Tup!
Alamak bekalan elektrik terputus pula malam-malam begini. Tengah ‘syok’ menonton kuliah agama di youtube, masa inilah pula ia buat hal. Sementelah lagi bateri laptop saya telah pun lama 'kong'. Mahu tidak mahu terpaksalah tawaquf dulu menontonnya. Harap-harap tidak lama, bolehlah saya sambung kembali. Atau janganlah sampai pagi esok baru ada semula bekalan letrik. Kalau tidak sampai ke pagilah saya tidur di luar. Sebabnya..
Saya bergegas mencari lampu suluh. Anak-anak pula mencari lilin untuk dinyalakan. Memang saya sentiasa menyimpan beberapa kotak lilin untuk menghadapi saat-saat begini. Tetapi aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan, sudah banyak kes kebakaran yang melibatkan api lilin. Mohon dijauhkan, Allahu al-musta`an.
Sebenarnya bukan masalah saya tidak dapat menggunakan laptop, walaupun ada juga sedikit ‘bengang’. Tetapi apabila bekalan elektrik terputus, bukan setakat lampu yang terpadam bahkan kipas angin juga tidak berfungsi. Tinggal di rumah batu faham-fahamlah, panasnya bukan main jika tiada kipas. Berpeluh lencun jawabnya. Sebab itulah saya memilih untuk tidur di luar setiap kali ‘tiada api’. Maksud di luar ialah di atas sofa di ruang anjung.
Tetapi seronok juga apabila tiada letrik, bolehlah sembang-menyembang dengan jiran sebelah-menyebelah di depan pintu pagar, sambil melayan angin luar yang bertiup.
Teringat ketika zaman budak-budak dahulu. Terputus bekalan elektrik menjadi suatu yang menyeronokkan. Yalah bukannya mudah jika saja-saja mahu duduk bergelap melainkan apabila terputus bekalan elektrik. Istilah bahasa orang kampung saya ‘tiada api’. Apa yang saya perasan, tatkala 'tiada api' bagaikan serentak jeritan berkumandang, WHOOO...!!! Saya rasa bukan setakat tiga empat buah rumah, malah di setiap rumah dalam kampung bergema jeritan tersebut. Bukannya budak-budak sahaja yang menjerit, malah yang dewasa pun sama.
Bagaikan masih tergambar di ruang mata suasana tersebut. Tersenyum sendirian saya mengingatkannya.
Sambil-sambil menanti bekalan eletrik disambung semula, bermacam-macam ‘kerja’ yang dilakukan. Biasanya ayah dan abang duduk berkumpul di beranda sambil berborak kosong ditemani cahaya pelita atau lilin. Yalah, lemas dan rimas duduk bergelap di dalam rumah. Manakala emak dan kakak saya meneruskan kembali kerja di dapur yang tergendala sebentar berbekalkan cahaya api pelita.
Selalu saya melihat, semacam kebiasaan pula jika tiada letrik, ada dua tiga orang jiran berhampiran datang bertandang menumpang berborak di beranda. Sementelah lagi rumah arwah ayah memiliki beranda yang agak luas. Saya pun tumpang sekaki mendengar orang tua bercerita. Seronok. Malah lebih seronok lagi rakan-rakan saya turut datang menuruti orang tua mereka. Mulalah kami mencipta permainan sendiri halaman rumah.
Saya teringat, adakalanya saya bermain bayang-bayang dengan cahaya lilin atau pelita. Membuat bayang-bayang objek yang terpantul melalui cahaya tersebut. Seronok. Bermacam objek yang dihasilkan. Pernah suatu hari kakak saya melarang berbuat demikian. Katanya nanti disorok oleh bayang-bayang. Menggaru-garu kepala mendengarnya .Tidak terfikir dek akal saya ketika itu bagaimana pula disorok oleh bayang-bayang, tetapi cerita itu memang sudah berapa kali saya mendengarnya melalui orang tua-tua serta sahabat yang lain.
“Seorang budak yang bermain dengan bayang-bayangnya, tiba-tiba hilang begitu sahaja. seluruh ahli keluarganya kelam-kabut dengan kehilangannya. Yang peliknya, dia boleh mendengar suara dan melihat ahli keluarga yang sedang mencarinya, tetapi keluarganya pula sebaliknya. Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa. Bagaikan ada tembok ghaib di hadapan yang menghalang. Akhirnya dengan bantuan orang kampung dia ditemui semula sedang bersandar di tepi dinding rumahnya dalam keadaan terpinga-pinga.” Demikianlah versi yang pernah saya dengar.
Wallahua`lam, saya tidak pasti samada cerita tersebut benar atau pun tidak. Tetapi pada masa itu memang betul-betul percaya. Naik takut pula saya mendengarnya. Phew, nasib baik kakak cepat memberitahu, kalau tidak mungkin saya pula yang akan disorok oleh bayang-bayang sendiri. (..??)
Bekalan letrik masih lagi tiada. Saya masih lagi berkipas di luar. Anak-anak pula asyik bermain bayang-bayang yang terpantul daripada cahaya lilin. Hmm, biarkanlah. Saya cuma memerhatikan sahaja sambil mengimbau kenangan yang sama. Insya-Allah, tak disoroknya oleh bayang-bayang sendiri, getus hati kecil. Saya tidak mahu terlalu berpegang dengannya biar pun mungkin ada juga sedikit kebenarannya, mungkin.
Biarkanlah..
1 comments:
ASSALAM...KITA SESEKALI SAJA BERGELAP DITEMANI LILIN PUN SUDAH BERKIPAS KEPANASAN N KEGELAPAN BGITU GELITA ZAMAN ATOK DULU KEGELAPAN MALAM HANYA DITERANGI CAHAYA PELITA ADALAH LUMRAH..
Post a Comment