Sahabat Sejati

Tuesday, 3 November 2015

Jengka Street dan Pulau Tawar


Pada Sabtu yang lalu, sekali lagi kami sekeluarga ke Pulau Tawar. Kebiasaannya saya ke sana bersama isteri serta si kecil Haikal. Kebetulan pula minggu ini serentak angah Salina dan acik Adawiyah pulang dari asrama, maka dapatlah kedua turut bersama. Maklumlah, seorang bersekolah di Pahang, manakala seorang lagi di Terengganu. Jadi, berlainan hujung minggu, itu yang jarang dapat bertemu. 

Tujuan kami ke sana kerana mahu melawat anak sulung yang belajar di SMAPT. Sebulan lebih beliau tidak pulang dari asrama. Tentunya, kerana sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan SPM. Katanya setiap hari Sabtu dan Ahad ada kelas tambahan, itu yang menyebabkan dia tidak dapat pulang ke Kuantan. Oleh itu, disamping melawat dan bertanya khabar, dapat juga kami semua memberi semangat dan motivasi bagi menghadapi medan tempur tersebut. Semoga dipermudahkan semua urusannya. 

Selain itu, angah Salina juga bakal menduduki peperiksaan akhir peringkat Rabi’ - E’dadie pada 05 November ini. Sekiranya lulus, maka akan dapat menyambung pengajian di peringkat Thanawi. Jika gagal, maka terpaksalah mengulang semula selama setahun. Insya-Allah mudah-mudahan lulus. 

Seawal 7 pagi, roda motokar meluncur perlahan di dada aspal. Cuaca mendung seakan mahu menumpahkan hujan. Biasalah, saya kira ia sudah permulaan memasuki musim tengkujuh. Bimbang hati saya sekiranya banjir tahun ini. Sudah terdengar cakap-cakap, banjir tahun mungkin teruk angkara bauksit. BAH MERAH! Wal’iyazubillah, semoga Allah melindungi kami semua. Oh ya, memang sengaja kami keluar awal kerana ada rancangan yang telah diatur. Bukan rancangan besar pun cuma biasa-biasa sahaja. Sebenarnya kami merancang mahu singgah di Jengka Street sebelum ke Pulau Tawar. Saya percaya orang Pahang tentu tahu. Kak Paridah (karyaku-paridahishak.blogspot.my) pun tentu biasa dengannya.  Betul tak?


Jengka Street merupakan antara pasar borong terbesar di Pahang. Terdapat pelbagai produk pakaian amnya. Dulu ia lebih dikenali dengan nama Pasar Panas. Sebabnya saya tidak pasti. Tetapi saya beranggapan kerana kanopinya yang rapat bersambung dan panjang. Jadi, bila berjalan memang panas meruap-ruap. Saya sendiri basah lencun dengan peluh dek jauh berjalan dari satu kanopi ke kanopi yang lain. Mujurlah baru-baru ini cuaca mendung. Tapi itu cuma anggapan sahaja daripada pengalaman sendiri. Kalau salah maafkan saya. 

Pasar Borong Jengka Street juga menawarkan harga borong dan tolak bagi para peniaga runcit dan potongan harga menarik bagi pengunjung yang datang. Dibuka pada setiap hari Sabtu, bermula jam 7.30 pagi hingga 3 petang. Pelbagai produk berasaskan kain menanti dengan harga yang sangat menarik. Datanglah, anda pasti teruja! 

Setelah lebih sejam menapak dan mencuci mata di Jengka Street, kami mula bergerak ke Pulau Tawar. Pemanduan cukup lancar dengan cuaca mendung yang mengiringi perjalanan. Dipendekkan cerita, setiba di SMAPT dapatlah bertemu dengan anak sulung dan memberi sedikit nasihat dan motivasi. Alhamdulillah. 


Dalam perjalanan pulang saya telah berkira-kira mahu singgah di Galeri Mat Kilau yang baru dibuka. Letaknya di kepala simpang masuk ke Pulau Tawar di kampung Bukit Rang. Saya perasan papan tandanya sewaktu perjalanan datang tadi, tertera “GALERI MAT KILAU – 200 meter”. Wah, sebagai peminat sejarah terutama sejarah negeri Pahang, ia tentu sesuatu yang sangat menarik. Saya membaca pada banner yang digantung dalam pagar, majlis Perasmian Galeri Mat Kilau telah diadakan pada 29 September 2015 (Selasa) pada jam 3.00 petang bertempat di Galeri Mat Kilau , Pulau Tawar Jerantut. Perasmian telah dilaksanakan oleh YB. Dato' Dr. Ahmad Shukri bin Haji Ismail, DSAP., DIMP. Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar. Galeri ini dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Tiada bayaran masuk dikenakan. 

Namun cukup menghampakan kerana pintu pagarnya tertutup dan tidak ada tanda-tanda petugas di dalamnya. Pelik juga. Melihat pada bannernya sudah betul, saya datang pada hari dan masa yang ditetapkan untuk melawat. Tetapi mengapa jadi begini? Saya meninjau-ninjau juga dari luar pagar untuk mensahihkan bahawa memang tiada orang. Ya, saya tidak melihat seorang pun kelibat petugas. Tidak mengapa, saya akan datang lagi pada hari yang lain, insya-Allah. Namun rasa terkilan tetap ada.

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Seronok menikmati perjalanan misi utk keluarga. Penat dan letih memang ada tapi ada kepuasan terasa pastinya. Cuma itulah galeri mat kilau itu adalah yg tak kena tu...

Semoga dipermudahkan semua anak-anak yg menduduki peperiksaan - robbi-yassir-walatu'assir

paridah said...

assalam...exam SPM sudah bermula ya semoga anak ustaz n semua calon2nya menghadapinya dgn tenang n beroleh taufik hidayah Allah utk menjawab soalan dgn tepat n beroleh kejayaan kelak...insyaAllah...ustaz ke jengka street pula ya...seronok juga belibelah di situ banyak pilihan n harga pun ok juga...tksh mensyen nama kak ya.heh..heh..sukanya.

abuikhwan said...

Salam kak zakie,
Seronok kak santai sekeluarga.
entahlah kenapa galeri tu tutup, ia tak tahu agaknya, peminat sejarah nak datang melawat..hehe

abuikhwan said...

Salam kak paridah
mudah-mudahan mereka semua beroleh ketenangan..aminn.
Seronok sangat kak ke jengka street, terbeliak biji mata melihat pakaian2 yang dijual....kalau ikutkan hati nak borong semua hehe

Post a Comment