Sahabat Sejati

Sunday, 4 January 2015

Ayuh, infaqlah tetapi lihatlah...

“Hmm.. dah siap satu, tinggal satu lagi.” Saya mengomel sendirian sambil menggeliat menghilangkan lenguh. Hampir satu jam saya mengadap laptop membuat kerja-kerja yang diamanahkan. Sambil-sambil itu saya mendengar alunan zikir munajat melalui aplikasi youtube. 

Saya sedang menyiapkan artwork banner untuk pusat pengumpulan pakaian terpakai yang diusahakan oleh beberapa orang sahabat saya untuk dihantar ke Kelantan. Ia dikira tugasan segera kerana semuanya perlu disiapkan malam ini. Petang tadi sahabat saya menelefon dan meminta ianya disiapkan malam ini untuk dicetak. Maknanya siap sahaja ‘design’tersebut, saya perlu emailkan terus kepada ‘printing centre’. Pagi esok ia mahu digantung di hadapan pusat pengumpulan. 

Tetapi artwork ini tidaklah sukar sangat membuatnya kerana tidak perlu ‘hias’ bagai, bukan seperti poster kuliah atau program-program lain. Yang penting nampak jelas maklumat yang tertera padanya, ‘background’nya pun putih kosong sahaja dengan sedikit gambar berkaitan tajuk. 

Sebenarnya saya sangat memuji inisiatif sahabat-sahabat yang mengusahakan pusat pengumpulan pakaian terpakai untuk mangsa-mangsa banjir ini. Ia bukan suatu kerja yang mudah. Banyak perkara yang perlu dilakukan, dan ini memerlukan komitmen serta kesabaran yang tinggi. Bermula dengan penyediaan tempat, menerima sumbangan, kemudian perlu mengasingkan pula pakaian tersebut mengikut pembahagiannya dan seterusnya menghantar kepada mangsa-mangsa banjir. Jika ramai sukarelawan yang membantu, tidak mengapa. Tetapi jika sebaliknya, hmm..anda boleh bayangkan bagaimana. Tentu banyak masa yang diperlukan terutama ketika kerja-kerja mengasingkannya. 


Tidak dinafikan kecaknaan masyarakat kita cukup mengharukan. Selalunya kempen derma pakaian terpakai memang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Boleh dikatakan mana-mana tempat begitu. Berbondong-bodong pakaian dihantar untuk didermakan kepada yang memerlukan. Alhamdulillah, ia suatu perkembangan yang sangat baik. Namun, dalam kemurahan masyarakat kita menderma, terselit juga perangai hodoh segelintir daripadanya. Saya tidak kata semua, tetapi ia memang ada. 

Dalam keghairahan mahu membantu, ada juga yang mengambil kesempatan ‘membersihkan rumah’ mereka. Ada yang mendermakan pakaian yang sangat buruk dan tidak layak untuk disumbangkan. Pengalaman sahabat saya menguruskan pusat pengumpulan pakaian terpakai, dalam longgokan pakaian yang disumbangkan, termasuk coli yang terpakai yang sudah tiada penyangkut (maafkan saya), seluar tiada berzip dan sebagainya. Entahlah, jika pakaian buruk yang disumbangkan, apakah jujur perbuatan kita itu. 

Langit tidak selalu cerah, adakalanya mendung mencelah. Bagaimana jika kita pula berada di situasi demikian. Seronokkah kita apabila menerima bantuan yang seperti melepaskan batok di tangga sebagaimana menderma pakaian tadi. Tentu tidak bukan! Oleh itu, marilah kita sama-sama menginsafi akan keadaan ini. 

Memberi apa yang dicintai 


Menyebut iman amat mudah, tetapi mencapai maksud iman adalah suatu ujian jiwa yang berat. Insan dikatakan belum mencapai tingkat kebajikan (birr) atau jiwa yang baik, sekiranya tidak sanggup menginfaqkan sesuatu yang dicintai. 

Di dalam surah al-Baqarah ayat 177, Allah SWT menyebut bahawa kebajikan (birr) bukanlah semata-mata menghadapkan wajah ke timur dan barat, tetapi kesanggupan memberi harta benda padahal kita cinta padanya. Manakala di dalam ayat ke 267 surah yang sama, Allah SWT mengingatkan agar tidak memilih menafkahkan sesuatu yang buruk, sedangkan kamu sendiri tidak menyukainya. Allah menggambarkan jika kita sendiri menerima pemberian itu, maka tidaklah kita menerimanya melainkan dalam keadaan memejamkan mata kerana jijik melihatnya ataupun menerima dalam keadaan terpaksa. Demikianlah betapa peri pentingnya melihat apa yang kita berikan bukan sekadar mengambil nama memberi. 

Allah SWT berfirman: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai hakikat kebajikan (yang sempurna), sehinggalah kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui.” (Ali-Imran: 92) 

Dalam ayat ini jelas dengan tegasnya Allah SWT menyebut tingkat kebajikan itu tercapai dengan menafkahkan yang terbaik. Allah tidak menyuruh memberi kesemua apa yang kamu sayangi melainkan sebahagian sahaja, tetapi biarlah pemberian tersebut yang terbaik. 

Buya Hamka menyebut di dalam tafsir al-Azhar: “Setelah turunnya ayat ini, ia sangat mempengaruhi para sahabat dan menjadi pendidikan jiwa yang mendalam sekali kepada mereka. 

Diriwayatkan oleh Waqi` dalam tafsirnya bahawa maksud al-Birra (kebajikan) ialah syurga, menurut Amr bin Maimun. 

Imam Ahmad berkata, bahawa Abdullah bin Abi Thalhah mendengar Anas bin Malik bercerita: “Seorang sahabat Ansar yang paling kaya di kalangan kaumnya di Madinah bernama Abu Thalhah. Apabila mendengar turunnya ayat tersebut di atas, beliau datang menemui Rasulullah saw dan berkata: “Ya Rasulullah, di antara harta kekayaanku ini yang paling kusukai ialah ‘Bairuha’ sebuah ladang yang terletak menghadap masjid di mana Rasulullah sering memasukinya, dan minum dari airnya yang segar. Dan aku ingin menafkahkannya di jalan Allah SWT sesuai dengan firman-Nya. Maka terimalah ya Rasulullah sedekahku ini dan letakkannya di mana Allah SWT menunjukkan kepadamu.” 

Maka Rasulullah saw bersabda: “Bagus! Bagus! Itulah harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar kata-katamu, dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada sanak saudaramu.” Maka dilaksanakan sedekah itu menurut petunjuk Rasulullah saw dan dibahagikan di antara keluarga dan sanak saudaranya.” Menurut riwayat hadis Muslim, harta itu telah diberikannya kepada Zaid bin Tsabit dan Ubay bin Kaab. 

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Saiyidina Umar ra. bertanya kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, aku tidak pernah memperolehi harta, paling aku sukai daripada bahagianku di dalam harta kekayaan ladang Khaibar, maka apakah harus aku melakukannya menurut perintahmu?” Rasulullah saw menjawab: “Pertahankanlah pokok dan nafkahkanlah hasilnya untuk jalan Allah SWT.” 

Berkata al-Hafiz Abu Bakar Al-Bazzar, menurut Zaid bin Yahya, Abdullah bin Umar menceritakan, “Apabila aku mendengar ayat ini, maka aku terlintas apa yang Allah SWT berikan kepadaku, yang tidak ada mengenai perkara yang paling aku sukai melainkan hamba sahayaku perempuan berbangsa Rom.Maka segeralah aku bebaskan dia dari perhambaan, dan menyatakan bebas semata-mata kerana Allah SWT Dan andaikan aku menarik kembali apa yang aku serahkan kepada Allah SWT nescaya akan aku kahwini hamba sahayaku itu.” 

Di dalam tafsir Ibnu Kathir menceritakan bahawa Rasulullah saw sendiri adalah teladan yang paling tinggi di dalam hal memberikan hadiah yang paling dicintai itu. 

Menurut satu riwayat dari Abu Hurairah ra., pernah baginda masuk ke pasar diiringi oleh Abu Hurairah dengan niat hendak membeli sehelai baju yang agak pantas baginda pakai. Tetapi pada perjalanan keluar daripada pasar, kedengaranlah suara seorang muda berseru-seru: “Barangsiapa yang sudi memberiku sehelai baju, nescaya Tuhan akan menggantinya dengan yang lebih baik. Hai dermawan! Berilah aku baju, moga-moga Tuhan memberi gantinya buat kamu!” 

Padahal orang itu tidak tahu, ketika mengucapkan seruan itu kali kedua, Rasulullah saw telah sampai di tempatnya berdiri, lalu baginda menyerahkan baju yang baru dibelinya itu dengan tidak ada pertimbangan panjang lagi. Mudah saja bagi baginda memberikan harta yang dicintainya itu, sekiranya ada orang yang datang memintanya. 

Setelah mengenal kebiasaan Rasulullah saw yang demikian, maka sahabat-sahabat baginda yang terdekat menjaga anak-anak muda, kalau berhadapan dengan baginda jangan sampai lama-lama melihat barang yang lekat pada diri baginda, misalnya gamisnya, jubahnya ataupun serbannya, sampai pun kepada terompah alas kakinya. Sebab kalau baginda tahu, bahawa anak muda itu melihat pakaiannya, kerana sangat menginginkan, nescaya sebentar itu juga akan baginda tanyakan: “Engkau suka?” Dan sebelum dijawab biasanya telah beliau tanggalkan. 

Pada suatu ketika telah terjadi pula yang demikian; seorang anak muda melihat gamis yang sedang baginda pakai dengan penuh keinginan. Baginda pun bertanya: “Engkau suka?” Pemuda itu menjawab: “Memang aku sangat rindu kepada gamis Rasulullah saw.” Lalu gamis itu baginda tanggalkan dan dihadiahkan kepada pemuda tersebut. Beberapa sahabat menyesali perbuatan pemuda itu. Dengan sangat terharu pemuda itu menjawab, bahwa dia ingin sekali mati dengan memakai gamis Rasulullah saw. 

Dan memanglah beberapa hari kemudian pemuda itu pergi berperang bersama Rasulullah saw dan dia mencapai syahid dalam peperangan itu, sedang gamis hadiah Rasulullah saw menjadi pakaiannya sampai ke liang kubur. 

Muhasabah diri 


Demikianlah beberapa contoh peribadi yang mulia yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah saw dan juga para sahabat dalam memberi. Tanpa berkira-kira mereka menginfaqkan apa yang ada walaupun ianya sesuatu yang dicintai. 

Kita semua mengakui bahawa peribadi sebegini memang sangat berat dan sukar untuk dilakukan. Sementelah lagi tingkat keimanan dan keyakinan umat di akhir zaman ini yang agak nipis. Namun demikian, lakukanlah sekadar mana termampu. Janganlah ditinggalkan semuanya sekiranya tidak mampu lakukan semuanya. Berbahagialah sesiapa yang dapat melepasi latihan dan ujian yang berat ini.

#Coretan ini, pengajarannya lebih utama buat diri saya.. 

7 comments:

paridah said...

assalam...benar n3 dik ustaz tu contohi akhlak rasullullah yg mulia memberilah sesuatu yg kita sayangi jika dgn niat hndak mnderma bukan sampah sarap yg kita sendiri mahu mnghapuskannya....mangsa2 bnjir itu sebelum ini mrk juga hidup spt kita mungkin jauh lbh baik khdupan mrk dari kita jadi jgnlah meremehkan mnjatuhkan maruah mrk dgn menderma sesuatu yg tiada nilainya...

abuikhwan said...

kak paridah:
Rasulullah saw adalahcontoh ikutan yang terbaik dalam segala sudut.
begitulah, kadang-kadang kita terlepas pandang atau sudah menjadi satu tabiat memberi sesuatu contohnya pakaian terpakai tetapi hakikat menjadi pakaian yang tidak boleh dipakai...

Kakzakie Purvit said...

Sungguh bukan mudah nak memberi kalau tak istiqomah. Tapi sedihnya kalau yg memberi dari yg kita tak suka sebaiknya didik dulu hati. Berilah apa yg terbaik. Sebaiknya memberi yg baik dan org yg menerima suka bukan rasa terhina. Kesian...

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, AbuIkhwan... Alhamdulillah, saya senang membaca posting ini dan mendoakan agar usaha Abu Ikhwan dan para sahabat dalam membantu mereka yang meerlukan diganjari Allah SWT dengan rahmat dan syurga-NYA. Aamiin. Saya sudah mengumpul banyak pakaian terpakai tetapi tidak tahu di mana hendak dikirim. Membaca posting ini seakan petunjuk dari Allah SWT untuk mengirim ke alamat tempat Abu Ikhwan dan sahabat yang membantu. Mohon diberikan alamat tersebut agar saya dapat mengirim dengan segera. Terima kasih dan salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

Saniah said...

Apa agaknya rasa klu bagi sumbangan pakaian yg x elok... nanti sampai sana akan dibuang juga.. buat penat je sukarelawan bawa... xkesian ke kat mereka...

abuikhwan said...

'Alaikum salam ummi ctfatimah,
lama sunggguh tidak mendengar berita ummi. Untuk pusat pengumpulan kami, pakaian sudah pun dihantar ke Kelantan baru-baru ini. InsyaAllah nanti saya bertanya sahabat yang lain pula sekiranya mereka belum menghantarnya lagi...

Anonymous said...

Alhamdulillah, harap mendapat maklum balas segera. Saya dan keluarga senang dapat membantu bersama. Email sudah saya kirimkan ke email Abu Ikhwan. harap dapat disemak. Terima kasih banyak-banyak dan Salam sejahtera. :)

Post a Comment