Sahabat Sejati

Sunday, 2 June 2013

Tiada titik noktah padanya


Hari ini saya tidak ke mana-mana kerana tiada program yang perlu dihadiri. Alhamdulillah bolehlah saya menghabiskan lebih masa bersama keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak semuanya ada bersama balik dari asrama.

Kebiasaannya hujung minggu di antara hari yang agak sibuk dengan program-program kebajikan. Jarang saya berada di rumah, kadang-kadang sehingga ke luar kawasan. Namun kesibukan pada hujung minggu bukanlah sesuatu yang mahu saya rungutkan, sebaliknya kerja-kerja kebajikan yang dilakukan adalah seumpama menyemai benih, yang hasil tuaiannya akan dinikmati pada ‘esok’nya. Sentiasa saya menggenggam kemas ingatan ini di dalam hati.

Lama saya termenung melihat deretan buku-buku di dalam almari. Buku-buku ini banyak nostalgianya. Sebahagiannya ada yang saya gunakan sewaktu zaman belajar dahulu. Padanya ada bau. Bukan bau harum tetapi bau rindu, padanya juga ada bau hiba yang seringkali singgah di perasaan.

Ingin rasanya saya meminta: “Ya Allah, betapa indahnya kenangan lalu. Janganlah diputarkan masa agar masa lalu tidak berlalu.”

Namun, masa tetap berjalan dan berjalan. Hanya kenangan sahaja yang masih segar seperti dahulu.

Lalu saya memunggahnya kembali untuk membersihkan habuk-habuk yang terlekat. Sambil membersihkannya saya membelek-membelek helaian-helaian beberapa buku. Tersenyum saya tatkala tersua nota-nota kusam dengan sedikit contengan, meredakan kepeningan barangkali ketika bergulat di medan tempur menadah ilmu. Teringat firman Allah SWT:

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka dapat berjaga-jaga.” (al-Taubah: 122) 

Dalam ayat ini Allah SWT menggunakan kalimah nafara kepada para penuntut ilmu, kalimah yang biasanya digunakan dalam mengungkapkan soal berjihad perang di jalan Allah. Tentunya Allah SWT menggunakan kalimah nafara ini perlu di fikir dengan sebaiknya. Sesungguhnya Allah SWT mahu kita melihat bahawa menuntut ilmu amat memerlukan perancangan dan persediaan yang serapinya, sama seperti dengan keluar ke medan perang.

Sungguh besar makna ungkapan kalimah nafara yang Allah SWT gunakan. Menuntut ilmu seumpama keluar berjihad di medan perang. Itulah yang perlu kita semua renungkan.

Daripada Anas ra katanya, Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang keluar menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehingga dia kembali.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis di atas juga menjelaskan bahawa menuntut ilmu agama sama dari segi kedudukannya dengan berjihad di jalan Allah. Ini dikira sama kerana tujuannya adalah sama iaitu memelihara agama Islam dan sentiasa memastikannya berada di tempat yang tinggi. Dan tujuannya yang pasti ialah niat kerana Allah SWT semata-mata.

Tiada titik noktah

Proses menuntut ilmu tiada titik noktahnya, ia sentiasa berlanjutan sehinggalah kita mengadap Allah SWT. Menuntut ilmu terbahagi kepada secara formal seperti sekolah, kolej atau universiti, manakala mendengar kuliah ceramah, tazkirah dan sebagainya juga adalah proses menuntut ilmu tetapi secara tidak formal.

Tidak benar jika kita mengatakan setelah habis sekolah lalu bekerja maka proses belajar telah pun tamat. Tidak! Bahkan kehidupan yang kita tempohi juga adalah satu proses pembelajaran secara tidak langsung. Kita belajar daripada pengalaman yang dilalui sehingga disebut “Pengalaman adalah guru yang terbaik.”

Sesungguhnya setiap apa yang saya lalui di zaman belajar dahulu adalah nikmat Allah yang indah dan besar hikmahnya. Ada di antaranya dipenuhi tanda tanya. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh para hamba-Nya. Pengalaman dan pengajarannya begitu halus dan dan baru kini saya mengerti sedikit demi sedikit apa yang tersirat disebaliknya.

Firman Allah SWT: "

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Luqman: 27)

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam sahabat,wah kalau saya ada buku sebanyak tu,tak tengok tv pun sanggup.leka di dunia sendiri :)

abuikhwan said...

betul tu, sekarang ni pun asyik leka je he3

Post a Comment