Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Hukum Semasa Berkaitan Puasa (1)
6) Muntah dengan sengaja
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya.
7) Mengeluarkan mani
Air mani keluar samada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan (onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar, puasanya tidak batal.
8) Gila atau Murtad (wal`iyazubillah)
Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. (Lihat: Al-Fiqh al-Manhaji)
Untuk mengetahui fatwa semasa mengenai perkara ini, di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma` al-Fiqhi al-Islami) [No. 93 (1/10) pada 23–28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa.
A- Keputusan (Qarar) Seperti Berikut:
1 – Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung atau semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
2 – Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
3 – Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
4 – Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan /rahim atau alat ke dalamnya. (Contoh: alat pencegah kehamilan – IUCD)
5 – Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya.
6 – Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut daripada prosedur tersebut.
7 – Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut dan dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
8 - Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melaui pembuluh darah (seperti: Glukos yang mengenyangkan)
9 – Oksigen dan Gas Bius
10 – Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan.
11 – Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
12 – Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
13 – Teropong dalam rongga perut (endoskopi)untuk mencari punca penyakit.
14 – Mengambil tisu (biopsi)hati atau organ lain untuk ujian makmal.
15 – Teropong perut, dangan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya.
16 – Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak.
17 – Muntah dengan tidak sengaja.
B- Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menangguhkan dulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa.
Tambahan daripada Keputusan “Seminar Fiqh Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 / 14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
1 – Suntikan ke dalam dubur, teropong dsn pemeriksaan digital ke dalam dubur.
2 – Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.
3 – Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.
Penutup:
Akhirnya sentiasalah menjaga kesempurnaan ibadat puasa daripada perkara-perkara yang membatal dan merosakkan amalan yang suci ini. Semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT.
3 comments:
Asalamualaikum saudara...mengenai ubatan pesakit jantung tu memang kadangkala bimbang juga...bimbang tertelan...maklum lah kan ..bila dah letak bawah lidah.. :-))
ASSALAM...PERKONGSIAN INFO RAMADAN YG BERMENAFAAT DAN WAJIB DIAMBIL TAHU...TQ
Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan... saya sedang batuk ni. Dah hampir sebulan belum sembuh lagi. Cabaran batuk saat sedang puasa sangat besar hingga keras perut dan kering mulut kerana puasa. Alhamdulillah, saya anggap itu sebagai cabaran dan ujian dari Allah. Informasi di atas amat berguna dan saya jadikan rujukan untuk tulisan dan pengajaran saya. Semoga dirahmati Allah buat Abu Ikhwan dan kelurga di Pahang. salam ramadhan dari Sarikei, Sarawak.
Post a Comment