Sahabat Sejati

Thursday, 7 August 2014

Kenangan masih basah: Cerita tapai pulut

'Tapai pulut di sebuah kedai makan di bandar Kuantan'

Tapai pulut sinonim dengan hari raya. Saya tidak terfikir ada sahabat-sahabat yang tidak kenal dengannya. Ia adalah juadah turun temurun. Bahan utama membuat tapai pulut sudah semestinya pulut yang dikukus, kemudian digaul dengan ragi. Setelah itu dibungkus pula dengan daun getah sebelum diperam. Selang dua hari kita sudah boleh menikmati keenakkannya. Kalau dulu saya beranggapan daun getah sahaja yang boleh digunakan untuk membungkus tapai. Ternyata anggapan itu silap.

Pernah kira-kira 2 dekad yang lalu, saya bersama 3 lagi rakan menghadiri majlis perkahwinan abang kepada sahabat saya di felda Sungai Kemahal, Triang. Kami ke sana awal sehari dari hari kenduri, maklumlah jauh. Lagipun bolehlah menolong apa-apa yang patut. Perjalanan dengan menaiki bas ekspres dari Kuantan ke Temerloh, kemudian meneruskan perjalanan dengan bas runcit dari bandar Temerloh ke felda Sungai Kemahal. Zaman baru habis sekolah menengah, motosikal pun tidak mampu dimiliki lagi, kereta jauh sekali. Namun, kerana hati ingin bertemu sahabat, bersalin bas pun sanggup.

'Kunjungan kali kedua setelah lebih dua dekad berlalu'

Teringat azimat sang murabbi di dalam satu kursus motivasi, “Apakah alat komunikasi yang paling canggih?” Ada yang menjawab smartphone, ipad, skype, satelit dan sebagainya. Sambung sang murabbi lagi, “Alat komunikasi yang paling canggih adalah hati.”

Hati? Mengapa hati, apa kaitannya dengan alat komunikasi?

“Sebabnya jika hati tidak mahu bertemu, walau secanggih mana pun henfon, nescaya tidak akan dijawab biar berkali-kali ia berdering. Tetapi jika hati ingin bertemu, bersalin bas tiga kali kemudian bersambung menapak kaki pun sanggup pergi.” Dia menyudahkan ayatnya.

Memang ada benarnya, itulah kuasa hati yang sukar dimengertikan. Tersenyum saya mendengar perumpamaan ini.

Selebihnya pula kami ingin berjalan melihat tempat orang, bak kata pepatah, “jauh perjalanan luas pandangan dan menambah pengalaman.”

Tapai bukan nasi dagang


Ketika mahu menikmati sarapan pagi di rumah sahabat saya itu, terliur pula melihat nasi dagang yang dibungkus rapi dengan daun pisang. Hmm, bolehlah merasa nasi dagang orang Pahang. Mungkin berlainan rasa dengan nasi dagang negeri Terengganu, saya mengagak. Tetapi yang membuatkan saya teruja ialah tatkala melihat saiz nasi dagang tersebut, tentu kenyang perut dek kerana besar bungkusnya. Dengan bersemangat saya mencapai nasi dagang tersebut lalu membuka bungkusannya, alangkah terperanjatnya setelah melihat isi di dalam.

“Kenapa letak semula?” Tegur sahabat saya di sebelah.

“Ingatkan nasi dagang, rupanya tapai. Besar pula tu,” jawab saya sambil tersenyum.

Sebenarnya bungkusan daun pisang yang disangka nasi dagang itu adalah tapai pulut. Terpaksalah saya membungkus dan meletaknya kembali ke tempat asal kerana saya memang tidak berapa gemar memakan tapai, kalau makan pun dalam sebiji dua sahaja. Lagipun ‘gerun’ melihat saiznya, cukup dengan sebungkus sahaja sudah tentu kenyang. Ekoran peristiwa tersebut, barulah saya tahu tapai juga dibungkus dengan daun pisang, sementelah lagi di tempat sahabat saya itu agak sukar untuk mendapatkan daun getah, sebab itu digunakan daun pisang. Biasalah felda, kelapa sawit banyaklah sayup mata memandang. Itu cerita 2 dekad yang lalu.

Hari ini, setelah menggodek-godek ‘profesor google’,rupa-rupanya selain daun getah dan daun pisang, daun rambai, daun jambu laut, daun jambu air, daun keladi, dan daun koko turut digunakan untuk tujuan yang sama. Malahan diperam menggunakan bekas polistrin pun sudah ada sekarang. Cukup canggih. Tetapi bagi saya, tapai yang dibungkus menggunakan daun getah juga yang sangat sesuai dengan aroma baunya yang klasik dan tersendiri. Sekadar ambil bau sahaja, makannya tidak seberapa. Setakat sebiji dua bolehlah.

Boleh dikatakan juadah tradisi ini boleh didapati di mana-mana apabila tiba hari raya. Kalau di kampung-kampung, lazimnya setiap rumah ada menghidangkan tapai. Namun, sekarang tapai pulut sudah tidak menentu keberadaannya. Ini kerana ia boleh didapati sepanjang tahun tanpa perlu menunggu tibanya hari raya. Sudah banyak tumbuh perusahaan tapai pulut di merata tempat sebagai salah satu produk makanan harian. Memang menguntungkan kerana masih kurang persaingan sedangkan permintaan dari orang ramai agak menggalakkan.

Dahulu ketika emak saya masih ada, dia pasti akan membuat tapai tatkala tiba hari raya. Samada untuk makan sendiri atau tempahan daripada orang lain. Kadang-kadang bagaikan tidak menang tangan kerana banyaknya tempahan yang diterima. Saya akui tapai buatan emak antara yang enak di kampung. Bukan sengaja memuji, tetapi itulah ceritanya. Kalau tidak takkan saban tahun ada sahaja yang menempahnya. Biasanya empat hari sebelum menjelang aidifitri, emak mula sibuk menyiapkan tempahan tapai. Bermula dengan mengukus pulut, menggaul dengan ragi, kemudian membungkusnya.

Kasihan juga melihat emak yang termengah kepenatan. Lebih-lebih lagi dengan penyakit lelah yang dihidapi sejak turun-temurun. Hendak buat macamana, yang menempah pun bukannya orang lain. Saudara-mara, jiran-jiran sekampung serta kawan-kawan kakak dan abang. Hendak ditolak tidak sampai hati. Mujurlah kakak-kakak turut sama membantu. Manakala saya dan abang pula ditugaskan untuk mencari daun getah. Tidak susah kerana di hujung kampung banyak kedapatan pokok getah yang tumbuh meliar. Kalau habis daun getah, kami akan mendapatkan pula daun jambu laut yang tumbuh berderet di sepanjang pantai.

Saya pernah terbaca di dalam satu blog yang mengatakan untuk membuat tapai ini banyak pantang-larang yang perlu dipatuhi. Di antaranya, masa membuat tapai tidak boleh dalam keadaan period (untuk perempuan), nanti tapai rasa masam. Tidak boleh buat tapai dekat dengan benda-benda yang berwarna merah, nanti tapai menjadi warna merah juga. Aduii.. berat ni. Ada pula yang berkata jika mahu buat tapai, tak boleh kecoh-kecoh. Kena senyap-senyap, tidak boleh orang tahu. Kalau tidak tapai akan jadi masam. Teruklah kalau macam tu, macamana hendak berniaga tapai. Ada juga yang berkata tidak boleh peram guna bekas besi, aluminium. Kena guna daun-daun atau plastik.

Hmm, banyak betul pantang-larang hendak buat tapai ni. Banyak yang tidak boleh. Betul ke? Entahlah, saya lihat masa emak membuatnya dahulu tak ada pun pantang-larang seperti itu. Elok sahaja tapai tersebut. Tak ada pula yang masam. Cuma yang saya lihat pantang-larang utama yang emak sentiasa titikberatkan ialah kebersihan. Emak amat menjaga kebersihan ketika membuat tapai. Termasuk bekas-bekas, daun untuk membungkus serta perkakas-perkakas yang lain, terutama melibatkan tempahan orang. Yalah, benda yang akan masuk ke dalam perut takkan nak berlebih kurang pula mengenai kebersihan.

Hari ini...

'Pusara bonda'

Ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan. Segala perancangan-Nya adalah perancangan yang hakiki. Emak saya telah pun tiada. Tanggal 20 Syawal 1432H adalah tarikh pemergiannya. Hilang sudah celoteh suaranya yang bercerita itu dan ini semasa membungkus tapai. Abang sulong yang dulu sama-sama mencari daun getah, juga sudah tiada. Dia terlebih dahulu berkelana ke pangkuan Ilahi pada tarikh 21 Zulqaedah 1426, setelah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya.

Tentunya kedua-dua tarikh tersebut menjadi kenang-kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Ia tersimpan kemas di dalam lipatan memori sambil sesekali menerjah keluar di ruangan mata. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati mereka. Al-Fatihah..

4 comments:

paridah said...

sebak membaca kenangan adik bersama ibu n tapainya menjelang syawal...alfatehah...

abuikhwan said...

Terima kasih kak di atas kunjungan...mudah-mudahan bermanfaat.

Kakzakie Purvit said...

Al-fatihah buat yg telah pergi, moga mereka ditempatkan bersama kalangan mereka yg beriman - Amin

Kita yg masih diberi peluang utk meneruskan kehidupan disamping mencari bekalan di sana mana yg mampu meneruskan legasi keluarga teruskan. Seperti tapai ini tak ramai yg pandai buat termasuklah kakak ni. Tapai ubi kakak pandai, tapi pulut tak pernah buat dan kakak agak kurang berminat dek manisnya itu. Tapi hubby kakak suka hihi...

Terima kasih singgah blog kakak:)

abuikhwan said...

Amiin...
terima kasih atas persinggahan ke pondok kecil abuikhwan yg tidak seberapa ini...mudah-mudahan ada kebaikan yg boleh diambil...

Post a Comment