Sahabat Sejati

Thursday, 15 August 2013

Bersediakah? Cerita Syawal...

Hari ini sudah pun melewati hari yang ke 8 bulan Syawal. Kehidupan sudah pun berjalan seperti biasa. Yang bekerja sudah pun mula bekerja. Budak-budak juga sudah tidak berjalan beraya dari rumah ke rumah. Saya juga sudah beberapa memulakan tugas di pejabat. Pendekata, mood raya sudah beransur hilang sedikit demi sedikit, kecuali beberapa jemputan rumah terbuka yang diterima.

Syawal ini, saya menerima dua berita pemergian dua orang yang dikenali. Pertama, pemergian anak sulong jiran saya akibat kemalangan. Diceritakan Allahyarham yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar paip JBA di kiri jalan sebelum tercampak ke dalam parit dan meninggal di tempat kejadian. Usianya masih muda, kira-kira 15 tahun. Allahyarham mempunyai ramai kawan kerana sifatya yang sentiasa ceria dan senang bergurau.

'Allahyarham (dalam bulatan) pernah mengikuti kem ibadat yang kami anjurkan suatu masa dahulu'

Allahyarham pernah mengikuti perkhemahan kem ibadat yang saya dan rakan-rakan anjurkan tidak lama dulu.

Keduanya, saya dimakumkan oleh adik sahabat sekampung saya yang abangnya telah meninggal dunia. Asalnya saya sedang menungu-nunggu muazzin melaungkan iqamah untuk memulakan sembahyang maghrib. Tiba-tiba bahu saya disentuh dari belakang.

“Abang Aidi saya dah tiada,” katanya perlahan. “Meninggal pukul 6 tadi.” Sambungnya lagi.

“Innalillah... Apa sakitnya?” Saya meminta penjelasan.

“Rebah di luar rumah kawannya sewaktu beraya, selepas itu bawa ke hospital dan disahkan telah meninggal. Sekarang jenazahnya masih di hospital untuk bedah siasat, esok baru nak ‘disimpan’.” Ujar beliau lagi.

Kami bersahabat baik sewaktu di kampung dahulu dan selalu bersama menyertai kem-kem motivasi anjuran Persatuan Belia sehingga peringkat negeri. Selepas saya berkahwin dan berpindah ke luar kami terputus hubungan dan hanya sesekali bertemu setiap kali saya pulang ke kampung. Namun setiap kali bertemu kami masih mesra bertegur sapa seperti dulu-dulu.

Perbualan itu terhenti apabila muazzin melaungkan iqamah.

Kedua-dua peristiwa itu berlaku pada 12 Ogos iaitu pada hari raya ke 5.

Bersediakah?


“...setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. (Kemudian) hanyalah kepada Kami kamu akan dikembalikan.” (al-Ankabut: 57) 

Kehidupan dan kematian menjadi bukti bahawa adanya Allah SWT selaku Pencipta yang Maha berkuasa. Apabila tiba masa yang dijanjikan maka keluarlah roh daripada jasad. Kaya atau miskin, tua atau muda, sihat atau sakit pasti akan menemui kematian. Tiada seorang pun dapat mengelakkannya. Walau dirayu dan dirintih hanyalah satu perbuatan yang sia-sia. Berani mati akan mati, takut mati juga akan mati.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)."  (al-Jumuah: 8)

Oleh itu, tugas kita sebagai hamba Allah ialah mempersiapkan seberapa banyak amalan yang akan dibawa ke sana. Benar, modal yang dapat dibawa ketika mati, hanyalah kredit amal soleh sahaja ketika hidup di dunia. Setiap kesalahan dosa yang dilakukan dalam penghidupan ini, hanya boleh ditebus selagi diberi kesempatan iaitu selama roh masih di dalam jasad. Namun, setelah tamat masa yang diberi, maka tiadalah peluang kedua atau ketiga. Oleh itu, rebutlah peluang pertama yang masih ada ini.

Seandainya kita berjaya merebut peluang yang pertama ini, bererti akan dianugerahkan tempat yang mulia iaitu syurga yang abadi. Begitu juga jika gagal, bererti ia akan sesal dengan sesal yang tiada kesudahan.

Maka, buatlah persediaan untuk menuju negeri abadi itu.

Bersediakah?

*Tiada ungkapan yang sebaiknya untuk dilafazkan melainkan sekalung doa dalam munajat agar Allah SWT mengurniakan keampunan kepada mereka yang telah pergi. Mudah-mudahan segala amal kebaikannya menjadi peneman dalam kembara pergi tak kembali itu. Saya juga mengharapkan agar Allah SWT mengurniakan segunung ketabahan dan kekuatan jiwa buat kedua keluarga mereka atas ujian yang dihadapi ini.

4 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam sahabat..al-fatihah untuk kedua-dua arwah.kita yang masih hidup ini tak tau bagaimana cara pengakhiran kita nanti.sekarang nyawa ibarat di tangan penjenayah,nyawa semakin mudah melayang di atas jalanraya,penyakit moden pun semakin banyak....


malam ni tiba2 kusut fikiran,mungkin syaitan datang menghasut.maka al-quran jadi penguat iman :)

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, AbuIkhwan...

"Berani mati akan mati, takut mati juga akan mati"

Innalillahi wa inna ilahi raaji'uun.
Semoga Allah mengampuni dan memuliakan kedua-dua insan ini di sisi-NYA.

Sungguh kematian yang berlaku di sekeliling kita dalam bulan Ramadhan dan Syawal ini amat menyentuh nurani hati. Jika mereka sudah dipanggil dahulu, bilakan tibanya giliran kita untuk menyusul sama ?

Bersediakah kita untuk dipanggil kembali pada-NYA sedangkan kita tahu, maut itu datang bila-bila masa. Amat rugi menangguh amalan baik di dunia dengan baki umur yang belum tentu panjang berjela.

Berbuat baik jangan ditangguh nanti akan menyesal kerana bekalau tidak kukuh dan penuh untuk dibawa bekal.

Subhanallah walhamdulillah, jika baki umur ini masih diperingatkan dengan pesan kematian dan kesakitan setiap hari. Semoga kita akan menginsafinya sebelum tiba waktu kita pula.

Terima kasih AbuIkhwan untuk posting yang sangat mencerah dan mengesankan ini. Mudahan menjadi bahagian dari ganjaran yang menjadi muatan ke akhirat. Aamiin.

Salam Seindah Syawal dari Sarikei, Sarawak. :D

SITI FATIMAH AHMAD

abuikhwan said...

Salam sahabat, betul tu la ni mcm2 perlakuan jenayah sehingga mengundang kematian. Apa pun kita perlu membuat persiapan agar kematian itu di dalam husnul khatimah.

Mudah2an kita sentiasa diberikan kebaikan dan istiqamah dalam melakukan kebaikan. I-Allah...

abuikhwan said...

Terima kasih umi atas kunjungan dan komentar yang amat bermakna itu.

Benar, selagi ada nikmat usia selagi itulah kita akan terus beramal. Namun jika nikmat ini kita sia-siakan kitalah yang akan rugi. Maka persiapkanlah dengan sebanyaknya kerana jalan adalah bahagia atau binasa.

Kita sendiri membuat pilihan!

Post a Comment