Sahabat Sejati

Sunday, 28 December 2014

Perniagaan ajaib yang tiada risiko kerugian, ayuh! (Peringatan buat diri saya)

 Banjir di LPT Temerloh (sumber: whatsApp)

Hujan itu rahmat,tetapi bila berlebihan ia akan mengundang banjir. Cuaca panas itu rahmat, jika berlebihan ia boleh menjadi kemarau. Angin yang bertiup nyaman itu rahmat, jika berlebihan akan bertukar menjadi puting beliung. Hatta, makanan yang disuap ke dalam mulut pun, jika berlebihan akan mengundang penyakit. Apa sahaja jika ia berlebihan akan mengundang musibah. Sama-sama kita merenungi dan menginsafi diri akan semua yang berlaku. 

Bencana banjir yang berlaku di penutup tahun 2014 ini, benar-benar menguji keimanan. Baik yang ditimpa musibah tersebut ataupun sebaliknya. Bagi yang diuji dengan musibah ini, ianya benar-benar mengukur sejauhmana kesabaran dan ketabahan menghadapinya. Tidak mudah untuk melihat harta benda yang dimiliki musnah serta kehilangan ahli keluarga sekelip mata. Tentunya segenap kekuatan diperlukan untuk menerimanya dengan berlapang dada. 

Manakala bagi yang tidak terkesan dengan musibah banjir ini, ia menguji pula kesediaan untuk sama-sama menghulurkan bantuan menurut kesanggupannya. Harta, tenaga, masa dan sebagainya sangat diperlukan ketika ini. Oleh itu, dalam kita bermuhasabah akan segala musibah dan ujian yang berlaku, janganlah pula kita lupa akan fadhilat dan kebesaran ganjaran membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan. Setiap amal yang dilakukan akan menjadi lampu yang menerangi kegelapan kubur yang menyeramkan itu. 

Jom berniaga yang tiada risiko kerugian 

Firman Allah SWT: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi pedihnya.” (as-Saff: 10) 

Lihatlah. Allah menyeru dan bertanya. Allah SWT tidak menyeru kepada semua orang, tetapi Dia menyeru kepada segolongan sahaja iaitu orang-orang yang beriman. Dia bertanya apakah orang-orang yang beriman ingin melihat satu perniagaan yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Mengapa orang-orang yang beriman. Tentunya orang-orang yang beriman sahaja yang percaya akan adanya azab api neraka yang sangat dahsyat itu. Maka sudah semestinya seruan ini akan disahut oleh orang-orang yang beriman. Oleh itu mahukah kita menyahut seruan yang datangnya daripada Penguasa langit dan bumi? 

Lalu kita tertanya-tanya apakah perniagaan tersebut. 

Allah SWT menyambung lagi firman-Nya: 
“(Iaitu) Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (as-Saff: 11)

Nah! Inilah perniagaannya. Allah menyatakan ‘barang dagangan’ dalam perniagaan tersebut ialah beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul-Nya dan berjuang dengan harta dan diri.

Imam Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Jihad atau berjuang dengan harta dan diri yang dinyatakan dalam ayat 11 surah as-Saff bukanlah terikat kepada jihad peperangan sahaja. bahkan ia mencakupi seluruh perjuangan dalam kehidupan.”

Imam ar-Razi pula menulis di dalam tafsirnya: “Perniagaan adalah pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang daripada pertukaran itu mengharapkan keuntungan. Berniaga hendaklah melepaskan si saudagar daripada kerugian dan berniaga memerlukan kesabaran, maka perniagaan yang ditunjukkan oleh Tuhan ini sangat memerlukan kepercayaan dengan seluruh sikap hidup dan ucapan dengan lidah. 

Sebagaimana perniagaan yang mengakibatkan untung atau rugi, demikianlah pula perniagaan dengan Tuhan ini, barangsiapa yang bermodal dengan iman dan amal yang soleh dia pasti mendapat ganjaran dan laba yang berlipatkali ganda. Dan barangsiapa yang tidak mahu percaya dan tidak pula beramal soleh, jelaslah dia akan menyesal dan mendapat kerugian yang besar.”

Sanggupkah kita mengeluarkan harta benda dan meluangkan masa kita semata-mata mahu menggapai redha Allah dan termasuk orang-orang yang ‘berniaga’ dengan Allah? Kita sendiri mempunyai jawapannya. Tepuk dada tanya iman.

Susah? Sukar?

Tentunya. Sebab itulah Allah menyeru hanya kepada orang-orang yang beriman. Kerana sukarnya lalu Allah SWT mengganjarkan sebaik-baik keuntungan kepada sesiapa yang mahu menyahut seruan itu. Apakah yang diperolehi kepada yang menyahutnya?

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya:
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” (as-Saff: 12)

Demikianlah ganjarannya. Itulah kemenangan yang agung dan besar. Allah akan mengampunkan dosa-dosa. Kemudian dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan serta dijauhkan daripada azab neraka yang pedih (lihat as-Saff: 10).

Apakah yang lebih bernilai selain daripada keampunan daripada Allah SWT. Tentunya kita tidak akan dapat menilai akan harganya. Setiap daripada kita sangat mendambakan keampunan Allah. Demikianlah yang sentiasa kita panjatkan di dalam doa yang terlafaz. Pengampunan dosa bererti mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Pengampunan dosa juga memberi erti berjaya memasuki syurga Allah SWT.

Belum habis lagi keberuntungan tersebut, kerana ia adalah kejayaan di akhirat. Allah SWT memberitahu pula akan ganjaran yang diperolehi daripada laba dunia iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang yang telah dekat.

Firman Allah SWT:
“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Peniagaan ini sangat sukar tetapi mahal harganya. Apakah kita mahu menyambutnya. Bukankah perniagaan ini tiada risiko kerugian. Semuanya keuntungan sahaja. Sekali lagi ditegaskan semuanya keuntungan. Marilah kita menyahutnya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Ada yang mahu ‘berniaga’ dengan Allah?

Hanya yang beriman sahaja mampu menyambut pelawaan ini.

“..Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Ayuh teman-teman. Ringankan tangan, hulurkanlah sumbangan kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir. Hadirkan senyuman di setiap wajah mereka, Allah pasti menghadirkan senyuman kepada kita pula suatu hari nanti. 









4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Buka minda, didik iman yg ada utk mampu berniaga dgn Allah. Semua sudah di depan mata dan dimana-mana kini sudah diberikan peluang utk sama-sama 'berniaga' apa nak ditunggu lagi. Peluang mencari 'cahaya' ada kini. Moga apa yg kita berikan dpt membantu. Tempat kakak tapi katanya hanya akan dihantar ke pantai timur pada 31-12-2014 walaupun semua barang dah baaaaanyak kakak tengok.

Moga dipermudahkan 'perniagaan' ini menuju ke destinasi yg kami harapkan. Sedihlah AI...

paridah said...

assalam sejuk hati membaca artikel ini....mulakanlh perniagaan dgn Allah insyaAllah hnya untung yg diperolehi....

abuikhwan said...

kakzakie:
tidak mudah kerana semuanya atas dasar iman. jika balasannya nampak mungkin orang akan berlumba-lumba untuk membuat perniagaan ini...

abuikhwan said...

kak paridah:
perniagaan yang tiada risiko kerugian....

Post a Comment