Ramai yang asyik memperkatakan tarikh hari ini. Tidak kurang dengan bermacam-macam acara yang mahu diraikan kerana mudah mahu mengingatnya. 12.12.12!
Kita telah pun berada di penghujung bulan Muharam, hari ni sudah 28 Muharam. Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Safar, bulan kedua di dalam pengiraan kalendar Islam. Bulan yang dahulunya menjadi kepercayaan masyarakat melayu dengan bulan sial. Lalu dalam bulan ini masih ada sesetengah individu dalam masyarakat Islam yang melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang nyata bertentangan dengan syariat. Contohnya ialah upacara mandi safar yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Apabila tiba bulan Safar, mereka yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan kepercayaan perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Selain daripada itu kepercayaan orang-orang tua juga tidak menggalakkan majlis perkahwinan diadakan dalam bulan Safar ini kerana mereka percaya bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat.
Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam dan sesiapa yang masih berpegang padanya akan rosak akidahnya.
Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah saw bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?” (Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Sebenarnya nahas atau bala bencana tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja, bahkan nahas atau musibah juga berlaku di dalam bulan-bulan yang lain.
Allah SWT berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 51 yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
Muhasabah diri
Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Safar.
Pejam dan celik, bagaikan tidak terasa hari yang berlalu. Angka usia kita semakin bertambah tetapi baki umur pula semakin berkurang. Semakin lewat hari yang dilalui adalah mendekatkan diri kepada detik kematian. Sedangkan kematian adalah cerita yang pasti. Walaupun kita memilki duit yang berlipat, rumah yang bertingkat, isteri yang memikat, pengaruh yang kuat dan pangkat yang hebat, namun semuanya akan ditinggalkan.
Dunia bagi manusia adalah tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan. Dunia bukan tempat istirehat, tetapi tempat beramal ibadat.
Rasulullah saw bersabda: "Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas berehat seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."
Hadis Nabi saw ini adalah satu peringatan terhadap manusia, bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Inilah hakikat yang diajar oleh Rasulullah saw kepada umatnya, kehidupan di dunia umpama persinggahan sebentar berteduh ketika hari panas. Selang beberapa ketika, setelah badan kembali segar, maka perjalanan pun diteruskan semula.
Diriwayatkan orang yang mati itu apabila telah bertemu Allah, semuanya meminta kembali ke dunia. Kenapa? Menyesal kerana semasa di dunia dahulu tidak mahu beribadat. Ditanya kenapa semuanya menyesal? Orang sembahyang pun menyesal, orang masuk syurga pun menyesal.
Mengapa orang yang sembah yang pun menyesal? Dia menyesal kerana di dunia dahulu dia hanya sembahyang fardhu, tidak tambah dengan sembahyang sunat. Maka dia menyesal tatkala melihat banyaknya ganjaran sembahyang sunat. Sudah msuk syurga juga masih menyesal? Syurga itu bukan satu tingkat tetapi bertingkat-tingkat. Dia menyesal kerana tidak dapat masuk syurga paling atas, alangkah baiknya jika dapat masuk syurga Firdaus atau pun syurga Na`im.
Kehidupan di dunia adalah tumpangan sementara waktu sahaja. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Sesungguhnya kesenangan hanyalah sementara dan bersifat palsu. Begitu juga kesusahan di dunia, juga sementara dan bersifat palsu.
Justeru, marilah kita berlumba-lumba mencari bekalan akhirat. Janganlah kita lupa pertemuan yang pasti dengan Allah SWT. Kematian hanyalah hijrah atau perpindahan alam, dari negeri binasa ke negeri kekal abadi. Sedarlah diri kita akan kematian yang pasti akan menemui kita.
Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Safar.
Saya mengingati diri...
0 comments:
Post a Comment