Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah - Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa) (1)
Kedua: Adab Berbuka Puasa
1 – Menyegerakan Berbuka Puasa
Disunatkan juga kita menyegerakan berbuka puasa apabila telah pasti masuknya waktu maghrib.
Rasulullah saw bersabda: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
2 – Berbuka Puasa Dengan Rutab, Tamar atau Air
Rutab adalah buah kurma yang baru masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi saw.
Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah saw berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Tamar, selain sedap dimakan, ia menyalurkan tenaga dengan cepat kepada tubuh badan.
Keadaan orang yang berpuasa sangat memerlukan gula yang mudah dicerna untuk menghilangkan rasa lapar. Nutrisi yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah merupakan makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula iaitu glukosa dan sukrosa. Zat gula mampu diserap oleh tubuh dalam masa yang amat singkat. Justeru, makanan yang paling sesuai dimakan ialah buah tamar kerana ia memenuhi keperluan di atas.
3 – Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah saw juga menyegerakan solat maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunatkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat maghrib.
Sabda Rasulullah saw: “Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” (Riwayat Bukhari)
Menurut Imam an-Nawawi: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
4 – Membaca Doa
Ibnu Umar ra berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi saw akan membaca:
“Hilanglah segala kehausan, telah basah segala urat-urat dan semoga tetaplah beroleh pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sahih)
Abdullah Ibnu Amr al-`Ass ra berdoa ketika berbuka puasa dengan doa ini:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.” (Riwayat Ibn Majah, hasan)
Adapun doa yang sering dibaca oleh umat Islam dan diajar di sekolah ialah:
“Ya Allah, bagi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka, maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Riwayat al-Daruqutni)
Kata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu`: “Sanadnya dhaif”.
Doa apabila berbuka puasa di rumah orang:
“Orang-orang yang berpuasa telah berbuka dengan kamu dan orang-orang yang mulia telah memakan makanan kamu serta para malaikat mendoakan agar kamu mendapat rahmat.”
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana yang mustajab (makbul) ialah doa orang yang berpuasa, sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah)
5 – Berbuka Puasa Secara Sederhana
Firman Allah SWT: “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (al-A`raaf: 31)
Perhatian:
Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertaqwa lagi penyabar, direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan.
Sabda Nabi saw: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak boleh menahan (nafsu makan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat at-Tirmidzi)
6 – Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah.
Firman Allah SWT:
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukai kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” (al-Insan: 8-9)
Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya.
Sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas.
3 comments:
ASSALAM SEMOGA KITA MENNDAPAT BANYAK KEBAIKAN DISAMPING BANYAK MELAKUKAN ANAL KEBAJIKAN DI BULAN RAMADAN YANG BERKAT INI..
Betyl ke sy ada dgr doa yg "allahummalaka sumna" tu dr hadis x sahih n xboleh jdkan amalan..?
asalamualaikum saudara...selamat berbuka
:-))
Post a Comment