi kena selalu ingatkan diri kita.
Syurga tempat anak ini tapi kita ni banyak dakwa-dakwi dan perhitungannya.. Allahurobbi...
Rezeki anak..rzeki kita juga. Alhamdulillah.
Salam kak Saniah,
Betul tu, terlalu memang besar pahala orang yang bersedekah, namun untuk diri saya dalam artikel di atas "saya tidak layak menerima sedekah"
Salam kak Paridah,
Saya dimotivasi dengan komentar akak. Suka dengan word "rezeki Allah tidak perlukan kad OKU.." Allahu rabbi.
Salam kak zakie,
Ya, saya sering mengistilahkan mereka ini dengan ahli syurga kerana kekurangan yang ada pada mereka...Tetapi keadaan kita ini bagaimana pula..Allah..Allah
Salam kak Normala,
Alhamdulillah, jika kita tidak tahu alamat rezeki, sebenarnya rezeki sentiasa tahu akan alamat kita...
Post a Comment