Sahabat Sejati

Tuesday, 14 August 2012

Cetusan rasa: Akhir Ramadhan


Pejam dan celik, separuh Ramadhan sudah lama berlalu. Bagaikan tidak tersedar cepatnya masa berjalan. Bukan hanya saya, mungkin orang lain juga turut merasakan demikian sehingga baru tersedar puasa sudah hampir tiba ke penghujungnya.

Cuba kita bayangkan dulu jika kita berpuasa, mahu menunggu waktu berbuka terasa begitu lama. Mahu menangis rasanya. Tetapi sekarang dari pagi membawa ke petang terasa amat singkat sekali. bahkan tidak cukup masa yang ada untuk melunaskan kerja-kerja harian.

Teringat kepada hadis Rasulullah saw:
Dari Anas bin Malik ra. katanya Rasulullah saw telah bersabda: “Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Kenangan bersamanya

Malam-malam yang sepi di bulan barokah Ramadhan ini memberikan ruang waktu untuk bemuhasabah, menginsafi kelalaian dan kelekaan diri dalam melayari kehidupan di bumi Tuhan ini. Dada langit yang cerah dan indah dilatari dengan bintang-bintang berkelipan, bintang kejora yang sentiasa termuat sebagai inspirasi lirik lagu menjadi simbol sang bidadari malam dengan panahan mata yang mengasyikkan. Ada doa yang saya lantunkan di kejauhan malam. Memohon dengan keberkatan bulan yang penuh kemuliaan ini.

Tentunya doa buat bonda yang telah bersemadi di ‘sana’.

Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan pertama tanpa bonda. Benar, disebalik kegembiraan Ramadhan yang penuh keberkatan ini terselit sedikit perasaan sebak dan kesedihan. Masih segar diingatan ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dahulu. Lebih-lebih lagi sewaktu mula-mula belajar berpuasa. Ia amat memeritkan dan menyeksakan!

Selalunya saya akan melepek di beranda melayani perut yang berkeroncong, menunggu-nunggu waktu berbuka yang dirasakan berzaman lambatnya. Kadang-kadang jika tidak tertahan sangat lapar dan dahaga saya akan segera mendapatkan emak, memujuk rayu untuk mencairkan hatinya supaya saya dapat berbuka.

Emak dengan naluri kasih sayangnya, memahami dan mengerti, memberikan kata-kata nasihat dan semangat. Emak bercerita tentang keseronokan berbuka puasa dengan hidangan yang berbagai-bagai. Keseronokan yang lebih ketara adalah kerana makan bersama-sama keluarga, serta makan dengan sebenar-benar lapar dan dahaga. Lalu rasa lapar dan dahaga segera terbang bersama kata-kata lembutnya itu.

Kini emak saya telah tiada, pemergiaannya tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir baginya. Begitu juga dengan diri saya, apakah saya dapat menghabiskan Ramadhan ini hingga ke penghujungnya, saya sendiri tidak pasti apakah jawapannya. Bahkan seminit daripada saat ini pun saya tidak pasti bagaimana, apatah lagi mahu memikirkan masa yang lebih panjang. Ajal maut hanyalah milik mutlaq-Nya!

Semoga Ramadhan ini lebih bermakna daripada yang sebelumnya, kerana ia mungkin yang terakhir untuk kita. Mudah-mudahan demikian.

2 comments:

yaqut hulaif said...

Assalamualaikum.

Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan pertama tanpa bonda. Saya juga begini.

Andai ramadhan ini bukan ramadhan terakhir kita, tapi mungkin juga ramadhan terakhir buat ibu, ayah atau insan terdekat yang disayangi.

Ramadhan, sungguh dia mengingatkan.

-yaqut hulaif-

Nazihah@Jiha said...

semoga Allah merahmati.

Post a Comment