Sahabat Sejati

Thursday, 25 October 2012

Salam Aidil Adha 1433H


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilham.

Di kesempatan yang terluang ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya aidiladha kepada semua umat Islam, khususnya kepada pengunjung pondok kecil ABUIKHWAN. Sejujurnya, sokongan sahabat-sahabat sekelian amat-amat saya harapkan dan saya hargai. Anda semua adalah sahabat terbaik saya!

Dalam suasana kita gembira menyambutnya, marilah kita kenang kembali sejarah pengorbanan yang telah dilakukan oleh datuk kita, Nabi Ibrahim Khalilullah, selaku insan yang mula-mula berkorban di muka bumi ini. Kita semua sudah maklum kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim semata-mata mentaati perintah Allah SWT. Tentunya bukan suatu perkara yang mudah untuk menyembelih anak sendiri. Namun, mengingatkan ia adalah perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim akur dan tunduk dengan perintah itu. Sehinggalah Allah SWT menggantikan Nabi Ismail as. dengan sembelihan yang besar.

Firman Allah SWT:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar." (as-Saff: 102-107)

Oleh itu saya mengajak sahabat-sahabat sekelian, Mariah kita menghayati peristiwa besar ini untuk meningkatkan ketaqwaan dan keyakinan kita kepada agama Allah SWT yang maha benar ini.

Mudah-mudahan kita semua dipilih oleh Allah SWT menjadi hamba-Nya yang istiqamah dalam perjuangan agama-Nya serta sanggup berkorban tanpa mengira harta, masa, tenaga hatta nyawa sekalipun untuk melihat syariat Allah didaulatkan di dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Salam Aidil Adha 1433H...

Sudah-sudahlah tu!



Hentikanlah cubaan untuk menjadi hero dengan cara menghina dan mempersendakan agama lain.

Kami tidak pernah mempertikaikan dan mempersendakan anutan dan kepercayaan nenek moyang kamu, kerana kami tahu dan amat faham itu adalah hak kamu untuk mengamalkannya. Bahkan agama kami juga melarang melakukannya.

“Dan janganlah kamu semua mencaci dan mencela tuhan-tuhan yang diseru selain daripada Allah.” (Surah al-Anaam:108). 

Islam agama dan cara hidup kami, kami lebih arif mengenai hukum-hakam serta perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya. Tinggalkan kami menguruskan agama kami dan menentukan apa yang perlu kami lakukan. Kami tidak memerlukan kamu untuk mengajar serta memberi nasihat mengenainya.

Sesungguhnya kami tidak hairan dan kisah jika kamu tidak setuju dengan segala hukum-hakam yang terkandung di dalamnya tetapi jangan sampai menghina sehingga mengguris hati kami. Kami mengakui agama kami mengajar agar sentiasa bersabar dalam segenap perkara, tetapi jangan dilupa agama kami juga mengizinkan kami meluahkan api kemarahan pada tempat yang sepatutnya. Oleh itu jangan cetuskan api yang boleh membibitkan permusuhan, sedangkan kami dan kamu telah menikmati kehidupan yang aman dan harmoni di dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Semoga kamu memahaminya.

 “Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami.”

Wednesday, 24 October 2012

Daulat Tuanku!


Selamat ulangtahun keputeraan yang ke 82 kepada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta`in Billah ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri`ayatuddin al-Muadzam Shah. (Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur serta jajahan takluknya)

Semoga tuanku sultan sentiasa diberikan hidayah dan taufiq untuk memerintah Negeri Pahang yang tercinta ini dengan Islam.

*Daripada hamba rakyat yang taat dalam kebaikan dan kebenaran. 

Tuesday, 23 October 2012

Sahabat sejati menurut Imam al-Ghazali rah.


1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Jadilah sahabat sejati, mudah-mudahan bertemu sahabat yang sejati! 

Friday, 19 October 2012

Cetusan rasa: Bicara menjelang usia 40


“Dulu budak-budak panggil abang, sekarang semuanya dah panggil pakcik...”

Apa yang kita rasa dan fikir apabila berada di situasi begini.

“Ohh, dah tua rupanya aku.” Maka kita pun bersedia memperbanyakkan amal kebajikan, sudah-sudahlah terlalu berloba-loba dengan dunia. Alhamdulillah jika ada rasa begini.

Atau kita kata: “Budak-budak sekarang dah tak pandai melihat orang, suka-suka sahaja panggil.” Kita marah, malunya dipanggil pakcik. Mujur tak dipanggil atuk atau tok wan, kalau tidak tentu berganda-ganda lagi marahnya.

Muda kepada tua 

Sesungguhnya peralihan manusia dari masa muda kepada masa tua adalah fitrah. Siapakah yang dapat menahannya seandai mati tidak menjemputnya pergi di usia muda. Sedangkan masa dan usia di antara perkara yang amat terbatas bagi manusia. Sedar atau tidak, masa terus berlalu tanpa menunggu persetujuan kita. Sama ada kita menyambut atau menentangnya, ia terus berlari dan berlari tanpa dapat dihalang.

Menjelang usia tua, fizikal menjadi lemah, kekuatan mulai beransur hilang sedikit demi sedikit. Selera makan kian menurun meskipun disajikan dengan hidangan yang serba lazat dan berbagai-bagai lagi kelemahan. Demikianlah tiada yang indah pada usia tua, kerana segenap keterbatasan telah mula melingkungi diri.

Saya mencoretkan ini setelah melihat diri mula menghampiri usia 40. Tanpa mampu menghalang ia dari terus berjalan. Sesungguhnya usia 40 adalah angka yang wajib untuk menginsafi, merenung perjalanan hidup dan erti kehidupan yang telah dilalui. Mengisi kehidupan di usia 40 adalah dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat untuk kehidupan di dunia yang akan menjadi saham untuk kehidupan di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman: “Dan kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan dan tempoh mengandung berserta menceraikan susunya ialah 30 bulan. Setelah dia besar sampai mencapai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang menyerah kepada-Mu).” (al-Ahqaf: 15) 

Betapa indahnya susunan ayat ini. Ia menceritakan perjalanan hidup insan bermula dari dalam kandungan sehinggalah menjengah usia 40.

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan kita tentang payahnya pengorbanan ibu yang mengandungkan, seterusnya kepayahan melahirkan kita. Kemudian diceritakan perjalanan hidup sehinggalah mencapai usia matang. Setelah itu kita diajar agar berdoa kepada kedua ibu bapa sebagai satu kebaktian kepada mereka. Begitu juga doa kepada diri kita dan seterusnya kepada zuriat keturunan agar bersambung kebaikan dan rahmat Allah. Kata al-Imam Ibnu Kathir: “Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah serta bersungguh-sungguh mengenainya.” (Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-`Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah))

Aku dan kehidupan 

Di usia hampir menjengah 40 ini, dalam perjalanan hidup yang terkadang di lambung ombak, pendakian dan menuruni, ada pasang dan surut, tidak kurang juga ada tangis dan tawa serta kegagalan dan kejayaan yang silih berganti. Namun, tidak mahu lagi diri ini berhenti di tengan jalan, menoleh masa silam yang pasti ada benar dan salah, pasti ada alpa dan leka. Oleh itu katakanlah dengan sesungguhnya: “Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang menyerah kepada-Mu)”.

Semoga diri ini diberi petunjuk dan keinsafan dan termasuk di dalam golongan yang disebut dalam firman-Nya dengan sebab mahu menerima peringatan di usia 40 ini.

"Mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang yang Kami terima daripada mereka amalan baik yang mereka telah amalkan dan Kamni ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka." (al-Ahqaf: 16)

Mudah-mudahan... 

Thursday, 18 October 2012

Thank you Allah!


Biarpun kehidupan ini, kadang-kala ada resah dan gelisah.
Ada penat dan lelah.
Ada pahit dan jerih.
Namun masih ada lagi bahagia dan gembira, biarpun sekelumit cuma.
Demikianlah percikan kasih sayang-Nya yang tidak pernah menghampakan.

Hidup tidak mungkin tanpa ujian, kerana ia adalah sebahagian proses kehidupan. Ia berkeliling pada setiap insan. Di mana-mana sahaja dalam setiap episod perjalanan kehidupan pasti ada ujian. Marilah kita melihat ujian yang menjengah sebagai tapisan Allah, siapa di kalangan hamba-Nya yang terbaik keyakinan di sebalik taqdir yang tersurat.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (al-Baqarah: 286)

Thank you Allah!

Sunday, 14 October 2012

Cerita Ustaz Azhar dikacau hantu

Lawaknya, kalau kena kat aku entahlah... (semoga sentiasa ceria di petang ahad)


Cerita cinta...


Cinta.

Kalimah yang sentiasa terlafaz dibibir manusia tanpa batasan waktu. Setiap manusia petah menyebutnya. Ia hadir tanpa diundang kerana perasaan mencintai dan ingin dicintai adalah keperluan semulajadi. Ia tidak perlu dipelajari kerana keinginan kepada cinta adalah fitrah insan. Hati memerlukan cinta sebagaimana jasad yang memerlukan makan dan minum.

Cinta adalah perasaan jiwa yang melahirkan ketenangan dan kedamaian. Boleh juga dikatakan cinta itu tarikan kepada sesuatu, ertinya cinta boleh menarik seseorang kepada sesuatu yang dicintainya.

Seorang ulama salaf mengatakan: “Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu menjadi emas, kotor menjadi jernih, sakit menjadi sembuh, tahanan menjadi taman, derita menjadi nikmat. Itulah cinta kasih yang melunakkan besi, meluluhkan baru, membangkitkan orang mati dan meniupkan kehidupan.”

Namun, kadangkala ia amat menghairankan kerana kalimah cinta yang terungkap tanpa mengerti akan makna sebenar yang tersirat disebaliknya. Tatkala menyebut cinta, maka berderetlah korban cinta sepanjang zaman seperti kisah Romeo yang sanggup mati kerana Juliet, Cleopatra yang sanggup menghabisi nyawanya kerana Mark Anthony atau kisah Qaisy yang sanggup menjadi gila kerana terpisah dengan Laila. Kerana cinta agama menjadi taruhan, kerana cinta Islam dilupakan. Kerana cinta Allah hilang entah ke mana dicampakkan, kerana cinta hilang sifat kehambaan. Demikianlah cinta yang asalnya suci dan bersih menjadi kotor dan menjijikan.

Tentunya amat sukar untuk saya memberikan makna cinta kerana setiap orang mempunyai makna cinta yang tersendiri. Mereka menafsirkan sebagaimana yang mereka lalui dan rasa. Saya teringat satu kisah di zaman sekolah dahulu:

Seorang maharaja China telah bertanya kepada seorang pelukis yang terkenal: “Gambar apakah yang paling mudah dilukis?”

Lalu jawab pelukis, “melukis gambar hantu.” Sang maharaja merasa terkejut seraya bertanya lagi, “melukis gambar apa yang paling sukar?” Jawab pelukis tersebut, “gambar kuda, harimau, ayam, anjing, gajah dan sebagainya.”

Maharaja yang mula kehairanan bertanya lagi, “mengapa kamu berkata demikian?”

Maka pelukis pun memberi jawapan, “melukis gambar hantu senang kerana tidak ada siapa yang pernah melihat hantu. Jadi, kita boleh melukisnya mengikut apa yang kita suka. Manakala melukis kuda, harimau anjing dan sebagainya amat sukar kerana hamper semua manusia telah melihatnya. Jika kita tersilap melukisnya, semua orang dapat mengesannya biarpun sedikit sahaja kesilapan yang dibuat.”

Benar, setiap orang ada pengalaman cinta yang memungkin mereka memaknai dengannya.

Ahli hikmah mengatakan: “Seandainya cinta dan kasih sayang menguasai kehidupan, nescaya manusia tidak lagi memerlukan keadilan dan undang-undang.”

Cinta dan kasih sayang adalah ruh kehidupan yang menyembuhkan hati dan menghadirkan rasa aman bagi manusia. Bila hukum graviti dapat menahan bumi dan planet-planet sehingga tidak berlanggaran dan hancur berantakan, maka hukum cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang dapat menahan manusia daripada berantakan menjadi peperangan. Demikian hebatnya kuasa cinta. Ia boleh merubah benci kepada sayang, duka kepada gembira begitulah juga sebaliknya.

Manakala ada pula yang berkata: “Apa yang terjadi? Ilmu hanya memberikan pemikiran yang kering, kerja hanya memberikan cucuran keringat dan kebencian. Harta hanya memberikan rasa khuatir, ketakutan dan kesulitan. Cinta kasih itulah mutiara satu-satunya yang memberikan rasa aman, ketenangan dan kedamaian.”

Namun, cinta yang memberikan ketenangan dan kedamaian hanya akan didapati apabila ia dilapisi dengan iman dan taqwa serta redha Allah. Tanpanya cinta akan jatuh ke tahap cinta yang hina. Sifir mudah, semasa bercinta lakukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah tegah. Insya-Allah pasti beroleh ketenangan dan kedamaian.

Anda tentu memahaminya.

Saturday, 13 October 2012

Padanya Ada Hikmah


Kadangkala hati menyangka, kisah yang terjadi kepada kita tidak ada kesenangan padanya. Kadangkala hati juga bertanya, mengapa Tuhan memberikan kasih yang tidak ada manisnya. Mungkin kita lupa, Tuhan Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Lalu pada setiap kisah yang diberikan kepada manusia, dia menyertakan sayangnya dan menyisipkan kasihan-Nya. Semua itu disembunyikan pada kata yang bernama hikmah.

Inilah 35 kisah penuh hikmah, yang terinspirasi daripada pengalaman Prof. Dr. Muhaya. Sekiranya ada yang bertanya seberapa mirip pengalaman Prof. Dr. Muhaya pada kisah yang diceritakan, jawapannya dapat dibaca pada halaman 'Bagaimana buku ini seharusnya dibaca'.

Tajuk : Padanya Ada Hikmah
Penulis : Prof Dr. Muhaya Mohamad
             Bahruddin Bekri
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn Bhd
M/S : 120
Harga : SM 13.00 / SS 15.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Wednesday, 10 October 2012

Tak kata apa-apa...

"Kuliah saya esok di UMP dibatalkan atas sebab orang atasan. dia tak suka saya, dia ingat saya suka dia" - (Ustaz Azhar Idrus, Masjid Jaya Gading Batu 9, Kuantan / 09 Oktober 2012)

(Sumber: facebook cucumatkilau)

Entahlah tak tahu nak kata apa, hanya mengeluh dan menggelengkan kepala.  Mujur tak sempat belajar di UMP, kalau tak malu juga rasanya.

Komentar sahabat saya Ustaz Hazmi Dibok yang juga staff UMP di dalam akaun fb-nya:
"Bahaya untuk budak2 muda ni kalau dengar ceramah-ceramah ustaz.. nanti jadi warak, jadi kuat agama, nanti sikit2 tak boleh, sikit2 dosa..susah kita!... Tapi kalau banyak menari, menyanyi, bergalak.. tak per.. jadi gedik ajer.. gedik tak mengganggu gugat ketenteraman negara.. u all faham tak!?!"

Berat nanang!

Monday, 8 October 2012

Masalah muntah/jeluak bayi


Soalan:

Saya ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki, muntah yang sedikit adalah najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dalam sembahyang. Soalan saya, adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam bab-bab najis yang dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai bayi kecil yang sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki adalah selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yang dimaksudkan itu ya ustaz? Mohon pencerahan dan terima kasih banyak-banyak atas bantuan ustaz.

Jawapan:

Muntah adalah najis mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah makanan yang melalui proses pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi. Kerana itu, pakaian yang terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika solat. Namun, para ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit. Menurut mazhab Hanafi: kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1 dirham (iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil, Imam Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya: “Anak kecil yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika muntah itu memenuhi mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi satu dirham, ditegah mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”. Dari fatwa ini kita dapat memahami bahawa, muntah anak kecil jika kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu dirham), dimaafkan dan harus memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan solat.

Menurut mazhab Syafiie: ukuran banyak atau sedikit najis itu bergantung kepada pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika najis yang mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan orang sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut mazhab Hanbali: ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan hati sendiri. Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya telah melampaui had, maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai begitu, ia masih dikira sedikit dan dimaafkan.

Menurut mazhab Syafiie juga: najis turut dimaafkan jika sukar dielakkan, walaupun najis itu banyak. Contohnya: darah pijat, kutu dan nyamuk, darah dari bisul, jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya. Khusus tentang muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan: jika seseorang itu menghadapi kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah), dimaafkan muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu banyak.

Menurut mazhab Maliki, muntah hanya dikira najis jika keluarnya dalam keadaan telah berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak lagi rupa makanan). Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah najis. Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi: semua jenis muntah adalah najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa makanan atau tidak lagi berupa makanan.

Segelintir ulamak (antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan: muntah keseluruhannya tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang menegaskannya sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci (kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah suci selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).

Kesimpulannya, muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis menurut jumhur ulamak. Namun ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar dielakkan. Merujuk kepada soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu dimaafkan selama ia sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka wajiblah dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti anak terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada menyebutkan; al-masyaqqah tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil kemudahan). Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2. Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3. Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4. Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah al-‘Awayisah, 1/59.

Sumber: Ilmu dan Ulama

Friday, 5 October 2012

Jom, Jambori Amal di negeri Pahang


Alhamdulillah, Jambori Amal Kebangsaan datang lagi. Pada tahun ini negeri Pahang dipilih menjadi tuan rumah (negeri kawan tu). Berbagai persiapan telah pun dibuat untuk menyambut para peserta yang akan datang dari setiap negeri. Aktikviti-aktiviti fizikal serta pengisian rohani juga telah pun diatur dengan sebaiknya, Insya-Allah.

Tidak kiralah, Jambori Amal di peringkat manapun, peringkat kebangsaan, negeri, kawasan atau serendah-rendah peringkat cawangan, keletihan dan kepenatan adalah sesuatu yang menjadi kemestian. Namun ini semua bukan penghalang kerana disebalik kepenatan itu terselit kegembiraan kerana dapat memberi dan menerima. Mudah-mudahan menjadi satu amal yang disimpan di sisi-Nya.

Ayuh, Sekelian anggota Amal kita berjambori di Negeri Pahang!

Jambori Amal Kebangsaan 2010 di Melaka

Wednesday, 3 October 2012

TUDUNG YANG DIPINKAN KE BELAKANG; MENYAMAI BIARAWATI KRISTIAN?

Soalan:

Salam ustaz, saya ada satu kemusykilan berkaitan dakwaan tentang cara pemakaian tudung yang diikat@dipin di belakang leher seperti trend sekarang adalah mengikut cara pemakaian biarawati kristian. Adakah dakwaan itu benar walaupun si pemakai (wanita islam) tidak pernah mempunyai niat sedemikian, hanya pakai tudung dengan meng'pin'kan di bahagian leher bagi menampakkan kekemasan. Harap ustaz dapat memberikan penjelasan.

Jawapan:

Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah:

 ÙˆَÙ„ْÙŠَضْرِبْÙ†َ بِØ®ُÙ…ُرِÙ‡ِÙ†َّ عَÙ„َÙ‰ جُÙŠُوبِÙ‡ِÙ†َّ
“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)

Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan identiti wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya: “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu” (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).

Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir: hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat: Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).

Namun para ulamak menjelaskan: maksud peniruan/penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan indentiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya. Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.

Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat, tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama. Maka ditempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika ia dipakai oleh orang Islam. Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis pakaian bernama al-Burnus.[1] Ia menjawab: "Harus". Dikatakan kepadanya; "Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)". Imam Malik menjawab: "Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai". Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama. Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata: Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat; Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....). Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan masalah pemakaian cepiau (topi).[2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang pro penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkan larangan itu telah tidak ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh orang Islam hari ini.

Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus, di bawah ini dikemukan beberapa dhabit yang diberikan ulamak:

1. Berkata Imam al-Qurthubi: "Jika suatu pakaian telah menjadi identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya." (Faidhul-Qadier, 6/104).

2. "Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama" (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).

3. "Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka" (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).

4. "Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuati yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain" (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).

Merujuk kepada soalan di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati kristian? Persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Kristian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah tadi.
Wallahu a'lam.

Rujukan;
1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 182.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.

Nota hujung;
[1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah (lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian.
[2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai.

Rujukan: Ilmu dan ulamak