Sahabat Sejati

Tuesday, 25 September 2012

Alamak, uban!!!

“Eh, rambut abang dah ada uban,” tegur seorang isteri kepada suaminya tatkala menghidang minuman petang.

Petang yang redup itu tercalar kedamaiannya dek kerana sesuatu yang tidak disangka-sangka.

“Hah, banyak ke? Cabut, cabut,” bersungguh sang suami menyuruh isterinya sambil meraba-raba kepalanya. Benar-benar terkejut, malu benar jika dilihat orang, nanti dikata sudah tua.

Begitulah takutnya apabila kepala mula ditumbuhi uban. Bagi sesetengah orang uban adalah suatu yang amat sensitif. Bahkan bukan hanya orang lelaki, golongan perempuan pun sama. Malu yang teramat sangat. Tetapi bukanlah semuanya begitu, ada juga yang biasa-biasa sahaja. Tak ambil hal pun, ada uban ataupun tiada.

Sebenarnya beruban tidak semestinya sudah tua, kerana ramai juga orang muda yang beruban. Tetapi beruban adalah perkara biasa apabila seseorang telah memasuki usia tua. Sebagaimana ungkapan irama dan lagu tidak terpisah, begitulah juga uban dan usia tua.

Mengapa harus membenci uban? Cacatkah kita dengan tumbuhnya uban? Sepatutnya kita bersyukur, sekurang-kurangnya rambut yang mula memutih itu dapat mengingatkan kita akan dekatnya ajal dan telah tertutup jalan angan-angan terhadap dunia. Disamping itu, ia juga menandakan bahawa masa untuk berangkat hampir tiba.

Diceritakan Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya segera memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan. Di antara peringatan yang dihantar oleh Allah ialah pertukaran rambut dari hitam menjadi putih.

Kata al-Khatib Ibnu Nutabah: “Sesungguhnya uban itu laksana perbatasan hidup yang tidak dapat disekat, kerosakannya tidak dapat diperbaiki oleh zaman. Ia adalah cahaya yang muncul bersama dengan surutnya nafas seseorang, yang akan memimpin setiap insan ke tempat tersimpannya tulang-belulang. Oleh kerana itu, semoga Allah merahmatimu, jangan membakar cahaya ubanmu dengan api-api dosamu.”

Orang pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim al-Khalil as. Ketika baginda melihat rambut putih itu, baginda bertanya: “Wahai Tuhanku, apakah ini?” Allah menjawab: “Ini tanda kewibawaan”. Maka berkata Nabi Ibrahim lagi: “Tuhanku, tambahkanlah itu bagiku!”

Oleh itu jangan merasa gundah gulana sekiranya rambut mula beruban tetapi berbanggalah kerana itu adalah lambang kewibawaan. Ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda: “Berubannya rambut seseorang Muslim merupakan nur baginya.” (Riwayat Tirmidzi dan Nasaei)

Adapun harus jika mahu menutupi warna uban, sebaiknya adalah warna kuning ataupun merah, sebagaimana hadis Nabi saw: "Tukarlah ia (warna rambut, janggut dan misai ) dan jauhilah dari warna hitam." (Shohih Muslim)

Manakala di dalam satu peristiwa, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi saw pada hari penaklukan Mekah, baginda melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Lalu baginda bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (Riwayat Muslim)

Adapun larangan mewarnainya dengan warna hitam ialah kerana terdapat unsur-unsur penipuan di dalamnya. Tetapi diharuskan bagi mereka yang berjuang fisabilillah untuk menakut-nakutkan orang-orang kafir.

0 comments:

Post a Comment