Sahabat Sejati

Tuesday 13 January 2015

"Itulah firasat mukmin", cerita hari ini

'Zaman muda-muda dulu'

Ada yang mahu tetapi tidak mampu.

Ada pula yang mampu tetapi tidak mahu. 

Malam ini saya hampir berada di kategori pertama. Hasrat hati mahu mencoret-coret artikel tetapi ‘mahu’ saya tidak dapat mengatasi ‘mampu’ saya. Badan terasa lenguh-lenguh manakala di atas kelopak mata saya entah berapa kilo pemberat yang diletakkan. Puas ditahan rasa mengantuk, malah entah berapa kali terlelap di hadapan komputer riba. Akhirnya setelah mencuci muka berkali-kali serta ditemani kopi ‘O’ kurang manis buatan isteri solehah, saya mendapat sedikit kekuatan untuk bertahan. 

Sebenarnya siang tadi saya ‘merempit’ dari Kuantan ke Jerantut kerana mahu menyelesaikan beberapa urusan. Lama sungguh saya tidak bermotosikal dalam jarak yang jauh. Kalau dulu, biasa sangat saya berkonvoi bersama teman-teman. Paling tidak sebulan sekali mesti kami menganjurkan aktiviti seperti konvoi, masuk hutan dan sebagainya. Maka, hari ini dengan semangat orang muda (walaupun sudah tua) saya nekad mahu ‘merempit’, sambil itu boleh juga melihat kesan-kesan banjir di sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang 15 minit keluar daripada lebuhraya di persimpangan Chenor, saya membelok ke kanan menuju ke Jerantut melalui jalan gugusan Jengka. Tiba-tiba motosikal yang sedang ‘seronok’ dipulas 'throttle' pecutan, seakan-akan kehilangan kuasa. Tidak semena-mena anak mata saya tertancap pada jarum meter minyak. Ah, rupa-rupanya kuda tunggangan saya kehabisan bensin. Aduh macamana saya boleh cuai. Di kiri dan kanan hanyalah pokok kelapa sawit yang melatari pemandangan. Suasana sepi, sesekali kenderaan menderu laju. Kebimbangan mula menguasai diri. 

“Ya Allah, Engkaulah yang mentadbir seluruh alam. Pastinya aku yang Engkau taqdirkan melalui masalah ini juga termasuk dalam pengetahuan dan pentadbiran-Mu jua.” Hati kecil berdoa. 

“Laa haula wala quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan pertolongan Allah). ” Hanya kalimat tersebut yang mampu saya ucapkan berkali-kali untuk mendapat sedikit ketenangan. Penyerahan dan harapan hanyalah kepada Dia yang Maha Mengetahui segala kesudahannya. 

Selang beberapa minit, sebuah motosikal dari arah bertentangan berhenti. 

“Ada masalah apa?” 

Saya menceritakan apa yang berlaku. Lelaki yang saya kira dalam usia akhir 40-an mendengar dengan penuh perhatian. (yang kemudiannya dikenali dengan nama abang Hasan) 

“Ada tak ‘petrol pump’ dekat-dekat sini.” Saya bertanya kembali.

“Tak ada, kalau ada pun jauh dari sini. Jenuh nak menolak motor.” Jawabnya, bercampur dengan loghat Kedah. “Tak apalah, biar saya tolong belikan.” Sambungnya kembali menawarkan bantuan. 

Tanpa berbasa-basi, saya segera menghulurkan wang ‘besar’ kerana ketiadaan wang yang kecil notnya. Ada juga rasa cuak, mana tahu terus dia lesap dengan duit tersebut. Tinggallah saya seperti menunggu buah yang tidak gugur. Tetapi perasaan itu saya tepis sejauhnya. Semuanya dalam taqdir perancangan Allah, saya menyedap dan mendamaikan hati. 

Sekira-kira 20 minit kemudian, abang Hasan sampai dengan membawa petrol yang dibungkus di dalam beg  plastik berlapis tiga. Rasanya jika di tempat saya tidak dibenarkan berbuat demikian. Mesti sediakan botol. Botol pula mesti botol yang khas digunakan untuk mengisi minyak, botol minuman pun tidak boleh. Macam-macam.

Usai menuang minyak petrol ke dalam tangki motor, saya segera mengucapkan terima kasih. Ingin saya membayar sebagai ganti kos minyak motornya, tetapi berkali-kali abang Hasan menolaknya. Ikhlas kerana Allah katanya sewaktu menyambut salaman saya. Sebak saya mendengarnya. Setelah bersalaman kami berpisah menuju destinasi masing-masing. 

 (sumber foto)

Firasat mukmin

“Subhanallah, ajaib sungguh. Begitu cepat pertolongan Allah…” terasa sebak dan terharu di hati. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hamba-Nya. Dan abang Hasan adalah manusia yang telah disentuh hatinya untuk membantu saya. 

Terdetik juga dihati saya. Bagaimana abang Hasan boleh memberhentikan motosikalnya. Tidakkah dia terfikir bahawa saya adalah perompak yang berpura-pura mengalami kerosakan motosikal. Tidakkah dia terfikir bahawa beberapa orang rakan saya sedang bersembunyi di bawah cerun tepi jalan dan bersedia mahu menyamunnya. 

Mengapa pula saya mempercayai abang Hasan dengan memberikannya duit ‘besar’ untuk mendapatkan petrol. Tidakkah saya terfikir bahawa abang Hasan akan membawa lari wang tersebut dan tinggallah saya di situ menunggu entah sampai bila. 

Aneh? Hmm ada juga. Saya menggelarnya (dengan izin) “Itulah firasat mukmin.” 

Sesungguhnya pengalaman hari ini sangat bernilai harganya. Bukan resah dan cemas yang dibawa pulang, tetapi keyakinan bahawa Allah, adalah Tuhan kita yang Maha Penyayang. 

"Kamilah pelindung kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat..." (al-Fussilat: 31)

4 comments:

paridah said...

assalam...jauh sgt bermotosikal dari Kuantan ke Jerantut tu mmg meletihkan badan...benar tu apa pun yg berlaku dgn izin Allah...syukur alhamdulillah tidak diuji dgn prasangka negatif yg bermain di fikiran..

abuikhwan said...

Salam kak paridah,
Allahu rabbi, itulah yang berlaku. Mula-mula ada juga perasaan cuak dan tidak percaya, segera saya menekan butang 'pause' di dahi. Alhamdulillah, abang Hasan diketuk hatinya oleh Allah untuk membantu saya. Jika tidak entahlah...

Kakzakie Purvit said...

Begitulah indahnya iman. Bila sama-sama ada iman sifat syak-wasangka dan kejujuran begitu mudah terserlah. Balasan Allah beri tak semestinya di akhirat. Tak rugi memberi bantuan. Mungkin dulu AI pernah membantu org lain dalam hal lain maka Allah datangkah abang Hasan pula membantu. Indah kan...:)

abuikhwan said...

Kakzakie:
Benar, tidak rugi menghulurkan pertolongan kepada manusia...kerana buat baik pasti dibalas dengan kebaikan. tentunya kebaikan itu adalah daripada Allah SWT

Post a Comment