Sahabat Sejati

Wednesday, 30 December 2015

Tuesday, 29 December 2015

Solatullah wa salamuhu `ala Rasulillah (1)

Kita masih lagi berada di dalam bulan Rabiulawal yang diberkati. Bulan yang sarat dengan berbagai-bagai peristiwa besar yang tercatat di dalamnya. Di antaranya peristiwa agung iaitu kelahiran junjungan besar Rasulullah saw juga di dalam bulan ini. Dengan kelahiran ini maka bermulalah episod pancaran rahmat kepada semua manusia yang mengikuti jalan yang lurus, iaitu jalan Allah SWT. Malahan dicatatkan bahawa Rasulullah saw juga wafat di dalam bulan Rabiulawal ini. Tidak keterlaluan dikatakan selain menyambut kelahiran Rasulullah saw, kita juga sebenarnya turut mengingati akan tarikh kewafatan baginda. 

Tak kenal maka tak cinta. Meneladani Rasulullah saw merupakan satu faktor yang membuatkan hati kita meruntun untuk mencintai baginda. Kenalilah seluruh aspek kehidupannya dengan mempelajari sirahnya. Pada hakikatnya sirah nabawiah merupakan perbuatan yang jelas daripada risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada masyarakat. Dengan risalah ini Rasulullah saw mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia, menuju kepada penyembahan semata-mata kepada Allah SWT. 

Marilah kita soroti peristiwa kelahiran baginda yang mulia sempena berada di bulan Rabiulawal ini. Nasab Nabi Muhammad saw sebagaimana yang termaktub di dalam kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, karangan Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri: 

Nasab Nabi Muhammad saw terbahagi menjadi tiga bahagian: 

1. Bahagian yang disepakati kesahihannya oleh pakar sejarah dan ahli nasab, iaitu daripada baginda hingga ke Adnan. 

2. Bahagian yang diperselisih oleh mereka yang mengambil sikap tawaquf (diam) mahupun yang mengambil sikap qaul (bercakap), iaitu tingkatan-tingkatan selepas Adnan hingga Nabi Ibrahim. 

3. Bahagian yang tidak diragui mengandungi maklumat yang tidak benar, iaitu daripada Ibrahim hingga ke Adam. Dipaparkan secara terperinci bahagian-bahagian tersebut: 

Bahagian 1: Muhammad – bin Abdullah – bin Abdul Mutalib (Syaibah) – bin Hasyim (Amru) – bin Abdul Manaf (Mughirah) – bin Qushay (Zaid) – bin Kilab – bin Murrah – bin Kaab – bin Luay – bin Ghalib – bin Fihr (digelar dengan sebutan Quraisy) – bin Malik – bin Nadhar (Qais) – bin Kinanah – bin Khuzaimah – bin Mudrikah (Amir) – bin Ilyas – bin Mudhar – bin Nizar – bin Maad – bin Adnan.(1) 

Bahagian 2: Ia adalah tingkatan-tingkatan selepas Adnan (hingga Ibrahim), iaitu: Adnan – bin Ad – bin Humaisa’ – bin Salaman – bin Aush – bin Bauz – bin Qumwal – bin Ubay – bin Awwam – bin Nasyid – bin Juza – bin Baldes – bin Yudlaf – bin Thabikh – bin Jahim – bin Nahisy – bin Makhy – bin Aidh – bin Abqar – bin Ubaid – bin Daa – bin Hamdan – bin Sanbar – bin Yutsrabi – bin Yahzan – bin Yalhan – bin Ur’awy – bin Aidh – bin Daisyan – bin Aishar – bin Afnad – bin Aiham – bin Musurahhar – Nahits – bin Zarah – bin Sammy - bin Mazzy – bin Audhah - bin Aram – bin Qaidar – bin Ismail – bin Ibrahim.(2) 

Bahagian 3: Tingkatan-tingkatan di atas Ibrahim, iaitu: Ibrahim – bin Tarih (Azar) – bin Nahur – bin Saru’ (Sarugh) – bin Ra’u – bin Falikh – bin Abir – bin Syalikh – bin Arfakhsyad – bin Sam – bin Nuh – bin Lamik – bin Matusyalakh – bin Akhnukh (ada yang menyebut namanya Idris) – bin Yared – bin Mahalail – bin Qainan – bin Anusyah – bin Syaits – bin Adam.(3) 

Kelahiran Insan Termulia 

Penghulu para nabi; Nabi Muhammad saw dilahirkan daripada Bani Hasyim di Mekah pada Isnin pagi, 9 Rabiulawal pada tahun Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Ia bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri dan pakar ilmu falak Mahmud Pasha.(4) 

Ibnu Saad meriwayatkan, ibu baginda iaitu Aminah berkata: “Ketika aku melahirkannya , daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah penyataan yang tidak jauh berbeza.(5) 

Bahkan ada riwayat yang menyatakan, tanda-tanda kenabian telah kelihatan semenjak baginda lahir, iaitu runtuhnya 14 tiang istana Kisra, padamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar tasik Sawa. Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Namun begitu, riwayat ini tidak disetujui oleh Muhammad al-Ghazali.(6) 

Tatkala baginda lahir, ibunya menyuruh seseorang menemui Abdul Mutalib untuk menyampaikan berita mengenai kelahiran cucunya. Segera Abdul Mutalib datang dengan penuh rasa bahagia, lantas membawa cucunya itu ke dalam Kaabah. Di situ dia memanjatkan doa dan kesyukuran kepada Allah. Abdul Mutalib menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, satu nama yang belum pernah dikenali sebelum itu oleh bangsa Arab. Muhammad dikhatankan oleh Abdul Mutalib pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sebagaimana kebiasaan yang telah diamalkan orang Arab.(7) 

Wanita pertama yang menyusui baginda selepas ibunya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusui anak kandungnya sendiri bernama Masruh. Sebelum itu, Tsuwaibah pernah menyusui Hamzah bin Abdul Mutalib. Setelah menyusui baginda, Tsuwaibah juga menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumy.(8) 

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an –Nabawiah, jil. 1, hal. 1-2; Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 5-6 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 11-14 dan 52. 

(2) Syeikh Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri menghimpunkan bahagian ini daripada garis nasab yang diriwayatkan oleh al-Kalby dan Ibnuu Saud setelah melakukan penelitian mendalam. Lihat Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 14-17. Dalam hal ini terdapat perbezaan yang ketara antara pelbagai rujukan sejarah. 

(3) Ibnuu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 2-4; Ibnuu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 6; al-Thabary, Khulasah al-Siyar, hal. 6; dan al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 18. Beberapa nama disebutkan dengan lafaz berbeza dalam rujukan-rujukan ini. Bahkan, ada rujukan yang tidak mencantumkan sebahagian nama. 

(4) Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. I, hal. 38-39. Perbezaan pendapat para ulama dalam menetapkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad pada bulan April disebabkan oleh kepelbagaian versi kalendar Masihi. 

(5) Abdullah bin Muhammadal-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 12 dan Muhammad bin Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil I, hal. 63. 

(6) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 46. 

(7) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 159-160 dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan dalam keadaan telah terkhatan – lihat Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4. Berhubung hal ini, Ibnuu al- Qayyim mengatakan dalam Zad al-Ma`ad jil. I, hal. 18, “Tidak ada hadis yang kuat mengenai hal ini (Nabi Muhammad lahir dalam keadaan telah khitan).” 

(8) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar al-Sirah al-Rasul, hal. 13. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung... 

Friday, 25 December 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 51

Assalamualaikum warahmatullah. Salam Jumaat yang diberkati.


Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan...
"Bersama" bukan "selepas" maka bertenanglah...

Wednesday, 23 December 2015

Friday, 18 December 2015

Salam Jumaat: Saat itu pasti tiba

foto hiasan (sumber)

Hujan renyai-renyai menyimbah atap rumah. Bagaikan tidak terganggu anak telinga saya akan kebingitannya. Saya sukakan bunyi hujan menimpa atap. Berdetak-detak bagaikan melodi yang mendamaikan perasaan. Mungkin sesuatu yang pelik bagi sesetengah orang, atau mungkin sesuatu yang biasa sahaja. Tetapi itulah saya. 

Sesekali saya mengelamun di birai tingkap, melepaskan pandangan di kejauhan. Membiarkan hujan dari cucur atap memercik ke wajah, basah bersama titis-titis air mata yang tidak semena-mena bergenang perlahan. Ada sesuatu yang menggamit hati. Ingatan kembali dipugar pada perjalanan kehidupan silam. Membayangkan wajah pakcik dan makcik, atuk dan nenek, yang pernah saya kenal tatkala menjadi penghuni desa nan permai satu masa dahulu. Tidak ramai lagi yang masih ada. Seorang demi seorang berkelana 'pulang' menepati janji Pencipta, termasuk juga ayahanda dan bonda saya. Manakala yang masih tinggal sudah pun keuzuran menghitung usia.

Janji di azali. Tiada yang kekal abadi melainkan Dia. Daripada tanah berasal, kepada tanah jua dikembalikan. Saya memahami, kerana diri saya juga termasuk dalam hakikat ketentuan tersebut. Apabila ajal datang menjengah, maka akan 'pergilah' saya meninggalkan kesayangan di dunia ini. Tidaklah ia didahulukan maupun diakhirkan biarpun sedetik masa.    

Sesungguhnya, demikianlah sebuah kehidupan manusia di bawah kekuasaan-Nya. Waktu kecil yang tidak mengerti apa-apa, waktu muda yang penuh gembira, kemudian tibalah waktu tua yang sentiasa terbatas daya dan upaya. Ya, waktu tua yang telah menemui datuk dan nenek kita, akan menemui kita pula jika ajal tidak menjemput di usia muda. Sedarlah, pusingan umur di dunia ini amat singkat. Tiba masanya tandu kematian berkunjung di pintu rumah untuk menghantar ke gerbang yang menjanjikan kebahagian atau kesengsaraan. Demikianlah janji-Nya yang pasti. Allahu rabbi...  

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 
“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Zumar: 53)

Wednesday, 16 December 2015

SOLAT HAJAT: Memohon Kesejahteraan Rakyat Daripada Risiko & Musibah Akibat Kerakusan Pengusaha Bauksit


Isu bauksit: Pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak untuk memohon pihak kerajaan supaya menghentikan aktiviti perlombongan bauksit sekitar Kuantan semenjak 2 tahun lalu. Namun malangnya sehingga hari ini tidak ada sebarang perubahan dilihat malahan keadaan semakin tidak terkawal. 

Oleh itu, Pas Pahang bersama dengan GERAM dan KRT Taman Impianku, mengambil inisiatif melalui program kerohanian dengan memohon kepada Allah SWT supaya melindungi rakyat dan kawasan sekitar Kuantan daripada sebarang musibah. Di samping itu kita juga memohon agar Allah SWT membuka hati pihak berkuasa supaya memberhentikan segala kegiatan yang merosakkan alam sekitar dan menyusahkan rakyat. Kita juga amat bimbang dengan keadaan cuaca hari ini yg memungkinkan satu musibah besar akan berlaku. 

Justeru, kami menyeru semua penduduk sekitar Kuantan untuk hadir beramai-ramai, bersama-sama kita bermunajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT. Usaha ini amat penting khususnya kepada orang Islam supaya banyak berdoa dan bergantung harapan hanya kepada Allah SWT. 

Program akan bermula dari jam 7.30 malam dan dijangka tamat jam 9.30 malam, akan diketuai oleh Pesuruhjaya Pas Pahang YB Ustaz Rosli Abdul Jabar. 

 'Keratan akhbar Sinar Harian'

Monday, 14 December 2015

Hati-hati teman, pastikan kesahihan sebelum memanjangkannya...

foto hiasan (sumber)

Assalamualaikum ... Satu fakta nombor yang menarik untuk kita fikir-fikirkan:
Adakah kita sedari...??

Acheh - Tsunami 26-12-2004

Jogja - Gempa 26-5-2006

Tasik Jawa Barat - Gempa 26-6-2010

Gunung Merapi - Meletus 26-10-2010

Jambatan Tenggarong Samarinda - Runtuh 26-9-2013

Bulan lalu pada tarikh 26 Okt - Taufan Haiyan diutus Allah SWT untuk menunjukkan kekuasaan-Nya kepada seluruh rakyat Filipina yang telah merobohkan "Rumah-Nya' di Manila untuk digantikan dengan shopping mall!!

Mengapa semua ini berlaku pada tarikh 26hb. Adakah ini satu kebetulan?? Bukalah dan bacalah al-Quran juzuk ke 26, Allah SWT telah berfirman, mafhumnya:

"sedikit waktu lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, laut dan darat."

Biar mereka semua tahu bahawa mu`jizat Allah itu ada!!

Jika sudi...sampaikanlah kepada hamba Allah yang lain...wallahua`lam..

Susunan ayat yang menerjah masuk ke dalam peti henfon saya. Sebenarnya sudah beberapa kali ia dihantar melalui aplikasi whatsapp group. Sekali baca memang nampak satu tazkirah pendek yang 'cantik', mengingatkan kepada semua akan kekuasaan Allah SWT. Ya, Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ia sekali-kali tidak dapat dinafikan. Tetapi tatkala melihat dalil yang dikatakan daripada al-Quran juzuk ke-26, saya terfikir, "mengapa tidak diletakkan sekali nama surah dan nombor ayatnya.    

Kesangsian saya berasas. Apabila menyemak naskah al-Quran, ternyata tiada ayat yang dimaksudkan di dalam juzuk ke-26. Jadi, dari mana pula sumber ambilannya itu. Dalam 'kepeningan' itu, akhirnya seorang teman menghantar kepada saya sumber yang dikatakan berasal daripada juzuk ke-26.  Terkejut juga...

 
'Alkitab, Hagai 2:6 yang memuatkan firman Tuhan'


Di era teknologi di hujung jari ini, memang satu kemudahan untuk menyampaikan kebaikan. Dengan hanya 'share' bermacam-macam maklumat dapat disampaikan. Maka, tidak salah untuk kita turut sama mengambil peluang yang mudah ini. Sekurang-kurangnya ia menjadi saham untuk kita di akhirat nanti. Namun, dalam keghairahan me'copypaste' hadis, artikel, tazkirah dan sebagainya, pastikan dahulu kesahihannya. Bimbang jika kita memanjang sesuatu yang tidak benar. Akhirnya menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.

Hati-hati teman...

Friday, 11 December 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 50

Salam Jumaat.


"Satu-satunya perkara yang patut untukku sedihi...
Kecuaianku terhadap Tuhan."

Thursday, 10 December 2015

Pameran Hantu Shah Alam: Mengapa Hantu yang diawet tidak marah?

Soalan:

Bolehkah dijelaskan, kini masyarakat Malaysia heboh memperkatakan pameran hantu di Shah Alam (Jun hingga Julai 2006) yang berjaya menarikramai pengunjung. 

1. Apakah benar yang ditunjukkan itu hantu yang sebenarnya? 

2. Bolehkah hantu ditangkap, dibunuh dan diawet sedemikian rupa untuk pameran? Tidakkah hantu-hantu lain akan marah apabila manusia melakukan hal tersebut kepada anggota masyarakat mereka? 

Jawapan 1:

Hantu adalah merujuk kepada istilah yang digunakan dalam masyarakat Melayu yang dipadankan pada istilah syarak syaitan, iblis, jin, ifrit dan sebagainya. 

Makhluk halus diciptakan Allah SWT daripada 'api yang menyala dengan garang' ertinya makhluk ini dijadikan daripada bahan yang khusus untuk mereka. 

Malaikat diciptakan daripada cahaya, manakala manusia dijadikan daripada unsur tanah, yang disebutkan tanah, air, api dan angin. 

Makhluk halus ini pada kebiasaannya tidak dapat dilihat oleh manusia seperti yang dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran, (mafhum) firman-Nya: "Sesungguhnya makhluk-makhluk halus itu dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (al-A'raaf, ayat 27) 

Ayat ini merujuk kepada keadaan kejadian makhluk halus yang tidak dapat dipandang dengan mata kasar manusia sedangkan mereka dengan kabilah mereka (makhluk halus) dapat melihat manusia dengan begitu mudah. 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa, makhluk halus daripada istilah yang disebut sama ada syaitan, jin, iblis ataupun ifrit mempunyai rupa paras mereka yang asli, bentuk khusus yang Allah SWT jadikan mereka. 

Bentuk khusus adalah rupa asli yang tidak dapat dilihat manusia. Namun demikian Allah SWT yang mengetahui hikmah kejadian makhluk halus ini, mengizinkan kepada mereka pada keadaan tertentu untuk menjelmakan diri mereka menjadi rupa-rupa yang dikenali manusia. 

Lazimnya mereka zahir dalam bentuk ular hitam, anjing hitam, burung, kala jengking dan sebagainya. 

Berlaku beberapa kejadian sejarah Islam, Allah mengizinkan mereka zahir menyerupai manusia seperti mesyuarat muafakat musyirikan jahilyyah Mekah untuk membunuh Nabi Muhammad saw semasa malam hijratul rasul ke Madinah. Syaitan menyerupai Sheikh Najiddi. 

Begitu juga dalam satu peperangan, makhluk halus ini menyerupai Suraqah bin Malik. 

Dalam hadis sahih Muslim seorang pemuda telah membunuh seekor ular di zaman peperangan Khandak di Madinah, bila ular mati, pemuda yang membunuh ular juga mati. Ketika itu Nabi saw mengatakan itu adalah angkara perbuatan jin yang memeluk Islam tetapi berlaku salah faham kerana pemuda itu menyangka itu adalah ular yang sebenar, sedangnya ianya jin, jin bertindak balas, maka pemuda itu meninggal dunia. 

Makhluk halus atau hantu sememangnya wujud, tetapi pameran tersebut adakah ia menggambarkan hantu yang sebenar? Secara peribadi saya tidak pergi melihat pameran tersebut, tetapi melalui laporan akhbar, saya agak hairan bagaimana lembaga-lembaga seperti itu diberi nama jenglot, langsuyar, toyol dan sebagainya. 

Dikatakan juga ianya menjadi lembaga yang dapat dilihat, dipegang dan dirasa seolah dalam alam realiti daripada makhluk halus tersebut. 

 Pada saya sepatutnya sebelum diberi jawapan khusus yang muktamad tentang benarkah itu adalah hantu, perlu kepada beberapa kajian yang lebih lanjut, sama ada melihat DNA makhluk tersebut, organ dalamannya, struktur jasmani yang ada pada mereka, ada darah atau ruh sebelumnya. 

Hal-hal ini seperti ini boleh dilakukan secara saintifik (di zaman sains dan teknologi) dengan menggunakan peralatan canggih bagi memastikan lembaga-lembaga yang dipamerkan itu benar-benar hantu atau ia hanya suatu hasil seni yang kreatif terjemahan daripada imiginasi yang biasa wujud dalam masyarakat kita. 

Bagi masyarakat Melayu memang disebut makhluk yang dinamakan jenglot (berasal daripada Indonesia) dikatakan umumnya, kununnya makhluk halus, tetapi sebenarnya apabila sudah dapat dilihat secara fizikal, ianya bukan lagi makhluk halus, ia adalah makhluk kasar. 

Toyol, hantu raya, pelesit dan langsuyar sebagainya digambar dengan sedemikian rupa. 

Oleh demikian hasil terjelma yang dikatakan hantu asli, amat memerlukan pengesahan daripada pakar biologi, saintis, doktor dan mereka yang mahir tentang kajipurba dengan merujuk kepada pandangan ulama yang mahir dalam bidang tersebut. 

Jawapan 2:

Makhluk halus ada yang tidak boleh dibunuh kerana mereka berumur panjang sampai hati qiamat dan ada yang mati (boleh dibunuh). Hanya Iblis sahaja tidak boleh dibunuh kerana ternyata dalam al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya): "Iblis telah berkata kepada Allah, 'Wahai Tuhanku. Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Kiamat). Allah berfirman, "Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau (termasuk) dari golongan yang diberikan tempoh. Hingga ke hari, waktu yang telah ditentukan." (al-Hijr ayat 36, 37 dan 38) 

Ahli-ahli tafsir secara umumnya menyatakan setelah iblis enggan tunduk kepada Allah S.W.T dan dilaknat serta dikeluarkan daripada syurga, mereka berdoa agar Allah memanjangkan umur mereka, maka Allah S.W.T menganugerahkan kepada mereka apa yang mereka minta iaitu berumur panjang sampai kepada hari Kiamat. 

Ertinya makhluk yang termasuk dalam suku sakat iblis ini, mereka berumur panjang, dengan lain perkataan mereka tidak mati dan tidak boleh dibunuh. 

Adapun selain daripada iblis seperi syaitan, jin dan sebagainya, mereka beranak pinak dan sampai umurnya mati, jelas dinyatakan bahawa mereka boleh dibunuh, khususnya disebut dalam sejarah mereka dibunuh dan mati dalam bentuk penjelmaan ular. 

Banyak contoh lain, makhluk ini mati sama seperti makhluk yang dapat dilihat jisim seperti manusia, binatang dan lain-lain. 

Meskipun makhluk ini mati, tetapi tidaklah sampai dapat dilihat (selain daripada bentuk penjelmaan). 

Adapun dakwaan dibunuh dan diawet untuk menjadi tontotan masyarakat, saya bertawakuf untuk mengesahkan makhluk tersebut adalah hantu kerana penjelmaan sedemikian rupa tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. 

Pameran tersebut seolah-olahnya membawa erti bahawa makhluk yang diawet itu merupakan rupa asli makhluk tersebut, kebetulan yang diperlihatkan adalah perkara yang wujud dalam masyarakat. 

Kisah awet mengawet ini berlaku dalam alam fizikal, tetapi tidak pernah berlaku manusia boleh mengawet makhluk halus. 

Sekiranya berlaku sedemikian rupa kita tidak perlu bertanya sama ada hantu lain akan marah, kerana kalau kita, manusia sendiripun, jika ada orang mati tanpa kerelaan keluarga diawet dan dipertonton sedemikian rupa, kita akan berasa marah. 

Lebih-lebih lagi jika makhluk itu ditangkap dan dibunuh untuk diawetkan. Secara logiknya tentulah hantu-hantu lain (makhluk halus) akan marah kerana tabie mereka kezaliman perlu ditentang. Pelaku zalim ke atas mereka perlu mendapat hukuman. 

Jika manusia menzalimi makhluk halus, maka memungkinkan mereka boleh menzalimi manusia. Dalam keadaan manusia tidak menzalimi makhluk haluspun, sering kita dengar mereka menzalimi manusia (merasuk dan sebagainya), inikan pula tanpa sebab munasabah manusia menangkap dan membunuh untuk dijadikan tontonan. 

Tetapi oleh kerana soalan yang dinyatakan tadi belum dipastikan kesahihannya, maka tindak balas makhluk halus tidak timbul. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 6 December 2015

Usia yang berbaki...

foto hiasan (sumber)

Tiada malam yang diseliputi kegelapan kecuali pada akhirnya adalah fajar yang menyinsing cahaya. Tiada pula hilang terik sang matahari kecuali ia terbenam ke hujung barat menyambut datangnya malam. Begitulah Allah SWT menjalankan pergantian keduanya sebagai bahasa untuk umat manusia memahami ketetapan dan kekuasaan-Nya. Namun, ia juga adalah tanda perkiraan masa di dunia ini. Setelah terbenam sang mentari, maka berlalulah satu hari dalam kehidupan. 

Berlalu sehari masa di dunia adalah isyarat telah hilang sehari daripada usia kita. Bayangkan seutas tali yang panjang, jika setiap hari dipotong sedikit demi sedikit, akhirnya akan habislah tali tersebut. Begitulah ibarat usia kehidupan kita. Sedarkah kita? Atau lalaikah kita? Tetapi, masa akan terus berlalu tanpa menunggu persetujuan kita. Samada kita menyambutnya atau menolaknya, ia akan tetap berlalu tanpa dapat dihalang sehinggalah akhir dunia ini. 

Seandainya kita melihat usia yang bertambah saban tahun dengan makna yang tersirat, ia bukan sekadar angka yang dibilang-bilang. Sesungguhnya ia adalah derap langkah yang memendekkan jarak kepada kematian. Menanti dan mengharungi hari-hari yang berlalu bukan sekadar pejam dan celik, ia bukan hanya kerdipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi. Hargailah... 

#Meniti hari-hari menuju usia 40, jika ada belas keizinan Tuhan. 

Friday, 4 December 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 49

Salam Jumaat.


Rezeki itu bukan hanya berupa harta benda dan makanan...
Rezeki Allah itu cukup luas...
Boleh jadi rezeki itu berupa rakan-rakan yang baik...
Boleh jadi juga berupa ketenangan dan kerehatan jiwa.

Monday, 30 November 2015

Tahniah rakyat Johor!


Tahniah rakyat Johor. Menjunjung kasih tuanku..

Setakat Ketua Pengarah Kesihatan atau ustaz-ustaz bercakap, tak berapa nak dengar. La ni,..

Friday, 27 November 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 48

Salam JUmaat.


Jika kamu tidak miliki sesuatu untuk diberikan kepada orang lain...
Sedekahlah dengan ucapan yang baik dan senyuman yang suci. Gaulilah manusia dengan akhlak yang mulia.

Wednesday, 25 November 2015

25 November 2015: Penyerahan petisyen rakyat Kuantan ke Parlimen berkenaan perlombongan bauksit

Hari ini penyerahan petisyen rakyat Kuantan ke Parlimen, memohon kuasa Parlimen agar aktiviti perlombongan bauksit dihentikan serta-merta sehinggalah satu peraturan yang perlu dipatuhi dikeluarkan. Berulang-kali tegaskan bahawa kami tidak membantah aktiviti perlombongan bauksit, tetapi bantahan kami kepada pencemaran alam, keselamatan pengguna jalanraya yang lain dan sebagainya.   














Tetapi akhirnya, petisyen yang membawa suara rakyat Kuantan telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat dengan alasan terdapat kesilapan teknikal pada petisyen. Apa boleh buat, berhadapan dengan golongan yang memiliki kuasa, menggelek luka, digelek pun luka. Nampaknya terpaksalah rakyat Kuantan menghidu lagi debu bauksit serta berhadapan dengan lori dan treler bauksit yang bermaharajalela di atas jalan raya.

Namun, perjuangan tetap diteruskan.  

Sunday, 22 November 2015

Islam memuliakanmu duhai wanita

 foto hiasan (sumber)
 
Ada suara-suara yang berkata Islam merendahkan martabat wanita. Manakala pengamal media sekular sering menjadikan status wanita Islam sebagai sasaran serangan di dada media mereka. Mereka menjadikan isu hijab, poligami, harta warisan, kesamaan saksi dan sebagainya untuk menunjukkan bahawa Islam mengongkong dan merendahkan martabat wanita. Benarkah demikian? 

Dahulu, sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang rendah dan hak mereka dinafikan serta dijadikan alat memuaskan nafsu. Betapa rendahnya martabat wanita ketika itu. Mari kita melihat beberapa contoh status wanita dalam masyarakat sebelum kedatangan Islam. 

Di bawah undang-undang tamadun Babylon, jika seseorang lelaki membunuh seorang lelaki atau wanita, bukan lelaki tersebut yang dihukum sebaliknya isterinya yang dihukum mati. 

Di bawah tamadun Yunani, hak wanita dinafikan. Kaum Yunani menganggap wanita seperti binatang dan lebih rendah martabatnya daripada lelaki. Walaupun kesucian wanita berharga dan disanjung tinggi, kaum Yunani ditenggelami keegoan dan sumbang laku seks. Pelacuran menjadi amalan biasa di kalangan semua golongan masyarakat Yunani. 

Tamadun Mesir (pra-Islam) menganggap wanita sebagai jahat dan petanda syaitan. Manakala, ketika tamadun Rom berada di kemuncak kegemilangannya, seorang lelaki berhak mengambil nyawa isterinya. Manakala pelacuran dan kebogelan menjadi kebiasaan di kalangan di kalangan kaum Rom. 

Sebelum Islam berkembang di tanah Arab, kaum Arab memandang rendah terhadap wanita dan seringkali apabila anak perempuan dilahirkan, ditanam hidup-hidup. Namun, penghinaan terhadap wanita di zaman jahiliyah Arab bukan hanya terbatas kepada penguburan bayi hidup-hidup, tetapi kehinaan itu meliputi seluruh segi kehidupan mereka, seperti wanita dijadikan hamba seks, hamba abdi yang boleh diperintahkan apa saja dan tidak mempunyai apa-apa hak. 

Islam memuliakan para wanita 

Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah SWT sebagai Rasul terakhir yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Di antara rahmat yang didatangkan melalui syariat yang dibawa oleh baginda ialah mengangkat darjat dan martabat wanita kepada satu kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Islam. 

Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna tanpa pengurangan sedikitpun. Al-Quran dan hadis membicarakan wanita sepanjang masa. Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita. 

Di dalam satu riwayat telah diceritakan: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi saw menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Di dalam hadis yang lain: “Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat Bukhari)   
Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan. 

Termaktub di dalam Islam ini hukum-hakam yang begitu banyak berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan seperti talaq, lian, ila, zihar, nafkah dan lain-lain. Kesemua hukum ini bermaksud menyusun dan membentuk sistem kekeluargaan dengan memberikan keadilan kepada suami dan isteri, lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab dipertegaskan dalam kesemua hukum ini. Taqwa sentiasa disebut di dalam al-Quran mengiringi hukum talaq dan lain-lain, agar tindakan yang dibuat didasarkan kepada akal waras dan nilai pahala dosa, bukan emosi semata-mata yang kemudiannya menzalimi wanita. 

Alangkah cantiknya hukum Islam ini yang telah mengeluarkan wanita dari lembah kehinaan, alat dan hamba seks semata-mata dan menjadi bahan pemerdagangan manusia tidak bertamadun.  

Umar al-Khattab ra. Berkata: “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Islam telah memuliakanmu duhai wanita!

Friday, 20 November 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 47

Salam Jumaat.


Rumahtangga asasnya bukan simen atau batu-bata...
Sebaliknya adalah perempuan yang solehah.

Monday, 16 November 2015

Itulah yang bernama hati (update)

Foto hiasan (sumber)

Senangnya hatiku... 
Sedihnya hatiku... 
Sakitnya hatiku... 

Ungkapan yang sering meluncur dari bibir sehari-hari. 

Hati membentuk lahiriyah. Jika kehidupan lahiriyah baik dan menurut tuntutan Islam, maka sesungguhnya hati itu telah menerima pengaruh kebaikan. Demikianlah sebaliknya, kerana ia adalah raja. Amat malang jika hati tidak diguna untuk merasai kebesaran Tuhan dan memahami kebenaran. 

“Dan sesungguhnya Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami (petunjuk Allah) dengan hati itu. Dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak mereka gunakan untuk melihat (jalan yang lurus). Dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mereka gunakan untuk mendengar (yang hak). Mereka umpama binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Merekalah orang-orang yang lalai (dari memahami ayat-ayat Allah). (Al-A`raaf: 179). 

Fikir-fikir dalam diri...

Friday, 13 November 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 46

Salam Jumaat.


Ramai yang mengucapkan: "Semoga kamu memperolehi mimpi bahagia."
Tiadakah ucapan: "Semoga kamu memperolehi realiti menarik?"

Apa guna mimpi bahagia sedangkan realiti menyedihkan?

Monday, 9 November 2015

Entahlah, tanpa tajuk...

Tiada kena-mengena dengan politik (sumber: Whatsapp)

Seorang sahabat berkongsi foto ini di dalam whatsapp group kami. Saya lihat ramai yang membalas dengan icon ibu jari menunjuk ke atas, tanda bagus dan bersetuju. Saya, pada asasnya juga bersetuju dengannya. Memang benar yang akan menguruskan jenazah kita tentunya yang seagama dan seaqidah, yang akan membacakan Fatihah dan Yaasin juga yang seagama dan seaqidah, yang akan mentalqinkan pun sama. Tiada siapa pun menafikannya.

Tetapi saya cuba melihat dari sisi pandang yang lain. Lalu saya menjawab: 
"Amatlah tidak cerdik jika kita mengharapkan mereka (bukan Islam) melakukan itu untuk kita. Sedangkan keber-adaan mereka di dunia ini adalah untuk kita sama saling mengenal. Begitu juga sebagai ujian untuk kita, sejauh mana kesungguhan kita berdakwah kepada mereka, seterusnya sama-sama berada di atas jalan yang lurus lagi benar. Wallahua`lam." 

Fikir-fikir.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat. Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat. Aminn..  

Friday, 30 October 2015

Seminggu ' berpuasa'

 
 foto hiasan (sumber)

Assalamualaikum warahmatullah. 

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan keizinan untuk bertemu di ruangan alam maya ini, setelah beberapa ketika menyepikan diri. Memang hasrat dihati ingin bertemu setiap hari, apakan daya ketentuan adalah milik mutlak-Nya. Kita hanyalah mampu mentadbir, tetapi ditangan-Nya kekuasaan mentaqdir. Akur dengan ketentuan itu, ada masa-masa saya terpaksa ‘berpuasa’ daripada mencoret sesuatu dek kerana aral yang menjadi penghalang. 

Melihat pada tarikh entri terakhir ditulis, rupa-rupanya telah genap seminggu saya tidak mencoret apa-apa di pondok kecil abuikhwan ini, sekaligus memberi erti selama itulah saya tidak menjengah ke laman sesawang milik sahabat-sahabat.  Maafkanlah kerana ia bukanlah disengajakan.

Sebenarnya dalam tempoh tersebut, laptop kesayangan yang banyak berjasa ini mengalami kerosakan. Hari-hari yang dilalui tanpa mengetik butang-butang hurufnya, biarpun cuma seminggu, agak meresahkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan ia seumpama kehilangan sebelah tangan. Kewajarannya ada, banyak tugasan yang dilakukan dengan bantuan laptop usang ini. Kerja-kerja berkaitan kebajikan dan khidmat masyarakat, kuliah ilmu, misi dakwah, termasuk juga sebagai alat menjalinkan ukhuwah fillah dengan sahabat-sahabat menerusi laman blog, FB dan sebagainya.  

Teringat sindiran seorang pakcik pengusaha 'house boat' di Tasik Kenyir satu ketika dahulu: "Budak-budak zaman sekarang kalau tak ada telefon macam tak boleh hidup!" 

Tersenyum kami semua mendengarnya. Apa tidaknya, keadaan kami membenarkan kata-kata pakcik tersebut. Masing-masing semacam kelam-kabut, resah dan gelisah lantaran tiada liputan telefon di situ. Itu baru tiga hari dua malam, bayangkan jika seminggu atau sebulan. Mau 'gila' jadinya. Demikianlah sekadar perbandingan. 

Namun saya tetap bersyukur dengan lafaz alhamdulillah, mujurlah kerosakannya masih boleh dirawat. Dapatlah juga membereskan kerja-kerja yang telah tergendala. Tetapi entahlah sampai bila ia mampu bertahan, kerana menurut sahabat yang membaikinya, hard disc-nya’ juga telah menghampiri ambang sore. 

Begitulah hakikat yang perlu difahami. Tiada yang kekal di dunia ini bagi yang bergelar makhluk. Tentunya ia lebih bererti buat diri kita. Laptop, atau apa sahaja tiada persoalan untuk dipertanggungjawabkan nanti. Rosak, usang dan dibuang, maka setakat itu sahaja. Manakala kita selaku khalifah di atas muka bumi ini yang telah berbai`ah di alam roh dahulu, akan dipersoalkan apa sahaja yang dilakukan di dunia ini. Perbuatan yang baik atau sebaliknya ada perhitungan dan pembalasan. Hati-hati jangan sampai kita terleka dalam kehidupan di dunia ini.  

Friday, 23 October 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 45

Salam Jumaat.


Sesungguhnya diam orang perkasa itu bukan bererti lemah...
Tetapi ia peluang untuk orang lemah bersuara sebelum ia diam untuk selamanya.

Wednesday, 21 October 2015

Wordless Wednesday: Jerebu merah




##...........................

Tuesday, 20 October 2015

Bicara santai: Jerebu, peringatan yang perlu difikir-fikir

foto hiasan (sumber)

Masalah jerebu telah reda beberapa minggu yang lalu apabila bacaan IP-nya mula turun ke paras selamat (warna biru). Maka urusan kehidupan kembali berjalan seperti biasa. Sudah tidak kelihatan yang memakai topeng muka untuk mengelakkan implikasi jerebu ini. Kebimbangan mula semakin hilang. 

Tiba-tiba, hari ini berita mengenainya mula memenuhi ruang laman sesawang. Saya sendiri dihujani dengan perkongsian tentang jerebu daripada sahabat-sahabat menerusi aplikasi whatsapp. Belum selesai lagi rupanya musibah ini. Teringat peristiwa dua minggu lepas gara-gara jerebu... 

Bergegas saya ke Pulau Tawar Jerantut pada hari itu untuk membawa pulang anak sulung di sekolahnya. Ketika itu jam sudah pun melewati 3.30 petang. Mujurlah hari Ahad, kalau hari biasa tentu agak sulit juga. Asalnya dia menelefon setelah pihak sekolah meminta semua pelajar pulang ke rumah masing-masing. Ini berikutan arahan KPM mengenai penutupan sekolah selama 2 hari di negeri Pahang dan negeri lain yang terlibat. Memandangkan hari telah lewat petang saya terpaksa mengambilnya di sekolah. Jika hari masih awal, bolehlah dia pulang dengan menaiki bas ekspres. 

Setiba di ‘exit’ Maran, anak ketiga saya yang bersekolah di Alor Akar pula menelefon, memberitahu hal yang sama seraya meminta mengambilnya di sekolah. 

“Ah..sudah, macamana ni?” 

Menepuk dahi saya memikirkan perjalanan yang sudah pun jauh. Takkan nak berpatah balik semula ke Kuantan, kemudian memulakan kembali perjalanan ke Jerantut. Teruk begini. Namun, jika itu pilihan yang ada maka terpaksalah akur sahaja. 

Dalam kekalutan tersebut, mujurlah ada seorang rakan sekelasnya yang tinggal di taman perumahan berdekatan mempelawa beliau menumpangkan kenderaan ayahnya, dan mengikut ke rumahnya dahulu. Tetapi sahabat-sahabat jangan salah sangka, kerana maksud berdekatan itu bukanlah dekat dalam erti kata yang sebenar. Maksudnya ialah rumah rakannya yang paling dekat berbanding yang lain. Jika mahu diikutkan jauh juga sebenarnya. Hendak buat macamana, itu pilihan yang terbaik yang saya ada. Apa pun, ungkapan puji-pujian bagi Allah atas sifat rahmat dan kasih sayang-Nya yang memudahkan setiap urusan. 

Hmm, gara-gara jerebu, kelam-kelibut jadinya....

Saya sekadar menjentik. 

Bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada musibah jerebu ini? Apakah hanya dengan menyalahkan negara jiran atas apa yang berlaku sambil mengutuk-ngutuk di laman sesawang? Dan juga berfikir tentang usaha membenihkan awan semata-mata dengan tujuan mengurangkan jerebu? 

Kita bernasib baik kerana jerebu yang menyelubungi ruang udara kita tidaklah seteruk yang dialami negara-negara jiran (jika benar laporannya). Bahkan Malaysia cuma mengalami mencapai tahap IP berkali ganda lebih rendah berbanding dengan negara jiran Indonesia. Khabarnya di sana sehingga mencecah 2 ribu lebih dengan tahap amaran warna kuning iaitu tahap beracun. Wal`iyazubillah. 

Benar, kita melihat jerebu berlaku kerana onar dari negara jiran akibat perbuatan pembakaran terbuka yang sangat berleluasa. Kita sudah tentu boleh menyalahkannya. Namun, jika sekadar itu maka ia hanya sampai setakat itu tanpa apa-apa pengajaran. 
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan alam ini untuk manfaat dan kebaikan kepada seluruh mahkluk. Manusia bebas memanfaatkan alam ini untuk kepentingan mereka. Namun, terdapat segelintir manusia yang rakus mengejar kemewahan dunia. Mereka tidak berhemah dan tidak langsung menghargai peranan alam sekitar kepada keseimbangan kehidupan. Lalu mereka mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekosistem yang ada. Mereka menganggap ia satu peluang kemewahan dan kebijaksanaan dalam menggunakan teknologi moden, hakikatnya mereka adalah pemusnah dan perosak alam ini. 

Marilah kita menerima hakikat bahawa bencana ini bukan ‘kejadian alam tanpa sebab’. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang perlu diperhati dan difikir-fikirkan. Janganlah kita terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. 

Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. 

Bukan sahaja jerebu, malahan apa sahaja musibah yang berlaku tentu ia akibat daripada kemusnahan alam ini yang dilakukan oleh tangan-tangan yang rakus. Lebih daripada itu, akibat melanggar hukum dan perintah Allah SWT. Barangkali juga ada onar dan kesilapan yang telah kita (samada rakyat atau pemimpin) lakukan sehingga Allah SWT menurunkan musibah ini. Fikir-fikir.

Monday, 19 October 2015

Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai atau ke laut. Bolehkah dipercayai?

Soalan:

Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila jelaskan. 

Jawapan: 

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak. 

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri. 

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus. Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah saw, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak. 

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah saw, mengapakah gerak-geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu. 

Rasulullah menjelaskan kepada mereka: "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku." 

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana. 

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalah seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya. 

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku. 

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak. 

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. 

Contohnya, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak. 

Malah batu batan yang besar seperti Piramid, juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray. 

Kalau setakat boleh yang diperbuat daripada kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang bentuknya fizikal?

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya. 

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa. 

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kerana mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol. 

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah saw. 

Tujuan kita ialah memohon Allah menjauhkan makhluk halus daripada kita. 

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya. 

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday, 17 October 2015

Jom hijrah, hari ini lebih baik dari semalam...

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.” (al-Hajj: 58) 

Hijrah adalah satu tuntutan yang besar nilainya di sisi Islam. Allah sendiri memerintahkan Rasulullah saw berhijrah pada saat sukar bagi baginda mendirikan negara Islam pertama. Para sahabat juga berhijrah setelah mendapat restu Rasulullah saw. Tetapi bukanlah sesuatu yang mudah untuk berhijrah. 

Makna hijrah ialah meninggalkan kepentingan, mengorbankan harta dan menyelamatkan diri. Ia dilakukan dengan kesedaran bahawa diri mereka mungkin terbunuh atau dirompak pada awal maupun pada akhir perjalanan. Demikian pula kesedaran bahawa diri mereka berjalan menuju masa hadapan yang belum pasti, sedangkan mereka tidak tahu apa yang akan menerpa mereka kemudian hari. 

Hari ini kita juga digesa agar berhijrah. Tetapi hijrah kita bukanlah meninggalkan tanah tumpah menuju ke suatu tempat asing. Selepas pembukaan kota Makkah tidak lagi dianjurkan berhijrah sebagaimana hadis Rasulullah saw: 

Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda Rasulullah saw:  
“Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025) 

Hijrah yang mesti berlaku di kalangan orang Islam pada hari ini ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari muka lebih baik dari hari sebelumnya. 

Benar, memang sukar untuk berhijrah. Namun, tiada alasan untuk kita berkata tidak mampu melakukan yang terbaik. Keinginan dan keyakinan antara faktor kejayaan disamping doa dan tawakkal kepada Allah. Penghijrahan bukan membabitkan soal perubahan semata-mata, tetapi soal jati diri dalam kehidupan. Kepayahan yang dihadapi adalah kemanisan dan kebahagiaan di masa hadapan. Alangkah bahagianya mereka yang dapat mengecapi kemanisannya. 

“Pesan Imam al-Ghazali di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam”.

Tunggu apa lagi, jom hijrah!

Friday, 16 October 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 44

Salam Jumaat.


Sesetengah pintu dibuka dengan nombor rahsia.
Sesetengahnya dibuka dengan cop jari.
Adapun pintu langit dibuka dengan doa,
maka ungkapkan sentiasa dan serulah:

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

Thursday, 15 October 2015

Bicara santai: Borak-borak petang tadi

Usai solat asar di surau tempat kerja tadi, saya berbual-bual sebentar dengan sahabat-sahabat sementara menanti waktu pulang. Seronok juga, bermacam-macam topik yang menjadi tajuk perbincangan. Lepas satu, satu, sehinggalah kepada topik bulan Muharram. 

Rupanya ada bangsa tertentu yang beranggapan Muharram ialah bulan sial. Saya pun baru tahu tadi setelah diceritakan dalam perbualan tadi. Akibat kesialan itu, maka tidak diadakan acara perkahwinan, membuat rumah dan sebagainya. Mereka percaya jika dilakukan juga akan mendatangkan sial dan malapetaka kepada mereka. Ada juga acara menghanyut sajian ke laut dan amalan ritual yang pelik-pelik, khusus untuk menghindari bala. Saya katakan kepada mereka bahawa dalam bulan Muharram ada Hari 'Asyura. Puasa pada hari itu mendapat keampunan dosa setahun sebelumnya. Dalam Riwayat Muslim, Nabi saw menyebut puasa paling afdhal selepas puasa fardu Ramadhan ialah puasa sunat bulan Muharram. 

Kalau bulan Safar memang kita sudah biasa dengar dituduh bulan sial atau bulan bala. Bukan setakat di kalangan umat Islam di Nusantara bahkan termasuk orang Arab. Ada pula yang tidak mahu membuat majlis kahwin pada bulan Safar. Mereka percaya jodoh tidak akan berkekalan jika ia dilangsungkan pada bulan itu. Kasihan. Mereka tidak tahu bahawa Nabi berkahwin dengan Sayyidatina Khadijah pada bulan Safar bahkan Nabi mengahwinkan anaknya Sayyidatina Fatimah juga pada bulan Safar. 

Ada pula amalan mandi Safar satu ketika dahulu. Seorang sahabat memberitahu, pernah melihatnya acara tersebut ketika zaman muda-muda dahulu sewaktu menetap di satu daerah di negeri Melaka. Menggeleng-geleng kepala saya mendengar ceritanya, bagaimana cara amalan mandi safar itu dilakukan. Maklumlah saya di antara generasi yang tidak sempat dengan semua itu. Maka kelam gambaran di minda saya memikirkan bagaimana keadaannya. Tetapi saya yakin semua kepercayaan karut-marut tersebut telah pun lenyap apabila para ugamawan bertungkus-lumus memahamkan masyarakat dengan ilmu agama. Alhamdulillah....

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (at-Taubah: 36)

Tuesday, 13 October 2015

Salam Ma`al Hijrah 1437

 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'

Assalamualaikum warahmatullah.

Dikesempatan masa dan usia yang masih berbaki ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1437 kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan. Sejujurnya, sokongan sahabat sekelian amatlah saya dambakan, justeru saya terus bersemangat untuk mencoret sesuatu di pondok kecil ini. 

Pejam dan celik, 
Hari berganti hari, 
Bulan berganti bulan, 
Tahun berganti tahun, 

Kita telah pun berada di 1437H. Semangat dan azam baru untuk meneruskan langkah selaku khalifah di atas muka bumi ini. 

Penuhilah masa yang masih diberikan dengan iman dan taqwa. Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam. Manakala hari esok lebih baik dari hari ini. Demikianlah seterusnya hari-hari yang dilalui. Semoga kedatangan tahun baru ini memberikan seribu kebaikan serta meningkatkan lagi amalan kepada-Nya.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali-Imran: 185). 

Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, sesungguhnya itulah kejayaan yang sebenarnya.

Apakah makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya benar-benar wujud?

Soalan:

Saya pernah mendengar pertengkaran yang hebat di antara seorang yang berpendidikan tinggi dari Barat dengan seorang yang berpendidikan agama, tentang kepercayaan kepada makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Apakah makhluk ini benar-benar wujud. 

Masing-masing menegakkan hujah tanpa ada penyelesaian antara kedua-duanya. Apakah pandangan dan komen ustaz tentang perkara ini? 

Jawapan: 

Persoalan seperti yang saudara kemukakan ini memang sering berlaku kepada masyarakat yang mempunyai latarbelakang kehidupan yang berasaskan kepada kebendaan (material) khasnya pengetahuan dalam sains moden yang segala-galanya merujuk kepada keterangan nyata bahawa sesuatu itu wujud jika dapat dilihat atau dirasa untuk meyakinkan mereka, jika tidak berlakulah penafian yang mutlak. 

Persoalan ini merujuk kepada istilah, sama ada ia hantu, jembalang, toyol atau sebagainya. Saya cuba melihat perkara ini dengan lebih halus, dalam kamus Dewan yang menjadi rujukan kita sebagai contoh makhluk halus dirujuk sebagai hantu, bunian, jembalang, pontianak, langsuyar, pelesit dan sebagainya ruh jahat yang merasuk manusia dengan pelbagai kemudaratan yang menimpa manusia. 

Semua ini adalah istilah-istilah yang terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Bagaimanapun masyarakat lain seperti Arab, mereka menggunakan istilah seperti al-jinn, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam kamus Arab yang terkenal seperti Al-Munjid ada Lisanul Arab, Mukhtar Assahah dan lain-lain menyatakan erti bagi istilah tadi adalah bermaksud, ruh-ruh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi dan menakutkan anak-anak Adam berbagai-bagai cara. 

Kedua-dua kamus Dewan dan Arab ini merujuk kepada istilah yang sama. Nama-nama yang terkenal dalam masyarakat Melayu tersebut sama dengan masyarakat Arab. Iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, ataupun ia hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja. 

Kalau kita lihat kepada al-Quran Karim dan hadis-hadis Nabi Muhammad saw, kita akan menemui istilah yang sama. 

Al-Quran menyebut syaitan atau syayateen, jin atau jinnah, qareen, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam hadis yang sahih kita akan berjumpa dengan istilah Ummu Sibyan, Khinzab, Aamir, Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini sama ada dalam al-Quran dan hadis merujuk kepada wujudnya makhluk-makhluk halus ataupun ruh-ruh jahat yang menganggu manusia dengan berbagai-bagai cara. 

Malah dalam satu ayat Quran, begitu jelas Allah menyebut, misalnya dalam Surah al-Ahqaf, ayat 29, Allah berfirman yang mafhum: "Ketika Kami (Allah) menghadapkan kepada kamu (wahai Muhammad) beberapa jin untuk mendengar al-Quran pada Surah al-Jin." 

Disebutkan juga dalam hadis yang sahih bahawa Rasulullah saw telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran dan hadis Ibnu Abi Hatib, dari Mujahid bahawa Nabi saw pergi bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah. 

Oleh yang demikian memang wujud dan wajib dipercayai ia benar-benar wujud. Pada pandangan saya yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemahannya sahaja, walhal ianya adalah makhluk yang sama. 

Sama ada ia hantu, jembalang, jin tanah, pelesit, bunian dan sebagainya adalah makhluk halus yang wajib dipercayai wujudnya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran. 

Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah. Wallahu a'lam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din