Sahabat Sejati

Thursday, 27 December 2012

23.12.2012, telah tercatat di Lauh Mahfuz


Apa yang mahu dicoretkan pada waktu-waktu begini.

Bagaikan ada sesuatu yang berkocak menyimbah di fikiran.

Buntu...

Keliru...

Sebak...

Semuanya diuli sebati dalam satu perasaan. Bagaimana mahu saya jelaskan perasaan itu, entahlah saya sendiri tidak tahu. Tetapi ianya membuak-buak di dalam seumpama mahu menghambur keluar.

Angin dingin musim tengkujuh bertiup lembut. Pemandangan bulan Disember dengan awan yang sentiasa kelam dan suram.

23.12.2012, 5.00 petang

Hujan masih menyimbah di luar saat saya menikmati minum petang bersama keluarga. Rintik-rintik kasar yang menerjah ke bumi di musim tengkujuh menaikkan selera makan. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, hujan bagaikan satu pesta bagi kami.

Saya suka melihat hujan, nyaman dan mengundang nostalgia.

Tiitt...tiitt...

Tiba-tiba lamunan saya terhenti dikejutkan oleh deringan telefon bimbit. Saya dengan bermalas-malasan menyambut panggilan tersebut. Rupa-rupanya panggilan daripada sahabat saya, Aliff.

“Assalamualaikum, ini saya nak bagitahu harap bersabar.” Suaranya agak serius. Saya tidak sedap hati, menunggu patah-patah bicaranya.

“Sahabat kita Mie kemalangan di Pekan...dia meninggal.” Sambungnya lagi. Ada getar di hujung suara.

“Allah...ye ke?” Saya tersentak, seolah-olah ada sesuatu yang menghempap ke dada. Antara percaya dan tidak, terlalu mengejutkan.

“Innalillah...”

“Macamana kemalangan tu terjadi?” Saya menguatkan diri untuk bertanya.

Suasana senyap seketika.

“Entahlah, saya pun tak pasti, belum dapat apa-apa maklumat. Saya nak ke Hospital Pekan sekejap lagi, nak ikut ke? Kalau nak ikut saya datang ambil.” Tanya Aliff lagi.

“Baiklah, saya tunggu dirumah.” Saya menjawab perlahan.

Setengah jam kemudian Aliff pun sampai, kami berdua bergerak menuju ke rumah seorang lagi rakan yang juga kenalan kepada Allahyarham, Cheong. Rumahnya di bandar Kuantan. Setibanya di sana kami mendapat panggilan dari sahabat yang berada di Pekan memaklumkan jenazah Allahyarham telah pun dibawa pulang ke rumah mertuanya di felda Cerul, Kemaman. Tanpa membuang masa kami berpatah balik untuk ke sana.

Luruh juga air mata

Musafir ke Kuala Lumpur suatu masa dahulu

Jalanraya Jabor - Jerangau sepi, tidak banyak kenderaan malam ini. Di kiri kanan hanya deretan pokok kelapa sawit yang berbalam-balam diserkup kegelapan malam. Hujan masih lagi turun sekejap lebat, kadangkala renyai-renyai.

Sepanjang perjalanan saya terkenang perbualan dengan Allahyarham pada dua hari lepas. Allahyarham menyatakan rasa malas untuk mengikut keluarga mertuanya ke Johor kerana pada hari Ahad beliau ingin pulang ke kampungnya di Kelantan. Allahyarham bertanya pendapat saya, saya tidak memberikan jawapan yang jelas, menyuruh tidak melarang pun tidak, terpulang padanya. Tidak sangka pada hari Ahad itu beliau terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

“Kata Muhaizul yang menelefon tadi, anaknya yang kedua masih lagi di ICU.” Aliff memberitahu memecah kesunyian malam.

“Hospital Pekan juga ke?” Cheong bertanya setelah hanya diam dari tadi. Mungkin juga dia seperti saya masih dalam keadaan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Di hospital Pekan, tapi mungkin dipindahkan ke HTAA, isteri dan anak-anak yang lain tak apa-apa. Mereka naik kereta yang satu lagi.” Aliff tenang bercerita.

Setibanya di sana, segera kami mendapatkan jenazahnya. Tatkala menatap jenazahnya yang terbujur kaku, luruh juga sedikit air mata saya. Saya menarik nafas dalam-dalam untuk menguatkan semangat. Sebelum pulang saya mencium dahinya, ciuman buat kali yang terakhir.

“Sehingga kita bertemu lagi...semoga beroleh rahmat di sisi-Nya. Insya-Allah kami semua akan menyusul juga nanti.” Saya membisikkan doa.

Berehatlah sahabatku

Ramai sahabat-sahabat yang menelefon saya untuk bertanya cerita mengenai kemalangan itu. Mereka sedia maklum akan keakraban saya dengannya, terlalu akrab. Kami selalu keluar bermusafir bersama menghadiri program-program keagamaan yang diadakan di luar daerah Kuantan. Program-program di Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut sehinggalah jauh ke Terengganu dan Kuala Lumpur.

Allahyarham juga mempunyai ramai kawan dek kerana sikapnya yang mudah memutikkan kemesraan. Bahkan sesiapa sahaja yang mula mengenalinya akan merasakan seperti sudah lama bersahabat dengannya, seingat saya demikian.

Permergiannya merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh ramai orang. Tentu sekali saya juga merasakan demikian, kerana saya di antara teman rapatnya yang sentiasa menadah telinga berkongsi cerita. Apa sahaja cerita, kemanisan dan kesedihan.

Saya redha dengan ketentuan-Nya...

Foto terakhir bersama Allahyarham: 15 Disember 2012, Kuala Dungun

Dalam kedinginan hujan, ingatan saya terbang jauh mengenang kembali hari-hari yang pernah ditempuhi bersamanya. Dengan segala kemanisan, tidak kurang juga kepahitan, saya abadikan segalanya menjadi lipatan sejarah yang akan saya simpan sampai bila-bila.

Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tidak sekali-kali Allah mahu menzalimi hamba-Nya, kerana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Kita insan yang lemah serta tiada daya dan upaya, tentunya kita tidak dapat meneka apa yang tersirat disebalik kejadian yang tersurat.

“Ya Allah, Engkau telah memberikan kerehatan kepadanya dari kesibukan dan kelelahan dunia, cucurilah rahmat-Mu dan kurniakanlah keampunan-Mu kepadanya...”

1 comments:

hamba lalai said...

Salam WAR.kehilangan sahabat dkala suka dan duka.
Smoga ditempatkan dikalangan orang2 yang soleh....
WAN ZAMIELAN......aku merinduimu....

Post a Comment