'Berdoa sebelum memulakan perjalanan'
Pagi ini dengan nada sedikit tidak tenteram, saya ‘melepaskan’ sahabat-sahabat Skuad BAIM yang akan ke daerah Bera untuk misi kemanusiaan bencana banjir. Sebahagian daripada mereka telah pun bertolak petang semalam dengan membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan.
Saya pula terpaksa menguzurkan diri kerana perlu ke Kemaman hari ini untuk mendaftarkan angah menyambung sesi pengajian di PPTI. Hari esok perlu mendaftarkan acik di Kuantan, manakala pada hari lusa giliran anak sulong saya pula di Pulau Tawar, Jerantut. Ketiga-tiga mereka akan tinggal di asrama. Tetapi anak sulong saya hanya perlu mendaftar sahaja kemudian pulang semula. Insya-Allah beliau akan memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan kerana keadaan sekolahnya yang agak teruk ditimpa banjir dan memerlukan penyelenggaraan apa-apa yang patut. Itu pun sekiranya sempat. Harap-harap sempat, amin.
Balik semula kepada kisah Bera tadi, saya dimaklumkan secara keseluruhan seramai 120 sukarelawan yang bergerak ke Bera termasuk yang telah pergi semalam. Memang, kerja-kerja pembersihan pasca banjir memerlukan tenaga yang ramai. Banyak tugasan pembersihan yang perlu dilakukan ke atas rumah penduduk dan premis awam seperti dewan orang ramai, sekolah.
Namun, dalam pada itu, harap sahabat-sahabat tidak lalai dengan keselamatan diri. Malang tidak berbau. Selain daripada kemalangan semasa bertugas, wabak penyakit selepas banjir juga perlu diberi perhatian. Pakailah peralatan keselamatan yang sesuai dengan kerja-kerja yang dilakukan.
Ehh, panjang pula celotehnya. Sedang sahabat bergerak ke sana untuk ‘menuai pahala kebajikan’ saya pula sibuk mengomel di sini. Malu pula rasanya (Senyum). Tak apalah, mahu buat macamana apabila bersimbung (bertembung) dua perkara yang tidak dapat diuzurkan salah satunya. Sekalung doa dan harapan saya iringkan buat mereka semoga selamat dan dipermudahkan segala urusan.
Pada minggu lepas Skuad BAIM telah berkampung di derah Lipis membantu membersihkan kesan banjir di beberapa kampung yang terlibat. Sebak hati melihat apa yang telah berlaku. Menyelami perasaan mangsa-mangsa banjir, pastinya ia tidak sama dengan apa yang dilihat di dalam televisyen atau internet. Hampir luruh juga airmata tatkala mendengar luahan hati mereka. Namun, daripada raut wajah mereka jelas kelihatan ketabahan biarpun tiada apa yang tinggal. Boleh dikatakan ada di antara mereka yang terpaksa memulakan kehidupan daripada ‘zero’. Insaf saya melihatnya. Apakah saya mampu bertahan sekiranya berada di tempat mereka. Wallahua`lam.
Hakikat ujian
Melihat manusia yang diuji dengan kepayahan, menjadikan kita rendah hati dan menginsafkan. Mungkin kita melihat mereka sedang nazak dalam penderitaan, namun pada hakikatnya mereka sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Yakinlah mereka sedang ditarbiah secara langsung oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta buah-buahan, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu musibah, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itulah yang dilimpahi dengan pujian daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 155-157)
Kita semua pasti akan melalui ‘bicara dan didikan Allah’ melalui ujian yang menyapa. Ujian umpama sapaan Allah agar kita sentiasa menjadi yang terbaik. Lihatlah di dalam sirah, dengan ujianlah menjadikan para Rasul mendapat maqam yang tinggi. Dengan ujian juga menjadikan para wali Allah mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya. Tentunya kita juga mengharapkan ujian yang menimpa menjadikan kita insan yang terbaik.
Sabda Rasulullah saw:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa).” (Riwayat Muslim)
Mudah-mudahan kita semua diberikankebaikan atas musibah yang berlaku.
“Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka segenap kesabaran dan ketabahan. Permudahkanlah segala urusan dan pekerjaan mereka. Gantikanlah kepada mereka sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Amin ya Rabbal `alamin.”
2 comments:
assalam....kerosakan akibat banjir juga banyak berlaku merata tempat di Pahang...amat bersimpati sekali dgn nasib mrk yg terpaksa memulakan hidup baru dgn zero bukan mudah melakukannya hati mesti cekal tabah namun Allah xlupakan rahmahnya buat mrk yg redha bersabar dgn ujian-Nya...yg memandang penuh rasa kasihan yg merasainya xtergambarkan ronanya...squad BAIM yg prihatin membantu selamat mngumpul pahala bekal ke sana...
kak paridah:
benar, sangat simpati dengan apa yang berlaku ke atas mereka.mudah-mudahan mereka sentias diberikan ketabahan dan kesabaran.
Post a Comment