Sahabat Sejati

Wednesday, 25 February 2015

Bicara santai: Damai desaku


“Malasnya nak balik esok,” saya mengomel sendirian seraya menguak daun jendela. Angin sejuk berlumba-lumba menerobos masuk. Saya memeluk tubuh, dinginnya terasa menguasai kulit. Cahaya malap bulan malam 2 Jumadil Awwal tersimbah di wajah. Dalam kedinginan malam, hati saya digigit rasa sayu. Ada sesuatu yang menyentuh perasaan. 

Anak-anak sudah lama dibuai mimpi. Keletihan barangkali, berkejaran di laman hijau siang tadi. 

Masih basah di ingatan, bilik inilah dulu saya dan abang-abang bergurau dan bergaduh sementara menanti mata terlelap. Seorang menolak, seorang lagi menepis. Sesekali kaki tertampan ke dinding. 

“Diam!” Jerit emak dari bilik sebelah, dan kami terdiam. Tersengih di dalam gelap, melayan hari-hari remaja menuju dewasa. 

Semuanya sudah lama berlalu. Emak dan ayah saya telah pun tiada, begitu juga abang sulung yang telah mendahului. Kini yang tinggal hanyalah rumah pusaka yang juga semakin sepi dan usang dimamah waktu. Namun rumah ini sentiasa mendamaikan hati yang resah. 

Allah jua yang mengetahui betapa sejuknya hati dapat pulang ke desa. Bertemu sanak-saudara dan handai taulan. Menyantuni pakcik-pakcik dan atuk-atuk yang semakin uzur menghitung usang masa. 

3 hari berada di desa bagaikan tidak mencukupi. Masih banyak lagi ceruk yang tidak sempat dijelajah. Melihat pepohon kelapa yang seperti melambai-lambai, juga rumpun buluh menghijau dan semilir rimba yang memupuk mesra. Bau rumput yang baru dipotong serta bau asap dedaun kering yang dibakar, maka saya menjadi lupa kepada kesibukan dan kekalutan hutan batu. 

Tatkala menyusuri lorong dan denai yang pernah menjadi tempat permainan dahulu, seakan saya seperti dapat melihat, diri saya berdiri di setiap sudut rantaunya. Ah, merista zaman itu menjadikan saya tersenyum sendirian. Semuanya adalah sebahagian perjalanan hidup yang pasti menjadi kenang-kenangan. 

Ingin rasanya menyambung kembali cuti agar dapat menetap lebih lama lagi. Berehat dan bersantai semahunya. Melupakan kebingitan dan meredakan resah jiwa dengan kemelut 1001 macam perlumbaan hidup hari ini. 

Tetapi tatkala memikirkan tugas dan komitmen yang sedang menunggu, ternyata ia bukanlah satu keputusan yang bijak dan terbaik. Allah tidak menjadikan kita untuk membatukan diri di zon selesa. Kita adalah khalifah yang mempunyai peranan dan sumbangan diri. Setidak-tidaknya khalifah kepada diri dan keluarga. 

Kepulangan kali ini cuma 3 hari, insya-Allah nanti kami akan pulang lagi.

2 comments:

paridah said...

assalam...sesekali menjenguk desa tercinta yg ditinggalkan sekian lama terasa berat hati pula mahu meninggalkannya ya..maklumlh di desa itulah kasih tertumpah banyak pula kenangannya bersama ibubapa n adikberadik...tersayang...jadikan rumah n tanah yg dipusakai sbg tempat pertemuan keluarga mengikat silaturahim yg erat.

iryantyismail said...

asalamualaikum saudara..:-(( sayu membaca coretan saudara...memang tempat yang paling mendamaikan adalah rumah kedua ibubapa..alfatihah untuk ibubapa abg ..saudara..amin

Post a Comment