Sahabat Sejati

Wednesday, 31 December 2014

Bicara santai: 2014......Selamat datang 2015


Setiap dari kita mengimpikan dan mahu mendakap kecemerlangan dalam hidup. Walau siapa pun dia, peringkat mana sekalipun, sekiranya mempunyai akal yang waras pasti mempunyai cita-cita ke arah itu. Tinggal lagi bagaimana dan tahap kesungguhan untuk mencapainya. 

Beberapa jam lagi jendela 2014 akan melabuhkan tirainya. Selepas itu kita akan menyelak jendela 2015 yang akan dicoretkan dengan catatan baru. Tentunya 2014 yang ditinggalkan sarat dengan 1001 peristiwa suka duka yang menjadi kenang-kenangan. Tahun baru semestinya sinonim dengan azam baru. Masuk sahaja tahun baru, maka kedengaranlah daripada bibir-bibir empunya azam. Salah? Tidak. Lagipun setiap orang berazam dengan azam yang baik. Tidak pernah kedengaran lagi ada yang berazam dengan azam yang ‘entah apa-apa’. Jika ada tentu orang tersebut “mabuk pil kuda”, pinjam kata-kata Ustaz Azhar Idrus. 

Azam memberi maksud kemahuan dan keinginan. Saya menambah satu lagi, azam juga boleh bermaksud dengan niat. Maka niat yang baik akan memperolehi pahala. 

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah saw bersabda: 
“Sesiapa yang berniat untuk berbuat kebaikan tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya 1 kebaikan (pahala) yang sempurna, jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan boleh lebih banyak lagi. Sesiapa yang berniat untuk berbuat kejahatan tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya 1 kebaikan yang sempurna, jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan 1 keburukan (dosa) untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Saya memuji orang yang sentiasa berazam setiap tahun. Bagi saya ia mempunyai kemahuan untuk menjadi orang yang lebih baik. Cuma sebaiknya azam dilafazkan hendaklah diletakkan target untuk mencapainya. Taklah jadi macam azam hangat-hangat tahi ayam! 

Hmm, khabarnya sambutan tahun baru 2015 dibatalkan untuk menghormati musibah yang menimpa mangsa banjir. Tentunya ia satu keputusan yang tepat dan menunjukkan tanda keprihatinan yang amat tinggi. Lagipun apalah faedahnya sambutan tahun baru tersebut. Konsert, pergaulan bebas, selepas itu... Sama sahaja apa yang berlaku setiap tahun. Saya menulis berdasarkan pengalaman. Setiap tahun saya menyertai misi dakwah samada malam tahun baru, malam merdeka, hari kekasih dan sebagainya. Begitulah pemandangannya. 

Dengar ceritanya pula ia akan digantikan dengan program Malam Cinta Rasul 2015 yang terisi di dalamnya zikir dan munajat, qasidah munajat, kutipan tabung bantuan mangsa banjir dan sebagainya. Jika ditanya, saya beranggapan program Malam Cinta Rasul 2015 pun tidak perlu diadakan buat masa ini.  Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang saya katakan ini. Sabar dulu!

Saya tidak maksudkan tidak boleh buat tetapi biarlah dibuat pada masa dan keadaan yang lain. Untuk menganjurkannya pun memerlukan kos yang agak besar, maka lebih baik kos tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir yang sangat menderita ketika ini. Sahabat-sahabat boleh melihatnya di internet. Sedih dan sebak. 

Jika keadaan sudah stabil dan sesuai maka buatlah program tersebut. Tiada apa-apa masalah. Oh, itu hanya pandangan saya sahaja. Jangan kata saya wahabi pula. Senyum.

Selamat menyambut 2015. Semoga hari ini lebih daripada semalam.

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Setiap kita mampunyai azam utk menjadi lebih baik bukan saja ketika tahun bertukar bahkan setiap detik dan masa. Moga 2015 iman dan taqwa kita bertambah kukuh. Ketatkan mana yg longgar. istiqamah mencari kebaikan..

Moga terus mendapat kebaikan di hari-hari yg mendatang buat kita semua.

paridah said...

ASSALAM...SELAMAT TAHUN BARU 2015...BAGI YG SUKA BERAZAM TERUSKANLH NIAT DGN BERSUNGGUH-SUNGGUH DEMI KEBAIKAN...PASTI TERCAPAI...SEGALA PESTA-PESTAAN YG MEMBAZIR ELAKKANLH KERNA DANA YG BESAR DIPERLUKAN SEKIRANYA NEGARA DITIMPA MUSIBAH YG XTERJANGKA SPT KINI..

abuikhwan said...

Kakzakie:
semoga 2015 menjadi medan terbaik untuk kita membuat perubahan..insyaAllah

abuikhwan said...

Kak paridah:
Betul tu. setuju sangat-sangat!

Post a Comment